Kedua-dua klon baharu rambutan tersebut diisytiharkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub di Sintok, Kedah baru-baru ini, menandakan satu lagi kejayaan R&D Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), agensi kementerian berkenaan.

Menurut Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd. Noor, pihakya memulakan penyelidikan dalam penghasilan varieti rambutan baharu sejak 1981.

“Ia bukanlah satu tugasan yang mudah memandangkan rambutan adalah tumbuhan saka dan bermusim. Dalam penyelidikan ini, pendekatan program biak baka konvensional dan bioteknologi telah digunakan.

“Teknik kacukan khusus iaitu teknik pendebungaan terbuka telah dilaksanakan diikuti dengan empat tahap cantasan berperingkat-peringkat serta pembangunan Indeks Pemilihan Rambutan.

“Semua ini sebagai usaha untuk memilih rambutan yang benar-benar baik. Untuk mendapatkan varieti baharu bukan mudah, ia bukan sahaja memerlukan masa puluhan tahun malah menelan peruntukan yang banyak, melebihi RM 1 juta,” ujarnya.

Beliau berkongsi kejayaan tersebut pada Majlis Pelancaran Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Buah-buahan Tropika dan Pengisytiharan Klon Baharu Rambutan MARDI di Sintok, Kedah baru-baru ini.

Majlis yang disempurnakan oleh Salahuddin Ayub itu turut dihadiri Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Sallehuddin Hassan.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, bagi membangunkan klon-klon berkenaan, sebanyak 10,000 biji rambutan generasi kedua disemai yang kemudian dinilai dan dipilih sehingga mendapat 30 individu yang berpotensi.

Daripada 30 individu itulah kedua-dua klon tersebut dipilih berdasarkan ciri-ciri yang baik dan dikehendaki industri.

Pengisytiharan klon-klon berkenaan adalah bukti komitmen MARDI dalam memberi hasil yang terbaik bagi membangunkan sektor pertanian dan industri asas tani negara.

Orang ramai boleh mula mendapatkan benih klon baharu itu menerusi tempahan di pusat MARDI dengan harga RM15.

Buat masa ini, ia dihadkan kepada 10 anak pokok sahaja bagi setiap tempahan.

MARDI akan terus menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan varieti dan teknologi baharu dari semasa ke semasa.

Pihaknya juga mengambil pendekatan proaktif untuk menyelesaikan masalah yang timbul di lapangan untuk kemaslahatan petani dan peladang.

COE bantu jana industri buah-buahan

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, Pusat Kecemerlangan (COE) Penyelidikan dan Inovasi Buah-buahan ini dibangunkan dengan berkonsepkan zero waste.

Ia menggunakan pendekatan organik bagi urus tadbir ladang yang lestari serta mampu menghasilkan varieti baru buah-buahan, pengeluaran bahan tanaman berkualiti, dan pengurusan perosak serta penyakit yang mampu menghasilkan produk hiliran yang berkualiti dan bermutu tinggi bersesuaian dengan piawaian nasional dan antarabangsa.

COE buah-buahan itu menjadi tempat rujukan dan tarikan agropelancongan pada peringkat domestik mahu pun global.

Fokus utama penyelidikan dan pembangunan (R&D) di COE buah-buahan itu adalah berkaitan penyelidikan buah-buahan tropika utama seperti durian, manggis, rambutan, betik, nanas, belimbing, ciku dan pisang.

Aktiviti R&D yang difokuskan itu meliputi pembangunan varieti buah-buahan tropika untuk hasil tinggi dan berkualiti, menyediakan teknologi, kaedah dan prosedur operasi standard (SOP), dan pengeluaran tanaman yang sistematik, ekonomi serta lestari.

Aktiviti penyelidikan meliputi bidang pembiakbakaan, agronomi, pengurusan perosak serta penyakit, pengendalian lepas tuai, mekanisasi, dan pengeluaran biji benih serta anak pokok berkualiti, selain menjadi pusat rujukan bagi agensi setempat dan seluruh negara berkaitan teknologi buah-buahan.

Menurut Salahuddin, bagi menghadapi cabaran dalam industri berasaskan buah-buahan tropika, hala tuju penyelidikan mesti memfokuskan kepada pembangunan teknologi, pengeluaran buah-buahan hibrid berhasil tinggi, rintang penyakit, dan pembangunan pakej pengurusan perosak serta penyakit secara sistematik lagi mesra alam bagi mengawal merebaknya perosak serta penyakit.

Selain itu, penghasilan mestilah cekap dan kos efektif dengan memaksimumkan penggunaan input bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil buah-buahan premium bagi pasaran tempatan dan global.

Dalam pada itu beliau berkata, dengan adanya kedua-dua klon rambutan itu, ia sememangnya berpotensi untuk bersaing dengan klon-klon yang sedia ada.

Ini pastinya akan dapat merangsang pertumbuhan industri dan melonjakkan harga pasaran buah rambutan. Petani akan menanam rambutan secara besar-besaran.