Sajian makanan ala Barat yang banyak menggunakan produk tenusu seperti susu segar dan keju menjadi kegemaran rakyat Malaysia ketika ini.

Kemunculan kedai-kedai hipster atau penjualan makanan dari atas trak (foodtruck) yang menyajikan makanan Barat seperti burger dan pasta berkrim meningkatkan lagi permintaan dalam industri tenusu negara.

Namun, walaupun permintaan memberangsangkan, kita masih tidak mampu untuk membekalkan hasil tenusu yang mencukupi untuk menampung permintaan.

Kita mengimport kira-kira 95 peratus susu dan produk tenusu dari luar negara, sekali gus menyumbang kepada peningkatan jumlah import saban tahun.

Oleh demikian, Koperasi Pegawai-pegawai MARDI Berhad (Komardi) mengambil langkah proaktif menceburkan diri dalam bidang penternakan lembu tenusu bagi meningkatkan pengeluaran hasil susu negara.

Bermula awal tahun ini, Komardi telah membawa masuk 220 ekor lembu baka kacukan Friesien-Jersey dari New Zealand.

Menurut Pengerusinya, Datuk Dr. Azizan Ab. Rashid, baka kacukan Friesian-Jersey dipilih dengan komposisi darah 10F6J atau 65 peratus Friesian dan 37.5 peratus Jersey.

Hal ini kerana katanya, baka Friesian mempunyai genetik pengeluaran susu yang banyak, manakala baka Jersey lebih ketahanan ke atas ketegasan haba.

“Baka kacukan ini dipilih kerana ia melengkapi antara satu sama lain iaitu baka Jersey yang sememangnya diketahui tahan panas dan sesuai untuk cuaca di negara ini, namun tidak mampu menghasilkan susu yang banyak.

“Baka Friesian pula mampu menghasilkan susu yang banyak namun mempunyai tahap kesuburan yang rendah dan ini akan dibantu oleh baka Jersey yang mempunyai tahap kesuburan yang tinggi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Seri kembangan, Selangor baru-baru ini.

Oleh itu, pihaknya menjangka baka-baka tersebut mampu menghasilkan susu antara 3,000 hingga 5,000 liter sehari untuk tujuan pengkomersialan secara besar-besaran.

Mengulas lanjut, beliau berkata, baka Jersey mempunyai tahap kesuburan yang tinggi kerana lebih efisien dalam pengambilan makanan berbanding baka Friesian.

Walau bagaimanapun, pejantan baka Friesian mempunyai karkas yang lebih berat iaitu 6.8 peratus berbanding baka Jersey, namun kedua-duanya mempunyai kolam takungan genetik yang banyak.

Bukan itu sahaja, yang paling penting, menurut Dr. Azizan, ialah baka-baka ini mempunyai rekod pedigree tiga generasi yang menjadi asas utama untuk pembiakan iaitu komposisi baka direkodkan dan nilai pembiakan (BV) untuk ciri-ciri tertentu dipamerkan.

Masalah yang berlaku ketika ini katanya, adalah lembu yang dibawa masuk dari Australia dan sebagainya diambil secara rambang oleh penternak tanpa mengetahui komposisi lembu tersebut.

Hal ini seterusnya menyebabkan kerja-kerja pembaikbakaan lembu bagi menghasilkan susu secara maksimum terbatas kerana tidak mempunyai rekod pedigree atau rekod generasi.

Oleh demikian, penternak atau pengeluar produk tenusu ini hanya mampu menjana hasil tenusu dalam jumlah yang sedikit dan tidak dapat untuk dikomersialkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Selain itu, faktor utama mempengaruhi kejayaan pengeluaran tenusu negara ialah pengubahsuaian sumber makanan yang lebih konsisten, berkualiti dan kos kompetitif.

Oleh itu, Komardi melakukan pengubahsuaian sumber makanan daripada bahan basah rumput seperti napier dan guinea kepada rumput kering alfalfa yang diimport.

Menurut Dr. Azizan, rumput kering alfalfa mempunyai kandungan protein kasar yang tinggi sebanyak 16 peratus dan tenaga metabolisma 8.9 kilogram berbanding rumbut sedia ada yang hanya mengandungi protein kasar sekitar sembilan peratus dan tenaga metabolisma sebanyak 7.5 kilogram.

Tambahnya, pemberian sumber makanan dalam bentuk kering boleh meningkatkan kadar pengambilan makanan oleh lembu tenusu, sekali gus meningkatkan hasil pengeluaran susu.

Bukan itu sahaja, bagi meningkatkan produktiviti hasil daripada baka-baka tersebut, Komardi turut melakukan pengubahsuaian iklim persekitaran di dalam kandang iaitu membina struktur atap yang tinggi untuk memaksimumkan pengudaraan.

Atap juga disalut dengan gentian kapas (wool fibre) untuk penebatan haba selain penggunaan kipas udara dan kabus air untuk menstabilkan suhu di dalam kandang.

“Mengubah suai persekitaran menggunakan kipas angin memberi impak yang amat tinggi untuk turunkan suhu pada badan lembu kepada 25 hingga 28 darjah Celsius walaupun suhu di luar sekitar 36 darjah Celsius.

“Lembu tenusu ini juga diberi minuman air sejuk serta pengurangan kandungan serat dalam makanan semasa ketegasan haba. Pemberian makanan adalah pada waktu malam iaitu semasa ketegasan haba berkurangan,” jelasnya.

Pusat pengeluaran lembu dara pengganti

Komardi juga akan mewujudkan pusat pengeluaran lembu dara pengganti untuk menggiatkan lagi usaha meningkatkan pengeluaran hasil tenusu tempatan.

Selepas pembiakan, anak yang mempunyai potensi genetik yang tinggi akan dipilih iaitu anak lembu yang berumur enam bulan dibeli daripada penternak susu.

Anak itu kemudiannya dipelihara dan dibuntingkan dalam tempoh 15 hingga 18 bulan sebelum lembu dara pengganti bunting antara lima hingga enam bulan dijual kembali kepada ladang tenusu asal.
Lembu dara pengganti itu seterusnya akan dijual kepada pasaran terbuka untuk penubuhan koloni tenusu yang baharu.

Bagi strategi pemasaran hasil produk itu pula, Dr. Azizan Ab. Rashid berkata, pihaknya telah memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan syarikat produk tenusu terkenal di tempatan, F&N dalam memasarkan hasil susu mereka baru-baru ini.

Katanya, susu yang banyak bakal dihasilkan itu nanti memerlukan bantuan daripada pihak lain untuk dikomersialkan kepada pengguna di seluruh negara.

“Di samping itu, kami juga akan mengeluarkan produk kami sendiri menggunakan hasil tenusu iaitu mengeluarkan pelbagai jenis keju.

“Sekarang ini telah menghantar seorang kakitangan kami ke Australia untuk belajar kaedah terbaik membuat keju dan akan dipasarkan di Malaysia nanti,” ujarnya.

Tambahnya, melalui usaha-usaha yang dilakukan ketika ini diharapkan dapat membantu membangunkan industri tenusu negara dan secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan negara terhadap produk tenusu import.