Sebagai haiwan darat yang paling besar memerlukan makanan yang banyak setiap hari. Gajah dilaporkan memakan sebanyak 150 kilogram (kg) sehari dan memerlukan kawasan yang luas untuk mencari makanan. Tanaman yang ditanam Orang Asli seperti pokok pisang, buah-buahan dan lain-lain menjadi tarikan gajah.

Konflik seterusnya berlaku apabila pembukaan tanah sejak tahun 1960-an untuk tanaman getah (Hevea brasiliensis) dan kelapa sawit (Elaeis guineensis).

Kedua-dua tanaman ini kemudiannya menjadi sumber utama ekonomi negara dan meletakkan Malaysia sebagai pengeluar utama getah dan minyak sawit dunia.

Sejak tahun 1800-an lagi gajah telah dilaporkan mengganggu tanaman durian di Selangor. Pada tahun 1990-an gajah mengganggu tanaman pisang dan kelapa di Pahang, gajah juga mengganggu tanaman padi dan getah, dan akhirnya gajah dikatakan sebagai perosak pada tahun 1900-an.

Pada tahun 1930-an, konflik menjadi lebih teruk apabila berlaku penerokaan hutan besar-besaran. Konflik bertambah pada tahun 1950-an dan terus meningkat pada tahun 1970an. Gajah memakan anak kelapa sawit dan getah.

Pada tahun 1920-an, kerajaan semasa itu dengan pengetahuan yang ada membunuh haiwan-haiwan yang menimbulkan konflik seperti seladang, babi hutan, rusa sambar dan termasuklah gajah.

Semasa itu, belum lagi ada undang-undang perlindungan hidupan liar. Sebelum 1960, tiada undang-undang melindungi gajah, maka berlaku penurunan populasi yang mendadak di habitat liar.

Kehilangan hasil pertanian meningkat akibat dimusnahkan oleh gajah, misalnya antara 1923 hingga 1930 kehilangan sebanyak RM1.02 bilion. Antara 1975 dan 1978, Felda, Felcra dan syarikat-syarikat lain kehilangan RM78 juta, maka gajah dimusnahkan dan menyebabkan populasi gajah terus menurun.

Pembunuhan gajah telah mempengaruhi taburan dan bilangannya di Semenanjung Tanah Melayu. Sebagai contoh, sebanyak 96 ekor gajah dibunuh di Perak antara 1948 hingga 1969 dan 127 ekor lagi dibunuh antara 1960-1963 di tempat-tempat lain. Antara tahun 1970 hingga 1976, bilangan gajah dibunuh berkurangan kepada 36 ekor kerana Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah mula fokus kepada pemuliharaan gajah.

Membina pagar eletrik dan membina parit penghalang ke kawasan tanaman antara kaedah yang diperkenal. Kemudian Perhilitan melaksanakan kaedah tangkap pindah dan menghalau gajah jauh ke dalam hutan.

Walaupun kaedah tangkap pindah memerlukan peruntukan besar dan kemahiran yang tinggi, kaedah ini masih diamalkan. Antara tahun 1974 hingga 2010 Jabatan Perhilitan telah memindahkan lebih 800 ekor gajah ke Taman Negara, Hutan Belum-Temenggor, Taman Negara Endau-Rompin dan Santuari Gajah di Sungai Deka, Terengganu.

Menurut statistik Perhilitan, antara 2006 hingga 2015, sebanyak 32 peratus konflik melibatkan tanaman buah-buah dan 29 peratus melibatkan tanaman ladang.

Punca utama konflik adalah disebabkan habitat gajah diganggu, kawasan keliaran mereka makin berkurang dan laluan mereka dihalang. Tanaman kelapa sawit, getah, pisang dan tebu dalam laluan mereka akan diganggu dan dimakan oleh gajah-gajah liar.

Usaha menyelesaikan konflik berterusan hingga sekarang dengan pelbagai cara bawah seliaan Jabatan Perhilitan.

Penyelidikan tentang kawasan keliaran gajah, laluan mereka mencari makanan dan sumber makanan yang mencukupi perlu dilakukan bagi membantu kawalan konflik gajah - manusia, di samping memberikan pengetahuan dan meningkatkan kesedaran kepada pihak berkuasa dan orang ramai.

Perancangan penggunaan dan pembangunan tanah mestilah mengambil kira habitat gajah secara umumnya dan konflik yang bakal dihadapi.

Kerjasama komuniti dan pihak kerajaan sangat penting dalam menghadapi konflik gajah - manusia. Dengan maklumat lengkap biologi dan ekologi gajah setempat dapat membantu agensi berkenaan dalam pengurusan konflik gajah.

Pada 12 Ogos setiap tahun, Hari Gajah Sedunia disambut yang bertujuan melindungi dan memulihara gajah liar daripada ancaman kepupusan.

Sambutan di seluruh dunia untuk menarik perhatian dan mendapat sokongan dunia dalam pemuliharaan gajah. Gajah Asia dan Afrika menghadapi kepupusan akibat daripada kemusnahan habitat, perburuan haram kerana gadingnya.

Walaupun gajah hanya di kawasan tropika Asia dan Afrika, Hari Gajah Sedunia disambut di seluruh dunia. Di Malaysia, terdapat dua kumpulan gajah iaitu di Semenanjung Tanah Melayu (Elephas maximus indicus) dan di Sabah (Elephas maximus borneensis).

Pembukaan tanah secara besar-besaran tanpa memahami habitat, pemakanan dan tingkah laku gajah menyebabkan habitatnya terganggu. Habitat makin mengecil menyebabkan kawasan keliaran mencari makanan menjadi terhad.

Kekurangan pengetahuan semasa itu dan permintaan tinggi untuk Malaysia membangun, membasmi kemiskinan penduduk, memberikan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar dan ketamakan ahli perniagaan menyebabkan penerokaan hutan tidak dirancang secara sistematik, mengambil kira hidupan liar khususnya gajah.

Gajah yang cerdik, dan hidup bersosial boleh menjadi agresif serta menyebabkan gangguan yang berulang.

Konflik gajah - manusia juga berlaku di negara lain seperti Sri Lanka, India, Bhutan, Bangladesh, Nepal, Indonesia, Vietnam, dan Kemboja.

Konflik gajah - manusia menarik perhatian serius dalam kalangan ahli pemuliharaan dan pihak kerajaan. Kes pemusnahan stor makanan, tanaman, bangunan, pagar dan kadang-kadang membahayakan manusia menjadikan isu konflik gajah - manusia lebih penting.

Laporan Journal of Wildlife and Parks 2016, masalah konflik gajah - manusia di Malaysia serius dan menyebabkan kerugian besar dan kehilangan nyawa.

Gajah Asia yang dikategorikan sebagai haiwan dalam Senarai Merah spesies terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) dan dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang Malaysia bawah akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.

Populasi gajah kian susut

Dalam Forum Biodiversiti 2016, populasi gajah di Semenanjung Tanah Melayu adalah antara 1,200 hingga 1,400 ekor. Anggaran ini berdasarkan pemerhatian tahi gajah yang dicadangkan oleh Wildlife Conservation Society 2008.

Mungkin data ini kurang tepat. Maklumat sebenar bilangan gajah dan kawasan keliarannya perlu dipantau pihak berkuasa, penyelidik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga penduduk tempatan. Maklumat ini penting bagi membantu pengurusan gajah dan konflik gajah - manusia.

Berdasarkan laporan literatur pada tahun 1940-an, lebih kurang 102,000 km persegi hutan di Semenanjung Tanah Melayu.

Selepas merdeka kawasan tanah rendah hutan dipterokap yang menjadi habitat gajah telah diteroka untuk pertanian getah dan kelapa sawit. Felda dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Pesekutuan (Felcra), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) antara program pembukaan tanah secara besar-besaran untuk pembangunnan ekonomi negara.

Dengan permintaan tinggi minyak masak berkualiti dijangkakan penerokaan hutan untuk kelapa sawit akan bertambah dan memberikan tekanan kepada populasi gajah yang memerlukan kawasan keliaran yang luas. Pembinaan empangan juga menyebabkan hilang habitat gajah dan kawasan keliaran mereka.

Penerokaan hutan bukan sahaja mengurangkan habitat tetapi memberikan laluan kepada pemburu haram dan kemalangan jalan raya melibatkan gajah.

Kawasan keliaran gajah adalah kawasan yang dilalui sepanjang tahun dalam habitat semula jadi mereka. Saiz kawasan keliaran ditentukan oleh sumber makanan, perubahan musim, dan faktor lain seperti sumber air, sumber mineral, kehilangan habitat dan halangan laluan mereka. Kajian jangka panjang perlu dijalankan bagi tujuan pemuliharan gajah termasuk melibatkan Central Forest Spines (CFS) yang dicadangkan kerajaan.

Laporan kajian dalam Mammal Study 2016 tentang permakanan gajah di habitat liar menunjukkan pemilihan makanan mereka berbeza bergantung kepada habitat.

Analisis tahi gajah di hutan primer mendapati kurang rumput berbanding daun monokotiledon (22 peratus), manakala di hutan sekunder (32 peratus) dan gajah di tepi jalan raya mengandungi (47 peratus) rumput dalam tahinya. Penebangan hutan dan pembersihan kawasan berdekatan jalan raya merubah landskap tumbuhan. Kawasan lapang mudah ditumbuhi pokok buluh, kumpulan halia dan rumput-rumput.

Kaedah mudah seperti kajian tentang tahi gajah mungkin boleh membantu pengurusan konflik gajah - manusia.