Tragedi itu menyebabkan lebih 2,500 orang awam menerima rawatan akibat pembuangan sisa toksik ke dalam Sungai Kim Kim. Analisis menunjukkan sisa kimia dalam air sungai berkenaan mengandungi pelarut-pelarut organik yang digunakan dalam industri. Sebanyak RM6.4 juta dibelanjakan untuk proses pembersihan. Selain itu sekolah turut ditutup.

Bencana ini mencemar imej kerajaan dan menimbulkan persepsi negatif rakyat.

Beberapa langkah pemulihan telah dilakukan termasuk cadangan mengkaji semula undang-undang dan peraturan sedia ada. Kajian semula undang-undang dan peraturan bagi memastikan status kualiti air sungai baik, selamat untuk dimanfaatkan dan sentiasa memenuhi piawai ditetapkan. Semua aktiviti industri, pertanian, domestik dan perbandaran yang menghasilkan efluen ke persekitaran mesti memenuhi piawai yang diamalkan di negara maju bagi mengurangkan masalah pencemaran air dan menambah baik kelestarian alam sekitar.

Bilangan sungai yang tercemar di seluruh negara juga perlu dikenal pasti, dipantau dan dikuatkuasakan. Bagi pembangunan sedia ada berdekatan sungai sebelum undang-undang diwujudkan, suatu perancangan baharu diperlukan bagi memastikan efluen tidak dibuang terus ke sungai atau mana-mana bahagian air.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan 25 sungai di Malaysia dikatakan mati.

Antaranya adalah 16 sungai di Johor, lima sungai di Selangor, tiga sungai di Pulau Pinang dan sebatang sungai di Melaka.

Semua sungai ini berada pada Kelas 4 dan 5 iaitu tiada organisma akuatik yang boleh hidup akibat pencemaran yang teruk. Malah, pada Disember tahun lalu JAS mendedahkan senarai 51 sungai tercemar berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling.

Menurut laporan itu, 24 sungai berada pada Kelas 3, 26 sungai Kelas 4 dan sebatang sungai Kelas 5.

Justeru, satu kajian semula tentang undang-undang dan peraturan sedia ada mestilah disegerakan.

Undang-undang yang bakal digubal perlulah lebih bersepadu dan dapat mengurangkan pertindihan serta jurang kuasa. Semua peraturan sedia ada perlu dilihat dengan teliti mengikut keadaan tempat dan melibatkan jabatan kerajaan yang bersesuaian. Pemantauan kualiti efluen dan kualiti air sungai mesti dilakukan secara berkala oleh agensi yang berkelayakan.

Selain menggunakan 12 parameter yang ditetapkan oleh JAS, haiwan petunjuk juga boleh digunakan mengikut kelas air sungai.

Sebagai contoh The Biological Monitoring Working Party (BMWP) boleh digunakan sebagai prosedur mengukur kualiti air menggunakan serangga dan invertebrata akuatik lain sebagai petunjuk biologi. Kaedah ini mengaitkan kehadiran spesies atau kumpulan serangga tertentu dengan kualiti air sungai.

Kehadiran nutrien, bahan organik dan oksigen terlarut menjadi rujukan utama di mana kumpulan haiwan tertentu sesuai untuk hidup.

Daripada toleran invertebrata akuatik ini dapat mewakili status kualiti air sungai berkaitan. Kehadiran mayflies dan stoneflies menunjukkan kualiti air bersih dan diberi skor 10 manakala kehadiran cacing (Oligochaeta) dengan skor 1 yang menunjukkan kualiti air tercemar. Sekiranya pencemaran air sungai berlaku akan menyebabkan kumpulan invertebrata akuatik skor 10 tidak dapat hidup.

Ikan juga boleh digunakan sebagai petunjuk biologi. Kajian yang diterbitkan dalam Pakistan Journal of Zoology 2012 menerangkan tentang perubahan kualiti air mempengaruhi populasi ikan dari segi kepadatan, lakuan dan kepelbagaiannya.

Kajian menggunakan ikan medaka (Oryzias javanicus) sebagai petunjuk biologi untuk perubahan kualiti air sungai, marin dan kesan ketoksikan juga telah diterangkan dalam Marine Pollution Bulletin 2011.

Kajian di Sungai Tebrau, Johor seperti yang dilaporkan dalam Jurnal Teknologi 2015 menunjukkan bacaan parameter ekologi berada di atas paras yang dibenarkan. Pencemaran telah memberikan kesan kepada kehidupan haiwan akuatik sungai dan muara sungai. Kesan ke atas populasi ikan dan udang telah dilaporkan oleh banyak pihak. Pencemaran boleh menyebabkan oksigen terlarut berkurangan dan hanya hidupan yang toleran yang boleh hidup.

Pencemaran Sungai Tebrau disebabkan pembuangan sampah secara haram, efluen industri, lombong pasir yang merosakkan ekosistem sungai menyebabkan hidupan akuatik termasuk haiwan marin tidak dapat hidup.

Malaysian Journal of Analytical Sciences 2001 juga menunjukkan sungai yang mengalir melalui kawasan industri di Shah Alam dan Subang Jaya, Selangor tercemar dan sungai-sungai ini mengalir ke Sungai Klang yang juga termasuk dalam senarai sungai tercemar di Malaysia.

Kerjasama PBT, syarikat swasta dan universiti tempatan boleh membantu memantau kualiti air sungai menerusi aktiviti pengajaran, penyelidikan dan pengembangan.

Malaysia memerlukan pendekatan yang holistik dalam menyelesaikan masalah pencemaran sungai yang melibatkan pendidikan masyarakat setempat, pemantauan kualiti air, penguatkuasaan undang-undang, penglibatan swasta dan NGO serta pengiktirafan kepada masyarakat berkenaan.

Program yang pernah dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) iaitu Cintailah Sungai Kita perlu diaktifkan semula. Syarikat korporat boleh menyumbang kepada aktiviti seperti sungai angkat sebagai model pembersihan, pemantauan dan penyelenggaraan.

Pemilik kilang perlu mempunyai pengetahuan asas pengurusan sisa atau kumbahan kilang. Sistem pengurusan dan pemantauan kilang mesti ketat bagi mengelakkan pencemaran air sungai terutama yang melibatkan bahan kimia berbahaya.

Malaysia masih bergantung kepada air permukaan untuk diproses menjadi air minuman yang bersih dan selamat. Maka air sungai sangat penting dijaga kebersihannya.

Kebanyakan kawasan perumahan dan kilang terletak di tepi sungai, malah terdapat juga aktiviti pertanian seperti penternakan ayam dan kebun sayur. Penggunaan bahan kimia dan najis haiwan sekiranya masuk ke sungai akan mencemar air sungai yang akan mengganggu bekalan air minuman.

Teguran Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkaitan sungai-sungai di Kelantan, Pahang, Kedah dan Perak antara sungai-sungai di negeri di Semenanjung yang mempunyai kadar pencemaran sungai paling tinggi akibat aktiviti pembalakan untuk tujuan pembukaan kawasan baharu, perlu diberi perhatian.