Wartawan LAUPA JUNUS menyingkap usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) seperti Odoors serta penggubalan garis panduan dengan pewujudan Mampan dan MyCrest bagi persediaan ke arah itu menerusi laporan khas empat siri ini bertajuk Binaan mesra alam.

 

Hari ini kehebatan industri pembinaan bukan sahaja melambangkan kemajuan negara tetapi juga memberi keselesaan hidup kepada penduduknya.

Pembangunan lestari antaranya yang diberi perhatian terutama ketika kita sedang bercakap mengenai keharmonian alam sekitar.

Justeru, pemaju sudah berfikir bagaimana rumah kediaman juga harus dibina dengan nilai estetika dan mesra alam.

Sebuah rumah yang dibangunkan menggunakan 67 buah panel pintu sudah tentu mengujakan tetapi bagi sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mereka ada sebab membangunkan kediaman seperti itu.

Jumlah pintu yang banyak itu dikatakan penting kerana komponen tersebut merupakan sistem binaan atau teknologi, sistem industri pembinaan terbuka (open industrialised building system) yang menjadi asas kepada reka bentuk bangunan rumah berkenaan.

Penyelidikan yang dinamakan Protaip Rumah Odoors (Open Doors System House) dan pasukan penyelidiknya dianggotai pelbagai kepakaran dari Fakulti Kejuruteraan dan Institut Sultan Iskandar Universiti Teknologi (UTM).

Pasukan penyelidiknya terdiri daripada Prof. Dr. Mohd. Hamdan Ahmad sebagai ketua dan ahlinya adalah Prof. Dr. Syed Ahmad Iskandar Syed Ariffin, Prof. Madya Dr. Mohd. Zamani Ahmad, Dr. Leng Pau Chung, Dr. Christopher Heng Yii Sern, Dr. Irina Safitri Zin yang mempunyai kepakaran dalam bidang perumahan mampu milik dan lestari.

Kata Dr. Hamdan, idea kajian bermula dengan konsep pendekatan DIY (Do-It-Yourself) dan konsep IBS (Integrated Building System) lama diperkenal dalam kehidupan kita.

Kedua-dua konsep tersebut berpotensi untuk diterapkan dalam penyelidikan ini memandangkan kos tenaga kerja mahir semakin tinggi dan merupakan salah satu faktor melambungnya kos perumahan semakin tinggi.

Hasil penyelidikan ini berpandukan kedua-dua konsep ini berpegang kepada konsep kemampanan alam bina.

Penyelidikan tersebut dimulakan pada 2006.

Pada mulanya projek tersebut merupakan program pembangunan Model Kediaman Baharu Bagi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi Orang Asli.

Berkongsi lebih lanjut Dr. Mohd. Hamdan berkata, dalam sesebuah rumah, pintu merupakan sistem modular yang boleh didapati dengan mudah di kedai perkakasan (hardware store) di mana-mana sahaja.

Pintu adalah ringan dan boleh didirikan oleh seorang atau secara kumpulan dengan mudah. Pintu adalah dinding, tingkap dan semestinya juga pintu!

Menurutnya, keluasan ruang seperti bilik tidur ditentukan oleh pintu. Contohnya, bilik tidur utama adalah tiga pintu kali empat pintu, manakala bilik yang lain adalah terdiri (dibina) daripada tiga pintu kali tiga pintu.

"Kaedah keluasan berpandukan pintu ini seperti di Jepun menggunakan bilangan tikar tatami (tatami mat).

"Jika kerosakan kepada satu pintu berlaku, tuan rumah boleh tukar satu pintu sahaja dengan mudah,’’ ujarnya.

Katanya lagi, terdapat pelbagai jenis pintu dan apabila digabungkan, ia akan dapat pelbagai imej selain dapat menentukan kemampuan kewangan tuan punya rumah.

Selain itu, boleh juga guna semula pintu yang lama.

Menurut beliau lagi, pintu yang boleh dibukalaraskan mengikut kehendak penghuni dapat mengawal pengudaraan untuk keselesaan terma (haba)dan kelangsungan dengan alam sekitar.

Bagi Odoors, ia merupakan penyelidikan lanjutan daripada projek geran yang selaras dengan Dasar Perumahan Negara yang komited bagi memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

Fokus projek adalah bagi membolehkan golongan termiskin dan kurang mampu berpeluang memiliki kediaman di bawah PPRT.

Keseluruhan pembinaan ini mampu dibina oleh tenaga kerja tidak mahir dengan merujuk kepada panduan pembinaan yang dihasilkan dalam projek ini dengan bahan binaan yang sedia ada di pasaran.

Dengan adanya panduan pembinaan, tenaga kerja tidak mahir seperti penduduk kawasan, pelajar institusi pendidikan tinggi, sukarelawan dan lain-lain mampu menyiapkan rumah bagi golongan yang memerlukan dalam tempoh yang singkat.

Jenis dan ukuran bahan pembinaan telah dinyatakan dalam panduan. Bahan pembinaan boleh dibeli dan ditempah terus tanpa memerlukan reka bentuk rumit yang mengambil masa untuk proses penghasilan bahan.

Konsep rumah Odoors bertujuan untuk mereka bentuk prototaip perumahan mampu milik yang dapat siap bina dalam waktu yang singkat berbanding dengan kaedah pembinaan konvensional.

Selain itu, konsep pembinaan tersebut juga melibatkan usaha dan kerjasama masyarakat dalam proses pembinaan.

Panduan pembinaan yang telah dihasilkan dalam penyelidikan ini tidak memerlukan tenaga kerja mahir malahan bahan pembinaan dapat diperoleh dari pasaran dengan mudah.

Kerja-kerja pembinaan pula dijangka dapat dihasilkan dalam jangka waktu antara tiga hingga empat minggu bergantung kepada konteks tapak dan skala prototaip.

Satu kajian keselesaan terma telah dijalankan ke atas prototaip Odoors setelah pembinaan disiapkan.

Dengan perancangan orientasi dan susun atur pelan yang sesuai, reka bentuk prototaip yang berkesan serta pemilihan bahan binaan yang wajar dan mesra alam, suhu ruangan dalaman bagi prototaip Odoors dalam lingkungan 25.860 Celsius (oC) hingga 29.09o C, ketika suhu persekitaran mencecah 33.8o C.

Kajian menunjukkan bahawa rumah prototaip Odoors yang berkonsepkan pembukaan fleksibel itu mampu menyediakan keselesaan terma kepada penghuni.

Mengenai kos pula, ia bergantung kepada kompleksiti susun atur dan reka bentuk yang diperlukan.

 

Konsep IBS bantu penyelidikan

Dalam pada itu , Prof. Dr Mohd. Hamdan Ahmad berkata, pihaknya merancang pelbagai fungsi pada masa akan datang iaitu dengan menambahkan lagi fleksibiliti prototaip rumah berkenaan untuk konteks berbeza. Pihaknya juga akan menambah baik dari segi variasi reka bentuk ruang untuk memenuhi keperluan mengikut keadaan seperti rekreasi, kegunaan mangsa malapetaka, struktur sementara bagi kegunaan tapak pembinaan, atau program atau aktiviti dan sebagainya.

Beliau juga berharap dapat menambah baik keselesaan visual dan terma (haba) prototaip sedia ada.

Mengenai senario teknologi perumahan ketika ini, beliau berkata, perkembangan dan variasi Integrated Building System (IBS) dalam pembinaan rumah mampu milik di negara kita, golongan profesional seperti arkitek, pakar inovatif, pereka bentuk dalaman dan ahli akademik telah menyumbang idea serta usaha selaras dengan Dasar Perumahan Negara yang bermatlamat menyediakan perumahan mampu milik berkualiti dan mencukupi.

"Sebagai contoh, Konsep Rumah Ihsan Johor merupakan salah satu daripada usaha kerajaan negeri untuk membantu golongan kurang bernasib baik di negeri itu selain Perumahan Pr1ma yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan,'' ujarnya.


Justeru, prototaip Odoors amat sesuai dan berpotensi selaras dengan usaha kerajaan dalam konteks tersebut. Pembangunan konsep Odoors itu juga penting selaras dengan keperluan rumah mampu milik yang semakin meningkat, dan ia diharap dapat dimanfaatkan untuk kegunaan masyarakat dan golongan yang memerlukan terutama golongan berpendapatan rendah.

Selain itu, konsep Odoors juga dapat memanfaatkan golongan mangsa malapetaka. Dengan aplikasi konsep DIY dan IBS, golongan mangsa akan memperoleh kediaman sementara dengan segera.