Malah, pada ketika itu nelayan dinasihatkan untuk tidak turun ke laut ekoran ombak bergelora dan cuaca tidak mengizinkan sekali gus menggugat pendapatan mereka.

Namun, sejak beberapa tahun lalu industri perikanan makin berkembang terutama berkaitan kupang yang menjadi pilihan kebanyakan nelayan.

NELAYAN melihat benih dan anak kupang yang diternak di Sungai Sembilang, Selangor.
NELAYAN melihat benih dan anak kupang yang diternak di Sungai Sembilang, Selangor.

Sebelum ini juga Jabatan Perikanan mengadakan perbincangan dengan Majlis Perundingan Industri (MPI) bagi memacu hala tuju industri akuakultur negara pada masa hadapan.

Perbincangan tersebut bagi membincangkan hala tuju industri dan permasalahan dalam industri akuakultur yang menyumbang kepada bekalan protein.

Difahamkan, sumber perikanan negara berada pada tahap optimum apabila sektor akuakultur disasarkan dapat menyumbang 50 peratus kepada bekalan ikan negara.

Kelebihan laut yang tenang dan bersih di Kampung Sungai Sembilang, Kuala Selangor membolehkan golongan nelayan di situ mula menjinakkan diri dengan menceburi satu lagi bidang akuakultur iaitu ternakan kupang sebagai sumber pendapatan sampingan sejak November tahun lalu.

Menurut Ketua Komuniti MyKP Kampung Sungai Sembilang, Nor Hizam Harif, 47, ternakan kupang mampu menghasilkan pendapatan yang lumayan dan berpanjangan.

Sejak mengikuti kursus mengenai teknik ternakan kupang di Jabatan Perikanan Johor dan Melaka tahun lalu, beliau mendapati industri akuakultur itu dapat membantu menampung kehidupan nelayan untuk hidup lebih selesa.

Katanya, ketika ini harga pasaran kupang adalah RM6 sekilogam.

“Tempoh kupang membesar dianggarkan selama lapan bulan sebelum boleh dijual. Kupang yang diternak di sini dijangka bersaiz antara lima hingga lapan inci,” katanya.

Kaedah penternakan yang mudah dan tidak memerlukan perhatian rapi membolehkan golongan nelayan di sana bekerjasama melaksanakan penternakan tersebut dan pada masa sama masih turun ke laut menangkap ikan.

“Walaupun baru memulakan ternakan ini tetapi kami sudah dihubungi oleh peraih yang berminat untuk menjual kupang di pasaran,” jelasnya.

Ekoran masih terdapat peralatan yang boleh dikitar semula seperti jaring, projek ternakan kupang di Kampung Sungai Sembilang mampu menjimatkan kos.

“Sumber benih juga tidak menimbulkan masalah kerana benih kupang akan melekat pada jaring dan tali secara semula jadi.

“Buat masa ini terdapat empat projek kupang yang diusahakan melalui peruntukan sebanyak RM50,000 yang diberikan oleh kerajaan. Setiap satu projek boleh menampung sehingga satu tan kupang,” ujarnya.

Kupang terbanyak di perairan Johor

Penternakan kupang semakin popular dalam kalangan nelayan ekoran nilai komersial serta permintaan yang tinggi terutama dari industri makanan laut.

Aktiviti akuakultur tersebut menjadi pilihan nelayan kerana tidak memerlukan perhatian yang khusus selain diternak sebagai sumber pendapatan tambahan.

Pelbagai projek dianjurkan sejak beberapa tahun lalu oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan bagi mengembangkan usaha perniagaan dalam bidang akuakultur supaya industri itu berkembang serta mendatangkan sumber pendapatan sampingan yang lumayan.

Pengarah Kanan Penyelidikan Jabatan Perikanan, Dr. Zainoddin Jamari berkata, penternakan kupang paling banyak di perairan Selat Tebrau dan Pantai Barat Semenanjung iaitu dari Pontian, Johor sehingga Melaka.

Katanya, spesies kupang komersial yang terdapat di negara ini adalah Perna viridis yang diternak oleh nelayan selain spesies yang dahulunya banyak di perairan negara seperti Mytella charruana, Brachidontes pharaonis, Modiulus modulaides dan Arcuatula senhousia.

“Menurut perangkaan Jabatan Perikanan pada 2017 menunjukkan pengeluaran kupang negara terbanyak di Johor iaitu 2,231.62 tan metrik, diikuti Sarawak (29.60 tan metrik, Perak (6.50 tan metrik dan Pahang (3.17 tan metrik),” katanya.

Tambah Zainoddin, masa depan industri kupang amat besar berdasarkan nilai komersialnya.

“Pada masa kini, selain kupang segar, ia turut dijadikan separuh beku (half shell frozen),” ujarnya.

Kawasan yang sesuai untuk pembiakan kupang perlulah di kawasan perairan yang terlindung dan terdapat pelekatan benih kupang secara semula jadi pada substrat yang ada di situ seperti batu, batang kayu tenggelam dan kehadiran makanan (fitoplankon).

Pun begitu, ancaman alam sekitar dan aktiviti manusia seperti pembangunan tidak terkawal di kawasan daratan yang mencemarkan perairan dengan tanah atau lumpur dan sisa industri yang dilepaskan ke perairan boleh menjejaskan kemandirian kupang.