Pembinaan jalan raya merentasi hutan simpan misalnya memisahkan hutan dan membentuk kepulauan hutan. Bagi kawasan hutan yang menjadi laluan hidupan liar yang aktif bergerak sering berlaku kemalangan jalan raya melibatkan haiwan berkenaan. Antaranya gajah, tapir, harimau, kucing hutan, landak, tenggiling dan musang.

Pada 2017 dan 2018 banyak perbincangan dalam media massa arus perdana tentang kemalangan jalan raya melibatkan hidupan liar terutama tapir, harimau dan gajah. Lebuh Raya Pantai Timur dan Lebuh Raya Timur Barat dari Gerik ke Jeli antara dua laluan penting yang selalu berlaku kemalangan melibatkan hidupan liar.

Kes kematian tapir akibat kemalangan jalan raya misalnya menjadi perhatian dunia.

Dalam masa 10 tahun, hampir 100 tapir terbunuh atas jalan raya di Malaysia. Kekurangan populasinya sebanyak 50 peratus dalam masa 37 tahun menambahkan lagi kerisauan aktivis pemuliharaan hidupan liar.

Di Semenanjung dianggarkan ada antara 1,000 hingga 1,500 ekor tapir sahaja di habitat semula jadi. Dengan kehilangan habitat, kepulauan hutan akibat pembinaan jalan raya melintasi hutan simpan, kurangnya pengetahuan tentang biologi dan ekologi tapir, kerisauan tentang kepupusan haiwan itu semakin meningkat.

Begitu juga dengan harimau dan gajah yang terlibat dengan kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Timur Barat dan Lebuh Raya Pantai Timur. Media massa juga pernah melaporkan lebih 60 ekor gajah bergerak berhampiran laluan Gerik-Jeli. Bilangan ini dikatakan kira-kira 70 peratus daripada populasi gajah di Perak.

Tindakan segera mesti dilakukan oleh pihak berkaitan seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS). Mungkin teknologi komunikasi yang terkini boleh digunakan bagi memberi amaran kepada pemandu kenderaan di lebuh raya tentang kawasan lintas hidupan liar.

Pembinaan viaduct adalah salah satu kaedah membantu hidapan liar melintas lebuh raya. Kawasan yang terdapat viaduct mesti dipantau bagi memahami pergerakan haiwan dan kawalan pemburuan haram. Haiwan bergerak dalam kawasan keliaran mereka bagi mendapatkan makanan dan tujuan pembiakan. Faktor musim mereka bergerak, cuaca dan makanan menjadi perkara penting dalam pemantauan. Pembangunan jalan raya merentasi hutan simpan kekal (HSK) perlu sehaluan dengan penubuhan program Central Forest Spines (CFS) yang menghubungkan hutan-hutan dari utara ke selatan. Tujuannya bagi memberi peluang haiwan liar bergerak secara bebas untuk kelestarian populasi mereka.

Tekanan ke atas hidupan liar akhirnya menimbulkan konflik hidupan liar dengan manusia.

Seluruh dunia termasuk Malaysia komited dengan program pemuliharaan harimau. Bagi melindungi harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) banyak usaha mempromosikan pemuliharaannya dilaksanakan dengan NGO seperti sambutan Hari Harimau Sedunia, mengadakan undang-undang dan menguatkuasakannya.

Hari Harimau Sedunia disambut pada 27 Julai setiap tahun bertujuan memupuk kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan harimau kepada masyarakat dunia.

Harimau Malaya yang dianggarkan hanya 250 ekor terdapat di habitat liar Semenanjung adalah sangat kritikal. Kes pemburuan sangat tinggi mengancam populasinya.

Sejak 2014 sehingga Jun 2018, Jabatan Perhilitan memusnahkan hampir 3,000 jerat menerusi operasi yang dijalankan.

Kerajaan sedar yang populasi harimau liar di negara ini menjunam daripada anggaran 3,000 pada dekad 1950-an kepada hanya antara 350 dan 400 ekor pada 1990-an.

Pengurangan ini mengancam kepupusan harimau di Semenanjung. Cubaan membiak dalam kurungan telah dan sedang dilakukan bagi membantu progam pembiakannya dalam habitat semula jadi. Kawasan liar dan pembiakan semula jadi mesti dikenal pasti dan mendapat sokongan kerajaan negeri dengan mewartakan hutan negeri yang sesuai bagi mengekalkan populasi harimau.

Daripada maklumat tersebut kerajaan menyediakan kawasan lintasan hidupan liar sepanjang hampir satu kilometer berdekatan Merapoh sempadan Pahang dan Kelantan. Eco Viaduct yang dibina di Sungai Yu itu merupakan kawasan yang menarik untuk kajian hidupan liar dan tempat rekreasi.

Eco Viaduct merupakan laluan bagi hidupan liar melintas lebuh raya dengan selamat dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Eco Viaduct Sungai Yu bukanlah laluan hidupan liar yang pertama di Malaysia.

Lintasan lain yang telah dibina sebelum ini seperti laluan Aring-Tasik Kenyir di Terengganu dan laluan Gerik-Kupang yang merentasi Banjaran Bintang Hijau di Perak. Lain-lain jambatan yang melintasi lurah atau lembah juga perlu dikenal pasti kesesuaian untuk hidupan liar melintas. Semua kawasan ini perlu dipantau untuk menilai keberkesanan laluan yang disediakan. Laporan terdahulu hasil perangkap kamera yang dipasang oleh Perhilitan menunjukan kehadiran haiwan seperti gajah, tapir, beruang matahari, kijang, rusa, kambing gurun, seladang, babi hutan, landak, kucing batu, musang dan harimau kumbang. Kawasan lintasan haiwan liar ini mesti dipantau dengan menggunakan teknologi terkini seperti perangkap kamera, penggunaan satelit dan alat komunikasi berteknologi tinggi yang sesuai.

Sebagai langkah mendapatkan sokongan awam menerusi program pendidikan dan kesedaran awam serta pemuliharaan, MNS telah membentuk satu pasukan Sahabat Raja Rimba (SRR) bagi tujuan pemuliharaan harimau dan hidupan liar lainnya.

Kumpulan sukarelawan komuniti SRR adalah dalam kalangan pekebun kecil getah dari kampung-kampung berhampiran Koridor Hidupan Liar Sungai Yu.

Kampung-kampung itu adalah Kampung Persit, Kampung Kubang Rusa, Kampung Merhamah, Kampung Teluk Gunung, Kampung Gua Kalong dan Kampung Cecah Kelubi. Kampung Cecah Kelubi adalah penempatan Orang Asli.

Antara aktiviti SRR adalah penanaman semula dan pemulihan habitat asal Koridor Hidupan Liar Sungai Yu serta turut membantu memberi kesedaran mengenai konflik dan pemuliharaan hidupan liar khususnya harimau Malaya.

Semoga inisiatif MNS bersama SRR akan dapat membantu program pemuliharaan harimau yang dihasratkan kerajaan dan antarabangsa untuk meningkatkan populasinya.