Masalah umum sebegini mendorong seorang pemuda, Syed Naufal Putra Syed Jaafar, 27, untuk menghasilkan satu inovasi berkonsepkan kit penjagaan haiwan kesayangan.

Lebih menarik, inovasi tersebut merupakan antara produk pertama di dunia yang mengfokuskan kepada panjagaan dan rawatan haiwan peliharaan.

Bertindak sebagai Pengasas Putra Vet International, Syed Naufal berkata, kit penjagaan haiwan kesayangan itu berfungsi sebagai rawatan awal yang dipanggil rawatan pra sekiranya berlaku apa-apa kecederaan kepada haiwan sebelum dibawa ke klinik veterinar.

“Kucing bergaduh atau disengat pada waktu malam susah untuk hantar ke klinik kerana tutup. Jadi masalah itulah yang menyebabkan saya terpanggil untuk mencipta inovasi ini dan produk ini adalah yang pertama dunia.

“Jadi dengan penciptaan ini, kami komited untuk meletakkan produk Malaysia ke tahap yang lebih baik berbanding negara-negara maju yang lain,” katanya dalam sesi temu bual bersama Utusan Online di sini hari ini.

KIT bersalin haiwan kesayangan
KIT bersalin haiwan kesayangan yang dicipta Syed Naufal adalah antara pruduk unik dan produk pertama dunia. - UTUSAN ONLINE

Jelas Syed Naufal, ciptaan itu juga sebagai suntikan kepada pemilik haiwan untuk menjadi pemilik yang bertanggungjawab dengan menyediakan kit rawatan awal sebelum tibanya waktu pagi untuk dibawa ke klinik veterinar.

Melalui inovasi tersebut, Syed Naufal berjaya memperkenalkan tujuh kit utama iaitu kit mini, kit asas, kit VIP, kit SPA, kit anak haiwan serta dua kit paling unik iaitu kit haiwan bersalin dan kit pengebumian haiwan.

Berbicara mengenai dua kit unik yang dihasilkan, anak kelahiran Johor itu memberitahu, kit bersalin dan kit pengebumian haiwan adalah ciptaan yang paling menarik dan tidak pernah wujud di mana-mana negara.

“Dalam kit bersalin kita sediakan alatan yang membantu haiwan kesayangan itu untuk melahirkan anak seperti keselesaan tempat bersalin dan juga ubat-ubatan bagi mengelakkan sebarang masalah jangkitan kuman sewaktu melahirkan anak.

“Untuk kit pengebumian haiwan pula di dalamnya ada kain kapan, kapur serta batu nisan yang dicipta khas walaupun bukan diperbuat daripada batu. Lebih menarik kita sertakan juga tip untuk pemilik haiwan belajar menggali kawasan tanah dari segi kedalaman dan keluasan yang sesuai untuk tanam haiwannya," katanya.

KIT pengebumian haiwan
KIT pengebumian haiwan kesayangan yang turut mengandungi kain kapan, batu nisan khusus dan tip pengebumian kepada pemilik haiwan kesayangan. - UTUSAN ONLINE

Tambahnya, perkara penting yang menjadi pertimbangan mencipta kit pengebumian haiwan itu adalah kerana ingin mencegah sejenis penyakit berjangkit yang dikenali sebagai Zoonotik.

“Zoonotik ini adalah sejenis penyakit berjangkit sesama haiwan dan lebih merbahaya apabila ia juga boleh berjangkit kepada manusia. Itu yang menjadi kebimbangan dan fokus kami.

Pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Veterinar Daerah Jasin, Melaka, Syed Naufal turut menjadikan Akta Kebajikan Haiwan 2015 di bawah Seksyen 24 (1) (A) (5) yang memperuntukkan keperluan penjagaan haiwan kesayangan.

“Di atas semangat akta kebajikan ini jugalah menjadi inspirasi saya untuk mengeluarkan produk Putra Vet International ini demi kebajikan haiwan,” tambahnya.

Putra Vet International kini bertapak di bawah Pusat Inkubasi [email protected] Universiti Putra Malaysia (UPM) yang merupakan salah satu program di bawah Kementerian Pendidikan.

Bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 yang akan berlangsung dari 22 November hingga 2 Disember, Syed Naufal akan turut berada di gerai Agro Youth Pavillion, Unit Usahawan Agro Muda di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang.

“Untuk MAHA 2018 nanti, kami lebih fokus kepada kesedaran untuk memiliki kit kecemasan haiwan ini. Di mana kami cuba mensasarkan setiap satu keluarga yang membela haiwan kesayangan untuk memiliki satu kit kecemasan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE