Betul ada yang menghantar kapal angkasa ke bulan, tetapi tanpa manusia. China pernah berbuat demikian. India baru sahaja menghantar kapal angkasa seberat 3.85 tan Chandrayaan -2, tanpa angkasawan membawa Vikram, yang akan mendarat di bulan nanti.

Ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), John F. Kennedy mengungkapkan hasrat tersebut dalam satu perhimpunan raksasa di Stadium Rice University pada 12 September 1962 dengan dihadiri 40,000 orang, beliau mungkin menyampaikan sesuatu yang tersirat. Masakan tidak, Rusia atau ketika itu dikenali sebagai Kesatuan Soviet Sosialis Rusia (USSR) terlebih dahulu menghantar Yuri Gagarin mengorbit bumi pada 12 April 1961.

Namun, hasrat Kennedy itu tidak mengujakan semua orang di AS, malah tinjauan menunjukkan 58 peratus menolaknya. Hari yang ceria ketika Kennedy berucap itu nampaknya tidak menterjemahkan keceriaan beliau melontarkan cabaran.

Namun, semua akhirnya tahu pada 20 Julai 1969 Neil Armstrong bersama Michael Collins dan Edwin E. ‘Buzz’ Aldrin mencipta sejarah manusia mendarat di bulan. Selaku ketua misi kapal angkasa Apollo 11, Armstrong merupakan manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan.

Kumpulan tersebut sebenarnya berlepas ke angkasa lepas pada 16 Julai 1969. Armstrong memandu Lunar Module ke permukaan bulan pada 20 Julai 1969 dan mendarat bersama Aldrin manakala Collins berada dalam kapal angkasa.

Malaysia pernah mencipta sejarah dalam bidang sains angkasa apabila

Penerokaan angkasa lepas

Semasa keluar dari modul tersebut pada pukul 10.56 malam, Armstrong berkata, itu merupakan satu langkah kecil manusia, tetapi merupakan satu lonjakan kepada kemanusiaan. Selama kira-kira dua setengah jam, Armstrong dan Aldrin mengutip sampel dan menjalankan ekperimen serta merakam gambar. Malaysia khabarnya turut diberi sampel dari bulan itu.

Sejarah ini semua diketahui manusia dan susulan itu banyak kemajuan dicapai oleh manusia dalam bidang penerokaan angkasa lepas yang memberi manfaat kepada bidang sains angkasa.

Misi ke bulan bukan semata- mata mahu menjejakkan kaki ke sana, sekurang-kurangnya itu yang tersirat daripada ucapan Kennedy bahawa manusia mengorak langkah ke kawasan baharu untuk ilmu baharu yang akan diperoleh. Katanya lagi, ada hak untuk dituntut dan dimenangi untuk manfaat manusia.

“Bagi sains angkasa sama seperti sains nuklear dan semua teknologi tidak memberi gambaran tentang sesuatu sama ada ia memberi kebaikan atau keburukan kerana ia bergantung kepada manusia. Angkasa boleh diteroka tanpa mencetuskan peperangan dan tanpa mengulangi kesilapan,’’ kata Kennedy.

Justeru, ucapan Kennedy bolehlah dianggap sebagai inspirasi dan harapan untuk menggerakkan manusia ke bulan menerusi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa).

Nasa menurut pakar astrofizik tempatan, Datuk Dr. Mazlan Othman memulakan projek tersebut dan melakukan lebih banyak penerokaan ke angkasa lepas. Malah, ramai tidak mengetahui banyak produk dan inovasi hari ini berpunca daripada projek ke angkasa lepas.

“Manusia juga telah menghantar kapal angkasa robot ke Marikh sebagai usaha untuk meneroka Planet Merah. Malah, sebelum ke Marikh ada yang berpendapat bahawa manusia sepatutnya berlepas dari bulan jika ingin ke planet berkenaan kerana gravitinya yang rendah lebih memudahkan,” ujarnya.

Usaha tersebut bertujuan meninjau kemungkinan terdapat kehidupan di situ yang boleh memberi harapan kepada manusia memulakan penempatan baharu.

Hasrat untuk membina penempatan atau koloni manusia di bulan sedang diusahakan. Ia hasil gabungan pakar-pakar termasuk roket, jurutera angkasa dan habitat manusia yang sedang direka bentuk di bumi oleh sebuah syarikat dengan kerjasama Agensi Angkasa Eropah (ESA) dan Massachusetts Institute of Technology (MIT). Bagi tujuan tersebut, banyak cabaran yang perlu ditangani berkenaan angkasa lepas termasuk graviti rendah di bulan, sinaran dari angkasa dan keperluan asas manusia atau sumber hidup mereka di sana.

 

Rumah yang dicadangkan itu ibarat sebuah khemah atau pod bertekanan tinggi kerana persekitaran bulan yang sebegitu rupa.

Banyak eksperimen perlu dijalankan bagi membolehkan hasrat tersebut menjadi kenyataan antaranya bagaimana manusia boleh hidup lama di bulan. Sekiranya di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) semua bahan buangan seperti urin, peluh, air buangan malah nafas sekalipun dikumpul dan diproses untuk digunakan semula, adakah kaedah yang sama akan digunakan di bulan.

Nasa pula sedang menguji beberapa stesen angkasa Lunar Gateway dengan mengumumkan lima prototaip habitat ruang dalam baru dan akan mengujinya. Ia akan membolehkan angkasawan hidup dan bekerja di Gateway, kapal angkasa pertama yang dirancang untuk tinggal di orbit sekitar bulan.

Hasrat manusia itu kata Mazlan, tidak pernah pudar untuk terus meneroka angkasa demi kebaikan manusia yang akan memberi manfaat dalam pelbagai bidang.

Malah katanya, sejak Apollo 11 dilancarkan, perkembangan sains angkasa begitu pantas.

“Penerokaan ke angkasa mendorong manusia mempelajari banyak disiplin ilmu bagaimana mereka menentukan navigasi kapal angkasa menggunakan fizik dan matematik begitu juga komunikasi yang memerlukan berlaku pada masa nyata,’’ ujarnya.

Katanya, hasrat Nasa yang merupakan agensi penyelidikan AS yang dianggap paling maju di dunia menerima peruntukan RM320 bilion setahun bukan cakap-cakap kosong.

Sebab itu hasrat kerajaan negara berkenaan untuk mendarat di Marikh tidak pernah pudar. Ketika pentadbiran Barrack Obama, beliau mengumumkan akan menghantar misi ke Marikh dan ketika pentadbiran Donald Trump, negara tersebut berhasrat menghantar angkasawan wanita pertama ke bulan.

Perlu hasrat yang jelas

Malaysia perlu menetapkan hasrat jika ingin bersaing dalam bidang sains angkasa. Sejak Program Angkasawan Negara pada 2007, Malaysia tidak lagi mempunyai program yang berkaitan sains angkasa meskipun mempunyai agensi seperti Pusar Remote Sensing dan syarikat pembuat satelit seperti Astronautic Technology Sdn Bhd (ATSB).

Datuk Dr. Mazlan Othman berkata, selepas program tersebut tidak ada yang dapat dicapai dalam sains angkasa selain penghantaran satelit RazakSat pada 2009. Mungkin Malaysia perlu merancang membangunkan semula industri angkasa, tetapi itu tertakluk kepada tiga faktor.

Ia adalah kepakaran sains, mempunyai rangkaian politik antarabangsa dan kemahuan politik.

“Kita boleh ada visi dan kena ada kepakaran untuk menggerak visi. Kalau tidak tahu apa teknologi yang ada, tidak ada dalam politik antarabangsa dan rangkaian kerjasama antarabangsa, kalau tidak ada satu daripada ketiga-tiga ini, tidak jadi,” ujarnya.

Ilmu sains angkasa perlu kerana ia mampu menjana minat pelajar dalam bidang sains termasuk Sains Teknologi, Kejuruteraan Matematik (STEM) dan Sains Teknologi, Kejuruteraan Seni dan Matematik (STEAM).

Sains angkasa perlu menyokong kepada pelbagai polisi lain termasuk bidang pertanian dan sebagainya.

“Saya sokong sebab (bidang) angkasa menakjubkan, bukan semata-mata hendak ke bulan, tetapi generasi muda harus mencabar diri mereka untuk ke bulan atau letak satelit di angkasa,” ujarnya.

Terlibat dalam sains angkasa bukan satu pembaziran kerana impaknya akan ada dan semua pihak perlu tahu bahawa banyak inovasi dan kegunaan di bumi adalah hasil daripada teknologi angkasa lepas.

“Kita boleh merancang membina satelit sendiri seperti MEASAT yang dibina dengan kepakaran sendiri supaya dapat menjana minat dalam sains angkasa dan dapat digunakan oleh rakyat. Ini kerana Malaysia sudah memiliki kemudahan stesen di Sungai Lang, Banting, Selangor .

“Malaysia juga sudah merangka polis angkasa lepasnya, namun sehingga kini belum dilancarkan,” katanya.