Ia tidak hanya sedap dijadikan makanan malah turut memiliki pelbagai khasiat dan kegunaan.

Antaranya adalah kandungan polisakarida dari dalam cendawan boleh digunakan dalam pelbagai bidang penyelidikan terkini seperti perubatan, nutraseutikal dan kosmeseutikal.

Dalam bidang perubatan polisakarida daripada cendawan telah dikenal pasti sebagai agen terapeutik dan antitumor yang berfungsi mengawal gerak balas sistem imun dalam tubuh manusia dan haiwan.

Ia juga didakwa mampu merencatkan pertumbuhan tumor serta mampu mengurangkan kesan sampingan dalam kalangan pesakit kanser yang menjalani proses radioterapi atau kemoterapi.

Menyedari akan potensi yang besar polisakarida cendawan untuk tujuan komersial Pegawai Penyelidik, Bahagian Agroteknologi dan Biosains, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), Shaiful Azuar Mohamad tampil dengan teknologi nuklear khas untuk mengekstrak bahan tersebut dengan lebih baik.

Jelasnya, polisakarida cendawan kini telah digunakan secara meluas di negara-negara maju dalam bidang perubatan dalam kegunaan lain seperti penyampaian ubat, penyembuhan luka dan rawatan mata.

“Antara komponen utama polisakarida cendawan yang dilaporkan adalah kehadiran B-glukan.

“Walau bagaimanapun, kepelbagaian struktur polisakarida dan mekanisma antitumornya yang masih tidak dapat difahami dengan jelas menyumbang kepada lebih banyak persoalan yang masih belum terjawab,” katanya.

Oleh demikian lebih banyak kajian perlu dilaksanakan ke atas polisakarida cendawan dan apa yang pasti bahan itu juga diperlukan dalam skala yang besar untuk tujuan komersial.

Untuk itu, penentuan dan pencirian polisakarida cendawan adalah penting bagi mengenal pasti aplikasinya yang sesuai.

Di Nukelar Malaysia, kaedah pencirian polisakarida cendawan tambahan dilakukan dengan teknologi nuklear.

Banyak peralatan berasaskan teknologi nuklear dapat membantu memberi maklumat tambahan termasuk aspek pengetahuan asas. Antara peralatan berasaskan teknologi nuklear yang diguna pakai adalah teknologi penyerakan neutron, penyerakan sinar-X dan pelbagai lagi.

Teknologi penyinaran juga turut digunakan bagi mendapatkan cendawan mutan dengan sifat-sifat tertentu.

Selain itu penyinaran juga turun digunakan untuk aspek fizikal polisakarida cendawan, sekali gus meningkatkan ketelarutannya.

Setelah cendawan dimutasi dan penghasilan baka lebih baik untuk proses pengeluaran polisakarida yang lebih banyak, ia akan diekstrak mengunakan kaedah khas.

Jelas Shaiful Azuar, polisakarida boleh diekstrak daripada cendawan menerusi kaedah fermentasi substrat pepejal atau fermentasi kultur tenggelam.

“Di sini kami menumpukan kepada jenis cendawan tiram yang mana sumber bahan mentahnya masih banyak. Cendawan tiram ini akan melalui proses fermentasi kultur tenggelam melibatkan penggunaan bioreaktor khas,” katanya.

Tambah Shaiful Azuar, penggunaan bioreaktor khas yang dicipta tersebut membolehkan polisakarida cendawan tiram dapat diekstrak dengan lebih cepat dan lebih fokus.

Kajian yang dilaksnakan oleh Shaiful Azuar serta kumpulan penyelidiknya turut disokong oleh dana Sciencefund, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) seterusnya membolehkannya melanjutkan pengajian pada peringkat doktor falsafah.

Hasil kajian yang dipamerkan telah mendapat beberapa anugerah pada peringkat Nuklear Malaysia dan kebangsaan, selain hasilnya sedang dalam proses difailkan untuk perlindungan harta intelek serta menaik taraf kemudahan kepada skala loji perintis.