Tujuan sambutan ini seperti juga sambutan hari-hari lain adalah untuk memberikan pengetahuan dan kesedaran kepada pelajar dan orang awam tentang kelip-kelip dan mempopularkan lagi kelip-kelip di Kampong Kuantan sebagai destinasi penting ekopelancongan dalam negara dan antarabangsa.

Masyarakat setempat mesti faham kelip-kelip bukan sahaja penting untuk peningkatan ekonomi pengusaha sampan tetapi banyak aspek lain seperti ekologi dan kebajikan pelancong seronok menikmati keunikan kelip-kelip.

Cabaran yang dihadapi kelip-kelip antaranya ialah kehilangan habitat, pencemaran bahan kimia seperti racun perosak, kemasukan air masin dan gangguan permukaan tanah terutamanya di kawasan hulu Sungai Selangor.

Dalam pada itu, kelip kelip di Kampung Kuantan, Kuala Selangor sudah berada dalam senarai popular dunia dan menjadi destinasi utama pelancong. Setiap tahun, Kampung Kuantan menerima ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

Laporan sejak 2003 menunjukkan peningkatan pelancong berterusan dari tahun ke tahun. Catatan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) seperti yang dilaporkan oleh Geografia 2010, kedatangan pelancong ke Kampung Kuantan melebihi 50,000 orang setahun.

Peningkatan pelancong tempatan dan antarabangsa melihat kelip-kelip di Kampung Kuantan menunjukkan keunikan destinasi penting dunia ini yang patut diberikan perhatian banyak pihak.

Pada 2013, jumlah pengunjung adalah 77,212 orang diikuti seramai 79, 800 (2014) dan terus meningkat kepada 84,838 pada 2015. MDKS menyasarkan purata 80,000 orang pelancong setahun mengunjungi Kampung Kuantan untuk melihat kelip-kelip.

Artikel Journal of Tropical Forest Science 2013 melaporkan pelancong ramai pada hujung minggu termasuk dari Eropah, Australia, Korea, Jepun dan rantau Arab. Pelancong gemar menikmati keunikan kelip-kelip di Kampung Kuantan.

Kerana kelip kelip berpotensi tinggi dalam menjana ekopelancongan dan boleh memberi manfaat kepada sosioekonomi tempatan di samping kepentingannya kepada alam sekitar, maka perhatian perlu diberikan terhadap ekosistem, biologi dan ekologi sumber dalam sektor berkenaan. Aktiviti penyelidikan, pendidikan dan pemantauan demi kelestarian produk pelancongan ini perlu ditingkatkan.

Pelbagai pihak seperti MDKS, agensi pelancongan negeri dan persekutuan misalnya boleh mendapatkan nasihat pakar, menarik minat penaja dan sokongan penduduk yang mendapat manfaat daripada kelip-kelip ini,

Dengan itu, semua aktiviti bagi memastikan kelestarian ekopelancongan berasaskan kelip-kelip dapat diselaraskan.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) boleh membantu menjayakan hasrat tersebut.

Oleh kerana kelestarian kelip-kelip melibatkan habitat dan kualiti alam sekitar, maka banyak pihak sepatutnya terlibat dalam membantu pengurusan habitatnya.

Sebagai tempat tumpuan pelancong, maka semua kriteria keselamatan, kesempurnaan kemudahan awam dan kebersihannya, kualiti alam sekitar, populasi dan piawai habitat kelip-kelip mestilah dijaga. Pemandu pelancong juga mestilah mempunyai pengetahuan yang diperlukan bagi memenuhi kehendak pelancong.

Kajian menunjukkan pengetahuan pemandu pelancong tentang kelip-kelip boleh membantu menarik minat dan memberi kepuasan kepada mereka. Pengetahuan dan kreativiti pemandu pelancong akan membantu orang ramai yang mengunjungi Pusat Kelip-kelip Kampung Kuantan dan menyokong program pemuliharaan kelip-kelip untuk pelancongan.

Maklumat tentang kelip-kelip dan habitatnya serta isu-isu yang menjadi cabaran kepada kelestarian populasinya perlu dibincangkan dengan pelancong. Keunikan populasi kelip-kelip di Kampung Kuantan dan cabaran yang boleh mengancam populasi mereka sudah tentu akan mendapat simpati pengunjung dan akan turut membantu pemuliharaannya.

Kerana populasi kelip-kelip ini berstatus antarabangsa, perhatian serius oleh pihak bertanggungjawab sangat diperluka.

Kelestarian kelip-kelip dan habitatnya sudah tentu menjanjikan tumpuan pelancong yang lebih dan meningkatkan pendapatan pengusaha ekopelancongan di situ. Sekiranya pendapatan mereka hanya antara RM300 hingga RM500 sebulan, sejak lima tahun kebelakangan pendapatan meningkat kepada antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.

Disambut setiap Julai

PENEROKAAN ke atas tanah yang berlebihan menyebabkan hakisan permukaan apabila musim hujan dan menyebabkan kelodak dalam sungai, mengganggu kestabilan tebing sungai dan memusnahkan pokok-pokok di tebing sungai yang menjadi habitat kelip-kelip. Konflik pencegahan banjir akibat aliran air berlebihan di hulu sungai, aktiviti pertanian dan pembalakan, aktiviti manusia rapat dengan sungai dan tiada zon penampan yang cukup di sepanjang tebing sungai merupakan cabaran yang mengancam populasi serangga.

Kelip-kelip spesies Pteroptryx tener adalah spesies yang terbanyak di Kampung Kuantan. Spesies ini yang bersaiz lebih kurang lima mm mengeluarkan cahaya berkelip-kelip pada bahagian bawah abdomennya.

Kelip-kelip jantan mengeluarkan cahaya lebih terang berbanding betina bertujuan untuk pembiakan.

Kitaran hidupnya lebih kurang dua hingga tiga minggu bagi dewasa dan larvanya mengambil masa yang lebih lama serta pemangsa kepada sejenis siput Cycloptropis carinata yang hidup di tebing sungai.

Pokok bakau berembang (Sonneratia caseolaris) adalah sejenis pokok bakau yang tumbuh liar di tebing Sungai Selangor. Pokok berembang penting kepada kelip-kelip dewasa sebagai sumber makanan kerana ia mempunyai gula dan tempat membiak.

Pokok berembang juga penting sebagai habitat kelip-kelip serta bertindak sebagai penapis kotoran serta racun dan mengeluarkan air bersih untuk hidupan di dalam sungai.

Kajian tentang profil habitat kelip-kelip yang dilaporkan dalam Malaysian Applied Biology 2012 menunjukkan pokok berembang di sepanjang Sungai Selangor di Kampong Kuantan memainkan peranan penting untuk populasi kelip-kelip.

Kajian ke atas koloni serangga tersebut di beberapa tempat seperti Kuala Sepetang, Kuala Linggi, Sungai Rembau mendapati majoritinya atau 75 peratus terdapat pada pokok berembang berbanding dengan pokok-pokok lain yang cuma 10 peratus.

Walaupun tebing sungai dilindungi undang-undang bawah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), kehilangan habitat kelip-kelip masih berterusan sejak tahun 2007 akibat pembukaan tanah untuk pertanian.

Kerana serangga tersebut merupakan sumber ekopelancongan penting, maka pemantauan, penguatkuasaan undang-undang, pendidikan dan penyelidikan tentang ekologi serta biologinya perlu diteruskan.

Hari kelip-kelip pertama kali diumumkan pada tahun lalu dalam Simposium Kelip-kelip Antarabangsa di Taipei, Taiwan.

Bagi meningkatkan kesedaran awam untuk pemuliharaan serangga berkenaan, Sambutan Hari Kelip-Kelip Sedunia dicadangkan pada minggu pertama bulan Julai setiap tahun.

Sesuai dengan tema yang menarik dan sangat bermakna selari dengan kelip-kelip yang memikat pelancong menikmati keindahan cahaya malam pada habitat semula jadi, semua orang perlu ingat untuk terus melindungi kelip-kelip di habitat asal mereka agar dapat menyediakan sumber ekopelancongan yang lestari.

Populasi kelip-kelip Kampung Kuantan memerlukan pemantauan yang berterusan dari segi habitatnya dan semua faktor yang mungkin mengganggu kestabilan populasi.

Semua perubahan parameter ekologi yang sensitif kepada perubahan populasi kelip-kelip dipantau bagi membantu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.