Ramai yang sangsi akan kemampuan, kebolehpasaran dan bagaimana meningkatkan keyakinan pengguna untuk memanfaatkannnya . Ini kerana kebanyakan inovasi luar bandar dihasilkan untuk menyelesaikan masalah kerja harian mereka.

Bagi tujuan tersebut Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) baru-baru ini membuka tawaran permohonan dana Program Malaysia Social Innovation (MySI) 2019 kepada semua agensi atau syarikat berkaitan kerajaan yang berada di bawah semua kementerian.

Permohonan untuk dana yang berjumlah RM5 juta dibuka sepanjang Mei lalu.

Dana tersebut sebelumnya dikenali sebagai Program MOSTI Social Innovation (MSI) sejak 2016 dan hanya terbuka kepada agensi-agensi di bawah MESTECC.

Dijenamakan kepada MySI dan ia merupakan salah satu daripada 73 inisiatif MESTECC 2019 diumumkan Januari lalu.

Tujuan dana dan program tersebut adalah meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat dengan keutamaan kepada golongan B40 menerusi pelaksanaan projek aplikasi teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan berinovatif yang telah dibangunkan dan sedia dilaksanakan secara mampan.

Menurut Timbalan Menteri MESTECC, Isnaraissah Munirah Majilis, program MySI ini merupakan satu daripada sumbangan kementerian yang boleh dibanggakan kerana dana yang diperuntukkan secara langsung dapat dirasai oleh komuniti.

“Saya ingin menyeru kepada pemohon dana MySI untuk menggunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya bagi membantu kumpulan sasar seperti orang kurang upaya, ibu bapa tunggal, warga emas, penganggur, peladang, penternak dan sebagainya,” ujarnya.

Beberapa kriteria yang dipertimbangkan adalah teknologi tersebut mestilah sedia ada dan bukan prototaip atau peringkat R&D, teknologi tempatan atau tersedia di pasaran dan tidak melibatkan perolehan luar negeri.

Projek tersebut juga berimpak tinggi dan mampan iaitu mampu berkembang serta mempunyai pelan perniagaan yang jelas untuk menampung kelestarian projek.

Antara projek MSI yang berjaya adalah Projek Bekalan Air Bersih Untuk Komuniti Kg. Rumindako Kiulu, Tamparuli, Sabah Dengan Menggunakan Sistem Teknologi Penapisan Air Minuman Mudah Alih Membran (Pahlawan Tuah 2000).

Inovasi tersebut adalah hasi iaitu hasil R&D oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Sabah.

Projek yang dilaksanakan oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) ini membekalkan air bersih sebanyak 2,000 liter sejam untuk kegunaan penduduk di kampung berkenaan.

Ia telah memanfaatkan 1,800 penerima dan menjimatkan kos bekalan air kepada 200 isi rumah dengan anggaran penggunaan air setahun RM240 bagi seisi rumah (RM200/sebulan).

Projek lain adalah Peningkatan Pendapatan Komuniti Petani dan Penternak Menerusi Teknologi Silaj dan Oligokitosan di Kedah.

Projek yang dilaksanakan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) ini bertujuan meningkatkan pendapatan petani dan penternak sekitar Jerlun, Kedah

menerusi teknologi silaj jagung yang diperkayakan dengan oligokitosan.

Oligokitosan berfungsi sebagai bahan tambahan untuk meningkatkan penghadaman, meningkatkan sel darah, meningkatkan sumber nitrogen dan meningkatkan kualiti susu haiwan ternakan.

Projek ini memberi manfaat kepada 140 penerima 
Koperasi Asas Tani Kedah di Kg. Pering, Jerlun, Kedah dengan meningkatkan penghasilan produk silaj daripada 20 tan kepada 100 tan sebulan.

Projek mesti ada impak

Dalam pada itu projek yang menerima dana disyaratkan mesti dijalankan di negara ini.

Kuantum maksimum bagi setiap pinjaman adalah sebanyak RM300,000 dengan tempoh maksimum pelaksanaan projek selama 12 bulan.

Pada masa sama, penerima dana perlu mematuhi syarat yang ditetapkan iaitu boleh menjalankan projek secara sendiri atau bekerjasama dengan mana-mana entiti iaitu jabatan atau agensi kerajaan berkaitan sama ada peringkat Persekutuan, negeri atau daerah.

Pemohon dana juga boleh bekerjasama dengan pertubuhan dan persatuan yang berdaftar dengan kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Selain itu hanya projek sains, teknologi dan inovasi (STI) sahaja yang dibenarkan.

  • Projek tersebut perlu mempunyai elemen inovatif yang menjurus kepada aplikasi teknologi R&D tempatan berinovatif yang telah dibangunkan dan sedia ada.
  • Projek yang dijalankan perlu sesuai dengan sumber sedia ada selain mengambil kira kesesuaian lokasi, infrastruktur, bentuk muka bumi dan lain-lain.
  • Penerima langsung (directrecipients) faedah hendaklah terdiri daripada komuniti dengan keutamaan kepada golongan B40 (miskin bandar dan luar bandar).

Jumlah penerima faedah bagi setiap projek yang dimohon hendaklah tidak kurang daripada 100 orang.

Dalam pada itu, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) yang turut membantu Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) mengkomersialkan inovasi akar umbi, sentiasa berusaha memastikan produk mencapai tahap yang boleh sampai ke tangan masyarakat.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sharmila Mohamed Salleh terdapat banyak produk atau inovasi yang berpotensi ke arah itu sama ada pada peringkat prapengkomersialan atau bersedia untuk dipasarkan.

“Produk kita (YIM) boleh sampai ke tahap pra pengkomersialan dan ke tangan masyarakat.

“Beberapa produk yang kita ada adalah hasil Jejak Inovasi dan Mainstreaming Grassroots Innovation.

“Walau bagaimanapun, kita memerlukan dana lebih banyak untuk bersaing di pasaran terbuka,” ujarnya.

Semua produk tersebut kata beliau, merupakan hasil bimbingan YIM.

Bagi produk yang menerima bimbingan itu, pihaknya akan memperuntukkan kewangan yang sesuai bagi membolehkannya dikeluarkan dalam bentuk yang boleh digunakan .

YIM kata beliau, sudah ada ekosistem yang lengkap daripada mengenal pasti inovasi akar umbi menerusi pertandingan seluruh negara dan kemudian dipilih mengikut kriteria inovasi B40.

Sharmila berkata, apabila terpilih, YIM akan memasukkan produk tersebut dalam senarai untuk mendapat dana pembangunan yang merangkumi pembangunan produk, harta intelek (IP) dan bantuan pemasaran.

Selepas dibimbing, YIM seterusnya mengenal pasti dan produk berkenaan mana yang sesuai untuk dipadankan dengan dana kewangan daripada pelbagai agensi untuk memasuki pasaran.