Inisiatif itu diterajui Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan (IKDPM) dan Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina (FRSB), UPM yang bekerjasama dengan industri bagi menggalakkan pengusaha pelancongan khususnya di kawasan pulau supaya mengamalkan konsep kitar semula dan mesra alam selain bertujuan memperkenal keusahawanan hijau yang mampan dan inovatif.

Pelaksanaan program tersebut adalah hasil daripada aktiviti pemindahan pengetahuan yang diketuai pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UPM, Prof. Madya Dr. Sridar Ramachandran dan kumpulannya yang terdiri daripada pelbagai kepakaran.

Program tersebut kesinambungan daripada kajian lepas yang dijalankan melalui Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS). Kajian tersebut mendapati bahawa masyarakat di Semporna, Sabah bergantung kepada laut untuk menghanyutkan kumbahan mentah dan sampah.

Beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang pelancongan berkata, pihaknya sebelum itu membuat tinjauan ke seluruh negara bagi mencari lokasi sesuai mengamalkan konsep hijau dan kitar semula dan mendapati kawasan luar bandar sangat praktikal untuk tujuan itu.

“Kami akhirnya nampak (mendapati) daerah Semporna sesuai dan mendapati banyak isu berkaitan sampah yang belum diselesaikan kerana mereka (penduduk) berpendapat menjadi tabiat mereka.

“Kami ingin membuktikan bahawa penyelidikan boleh mencetuskan sesuatu dan bukan menghasilkan jurnal semata-mata,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian pada perasmian Program Pemerkasaan Industri: Inisiatif Go Green UPM bersama Uncle Chang’s Sipadan Mabul Dive Lodge di Pulau Mabul, Semporna, Sabah baru- baru ini yang dirasmikan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Taman-Taman Sabah, Tengku Datuk Seri Dr. Zainal Adlin Tengku Mahamood; Dekan FRSB, Prof. Madya Dr. Osman Mohd. Tahir; Dekan Fakulti Perhutanan UPM, Prof. Dr. Mohamed Zakaria Hussin; Pengarah Pelancongan Sabah, Awang Ahmad Zaki Abu Bakar dan kumpulan penyelidik serta pelajar pascasiswazah UPM.

Dr. Sridar yang juga ketua projek berkata, program pemerkasaan ini bukti industri sudah bersedia untuk mengambil alih usaha hijau dari universiti.

“Kami juga menggunakan pendekatan Inclusive Bussines Model anjuran Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dengan kaedah melantik seorang tokoh atau ikon tempatan sebagai peneraju program.

“Sebab itu kami memilih Uncle Chang’s Sipadan Mabul Dive Lodge yang diterajui Ang Kian Chong atau kepunyaan Uncle Chang, sebagai rakan strategik” ujarnya.

Katanya, kemampanan program tersebut hanya boleh dilihat sekiranya industri terlibat secara langsung dan aktif mengusahakan sepuluh inisiatif hijau yang diperkenal.

Malah resort berkenaan juga berpotensi untuk menjimatkan sejumlah RM35,000 setahun sekiranya kesemua inisiatif itu amalankan dengan konsisten.

Justeru apabila pihaknya menerima dana LRGS sebanyak RM92,000 menerusi program KTP, mereka yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar yang pakar dalam pembuat dasar, pakar luar bandar, pembuat keputusan, impak ekonomi pelancongan dan pengurusan sisa mengambil keputusan bekerjasama dengan pengusaha resort tempatan tersebut selama dua tahun bermula pada 2015.

Kata beliau, Kementerian Pendidikan Tinggi mahukan program pemindahan ilmu daripada penyelidikan kepada masyarakat diperhebat. Untuk tujuan itu, program pihaknya melantik seorang penyelaras Kamarul Arifin Faizal menjadi ketua program di namakan Go Green.

Dalam masa sama, dengan adanya Kamarul Ariffin dan dua pelajar Nursyuhadah Azfizah Sarip dan Fateen Nursyahana Uyub sebagai penyelaras yang menjadi pembimbing kepada pengisian program bersama penduduk kampung pihaknya berjaya memperkenal 10 inisiatif yang keseluruhannya bercirikan ke arah kelestarian dan kehijauan resort.

Antaranya termasuklah pengumpulan air hujan, pengumpuilan air penyaman udara, program alam sekitar, penubuhan kitar semula dan pengasingan sisa organik penghasilan inovasi kitar semula.

Selepas dua tahun pengenalan, maka wujudlah buku Manual Ke Arah On Job Training Ke Arah Resort Hijau.

Mengenai sama ada manual berkenaan boleh diamalkan oleh resort lain, Dr. Sridar berkata, pihaknya menggalakkan mereka berbuat demikian termasuklah juga taman laut bagi membolehkah program kitar semula diperhebatkan.

“Saya melihat program ini
menekankan inklusif, tanggungjawab dan kesejahteraan, ’’ ujarnya.

UPM pindah ilmu kepada masyarakat

Universiti Putra Malaysia (UPM) sedar bahawa kecemerlangan dalam penyelidikan juga harus diperluas, dan sampai kepada masyarakat Malaysia khususnya penduduk setempat bagi mencapai pembangunan yang lestari.

Untuk meningkatkan pengetahuan, taraf hidup, dan pendapatan rakyat serta industri di negara ini, peruntukan khas dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah diberikan kepada ahli akademik UPM. Inisiatif tersebut menyediakan platform untuk menjayakan projek Go Green bersama industri melalui Program Pemindahan Ilmu (KTP).

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr.Aini Ideris berkata, program tersebut, yang menggabungkan pelbagai kepakaran di UPM, bertujuan memperkenal keusahawanan lestari dan hijau melalui kaedah yang inovatif dengan menukarkan sampah kepada pendapatan (trash to cash).

“Saya difahamkan hampir dua tahun pelaksanaan program ini, Uncle Chang Sipadan Mabul Dive Lodge menunjukkan perubahan positif dalam usaha untuk merintis operasi pelancongan yang ‘lebih hijau dan mesra alam’,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan perasmiannya pada program Pemerkasaan Industri Inisiatif Go Green UPM bersama Uncle Chang’s Sipadan Mabul Dive Lodge di Pulau Mabul, Semporna, Sabah baru-baru ini.

Program tersebut berfaedah kerana ia memberi tumpuan kepada pengurusan sisa organik melalui kaedah permakultur (pembangunan sistem pertanian ke arah kelasterian serta berdaya maju) dan pengurusan sampah bukan organik, melalui kaedah kitar semula.

Katanya, pelbagai usaha seperti membuat demonstrasi Fermented Plant Juice (FPJ) oleh pakar UPM, penubuhan pusat kitar semula, pengumpulan air penyaman udara, mengitar semula botol plastik untuk pasu bunga telah dijalankan.

“Kita juga perlu sedar betapa pentingnya mengawal pembangunan seimbang yang menyokong pemuliharaan sumber asli, meningkatkan taraf hidup masyarakat, merangsang pendayaupayaan usahawan muda dan wanita, membasmi kemiskinan, yang akan menyumbang kepada ekonomi tempatan dan nasional.

“Usaha ini penting untuk menjadikan negara kita antara teratas dalam dunia dalam ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi seperti yang dituntut dalam Transformasi Nasional 50 (TN50),” ujarnya.

Beliau memberitahu, resort berkenaan yang beroperasi sebagai pengusaha pelancongan dan penginapan di Pulau Mabul, Semporna, Sabah sejak 2006 mempunyai iltizam yang tinggi terhadap amalan pengurusan alam sekitar yang mampan.

Selepas dua tahun mengikuti program ini, ia menunjukkan perubahan yang positif dalam usaha untuk merintis pelancongan yang ‘lebih hijau dan mesra alam’.

Di samping itu, program berkenaan secara tidak langsung dapat mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat berkenaan amalan pengurusan sisa yang berdaya maju dan mampan di kawasan laut dan pantai.

Hasil usaha ini menunjukkan pusat pelancongan berkenaan telah bersedia untuk meneruskan inisiatif hijau ini ke arah mencapai matlamat resort hijau sepenuhnya kelak.

Kini program tersebut diteruskan dengan pemberian dana lanjutan sebanyak RM96,000 dari resort berkenaan. Kesinambungan daripada ilmu dan pengetahuan alam hijau bukan sahaja memanfaatkan industri pelancongan, malah warga sekolah, komuniti tempatan serta pelancong secara menyeluruh.