Terbaharu, rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan pada 28 Julai ini, yang boleh dilihat dari mana-mana kawasan di negara ini bergantung kepada keadaan cuaca setempat.

Walau bagaimanapun, tidak semua tempat di Malaysia akan dapat melihat keseluruhan fasa-fasa gerhana yang berlaku kerana bulan terbenam lebih awal sebelum fasa-fasa tertentu berakhir.

Fenomena Gerhana Bulan Penuh kali ini adalah yang kedua berlaku pada tahun ini dan akan kelihatan di Australia, Asia termasuk Malaysia, Afrika, Eropah dan Amerika Selatan bermula dari pukul 01:14:47 dan berakhir pada jam 07:28:38 pagi. Fasa Gerhana Penuh akan berlangsung selama sejam, 42 minit dan 57 saat menjadikannya fenomean Gerhana Bulan Penuh paling lama bagi abad ke-21 ini iaitu dari 2001 hingga 2100.

Tempoh paling lama bagi Gerhana Bulan Penuh boleh berlaku adalah selama sejam jam 47 minit.

Timbalan Ketua Pengarah, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Samsuddin Omar berkata, secara amnya, penduduk negara ini dapat melihat hampir keseluruhan fasa gerhana sejak dari mula berlakunya fenomena tersebut sehinggalah bulan terbenam bergantung kepada lokasi kita. Hal ini bermakna lokasi pencerapan yang paling baik adalah di kawasan yang berada paling barat.

Pelbagai aktiviti dianjurkan sempena fenomena gerhana kali ini. Pada 28 Julai, dua lokasi iaitu Planetarium Negara di Kuala Lumpur dan Observatori Negara Langkawi (ONL) bakal menjadi tumpuan peminat sains angkasa. Pencerapan di Planetarium Negara bermula pukul 1 pagi hingga 7 pagi.

Pada malam 27 Julai juga bermula pukul 9 hingga 11.30 malam, Planetarium Negara akan mengadakan Program Pencerapan planet Marikh memandangkan pada ketika itu, planet berkenaan berada sangat hampir dengan bumi iaitu kira-kira 57.59 juta kilometer (km) sahaja. Jarak paling dekat yang boleh dicapai di antara Marikh dengan bumi adalah 54.6 juta km. Sebelum ini, iaitu pada 27 Ogos 2003, planet berkenaan menghampiri Bumi pada jarak 55.8 juta km yang pernah dicapai kira-kira 60,000 tahun sebelum itu dan akan dicapai semula pada 28 Ogos 2287 iaitu 269 tahun dari sekarang.

Program di ONL pula akan diisi dengan pencerapan planet Zuhal, Musytari dan Marikh, solat sunat gerhana, sesi soal jawab dan program live streaming.

Program bermula pada 27 Julai dan penyertaan adalah percuma.

Fenomena angkasa mengujakan

Bagi Pengarah Planetarium Negara, Anita Bahari, alam semesta amat luas dan kadangkala tidak terjangkau oleh fikiran manusia untuk dipelajari.

“Namun ada fenomena angkasa yang boleh disaksikan iaitu gerhana bulan dan matahari yang membuktikan teori sains dan matematik itu dapat dibuktikan.

“Apabila berlakunya fenomena angkasa sedemikian, orang ramai memerlukan fakta mengenai tarikh, masa dan lokasi sesuatu kejadian untuk menyaksikan sendiri fenomena tersebut,” ujarnya.

Sebagai contoh katanya, fenomena Gerhana Bulan Penuh yang akan berlaku kali ke-2 pada tahun ini adalah fasa gerhana penuh yang terpanjang direkodkan iaitu berlangsung selama satu jam 42 minit 57 saat yang bermula pukul 3. 30 pagi.

Fenomena Gerhana Bulan Penuh adalah amat cantik dan menarik disebabkan kesan penapisan dan pembiasan oleh atmosfera bumi yang mengandungi debu dan awan.

Hasil eksperimen di bilik makmal mungkin tidak sama dengan kejadian sebenar kerana sekiranya bumi tidak mempunyai atmosfera, Bulan akan kelihatan betul-betul gelap ketika berlakunya gerhana.

Oleh itu kata beliau, pelajar berpeluang untuk menghubungkaitkan teori sains angkasa dan astronomi mengenai gerhana yang dipelajari di bilik makmal kepada kejadian sebenar.

Kata beliau lagi, mereka dapat menyaksikan secara terus apabila berlakunya sesuatu fenomena angkasa dan keadaan tersebut akan membuka minda dan menjana minat terhadap sains terutama sains angkasa.

INFO

l Gerhana Bulan Penuh berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris dan keseluruhan bulan merentasi bayang umbra bumi.

l Bulan dengan perlahan-lahan bertukar daripada warna putih mutiara yang biasa dilihat kepada warna kemerahan dan kemudianya kembali ke warna aslinya sepanjang tempoh lima jam.

l Warna kemerahan yang akan dapat dilihat ketika fasa penuh gerhana bulan pada 28 Julai 2018 berbeza daripada gerhana bulan penuh yang lain bergantung kepada beberapa faktor termasuk keadaan di atmosfera atas bumi dan kedudukan bulan di sepanjang orbitnya.

Fasa Waktu Malaysia

Fasa Penumbra bermula 01:14:47 pagi

Fasa Separa bermula 02:24:27 pagi

Fasa Penuh bermula 03:30:15 pagi

Fasa Penuh maksimum 04:21:44 pagi

Fasa Penuh berakhir 05:13:11 pagi

Fasa Separa berakhir 06:19:00 pagi

Fasa Penumbra berakhir 07:28:38 pagi

gerhana bulan