Sektor pertanian merupakan nadi terpenting dalam pembangunan negara, justeru amat penting bagi golongan petani dan usahawan mengubah landskap pertanian kepada lebih moden agar mampu menguasai sebahagian daripada rantaian makanan global.

Pengarah Bahagian Pengembangan Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian, Sulaiman Hashim memberitahu, penggunaan teknologi seperti dron, sistem fertigasi, kilang sayur (vege factory) dan penggunaan sistem maklumat geografi (GIS) amat digalakkan agar industri pertanian terus maju dan mencapai standard antarabangsa.

Langkah itu selari dengan peranan utama Bahagian Pengembangan Pertanian dan Industri Asas Tani dalam memperkasakan petani atau usahawan. Ia dengan melaksanakan tugas pemindahan dan penerapan teknologi pertanian terkini di sepanjang rantaian nilai kepada kumpulan sasar mengikut keperluan, peringkat aktiviti dan keadaan setempat.

Katanya, penekanan terhadap penggunaan teknologi diteruskan selepas pengumuman Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) untuk memperkenalkan pertanian secara tepat dan jitu seperti diamalkan di negara-negara maju bagi memastikan petani mampu memiliki hasil yang lebih lumayan.

Penggunaan teknologi dron dilihat memberi banyak kelebihan dan kebaikan terutama melibatkan kawasan yang luas dan tinggi.

“Menerusi penggunaan dron petani atau usahawan boleh memantau tanaman mereka tanpa perlu berada di lapangan.

"Malah penggunaan dron bagi kerja-kerja semburan racun dapat menjimatkan masa berbanding kaedah lama,” katanya.

Sementara pengairan tanaman yang sangat popular, teknologi atau sistem fertigasi digunakan secara meluas dan diiktiraf antarabangsa telah membantu ramai golongan petani dan usahawan berjaya dalam bidang tanaman masing-masing.

Sistem tersebut merupakan kaedah pemberian baja menerusi sistem pengairan titis. Dalam sistem ini, cecair baja disalurkan di dalam pengairan membantu meningkatkan hasil tanaman serta dalam masa sama memberi impak dari segi kuantiti dan kualiti.

Malah penggunaan sistem itu juga berjaya mengurangkan penggunaan racun serangga sekali gus menjadikan tanaman di negara ini lebih selamat.

Dalam masa sama, menurut Sulaiman, GIS dibangunkan bagi mengenal pasti jenis pokok durian mengikut klon dan lokasi.

“Kami telah menggunakan sistem ini di Taiping (Perak) dengan meletakkan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) pada pokok durian bagi mengenal pasti klon dan asal usul untuk tujuan eksport.

“Cip tersebut diletakkan di batang pokok agar mudah pihak kami mendapatkan data yang tepat,” jelasnya.

Buat masa ini, kilang sayuran masih di peringkat cadangan, namun eksperimen yang dilakukan di Serdang, Selangor menunjukkan hasil yang positif dan berjaya.

“Sayur-sayuran ditanam di dalam bangunan menggunakan cahaya lampu. Hasil eksperimen itu berjaya memendekkan hasil tuaian seperti tanaman salad yang dahulunya mengambil masa selama sebulan tetapi kini boleh dituai hanya dalam masa dua minggu,” ujarnya.

Menerusi saranan tersebut, bahagian beliau terajui bertanggungjawab melahirkan dan membangunkan usahawan baharu atau pelapis serta membimbing usahawan sedia ada untuk mengembangkan perniagaan dalam sektor industri asas tani supaya mereka mengaplikasikan teknologi baharu.

Langkah itu secara tidak langsung akan menghasilkan perubahan minda dari segi kecekapan, amalan dan apa jua berkaitan pertanian.

“Meskipun penubuhannya lebih 100 tahun, Jabatan Pertanian masih relevan dalam konteks hari ini. Teknologi baharu juga tidak memungkinkan peranan jabatan berubah sebaliknya terus diperkasa supaya dapat dimanfaatkan oleh petani.

“Selain petani, pegawai pengembangan juga disaran untuk meningkatkan dan mengemas kini berkaitan penggunaan teknologi dalam pelbagai bidang agar mudah disampai dan dikongsikan kepada golongan petani dan usahawan,” katanya.

Beliau menambah, pegawai akan dilatih dalam konteks menyelesaikan masalah dalam bidang tertentu seperti buah-buahan, sayur-sayuran atau sains tanah.

“Mereka akan dilatih oleh pakar dalam pelbagai bidang untuk menyampaikan maklumat atau penggunaan teknologi kepada golongan sasar.

“Pada setiap dua minggu pegawai pengembangan akan melawat petani untuk menyampaikan apa jua masalah yang dibangkitkan,” ujarnya lagi.

Hari Bertemu Pelanggan

Sebelum ini Jabatan Pertanian memperkenalkan Klinik Pengembangan Dr. Pokok yang sering dikunjungi orang ramai yang menyalur dan mengadukan sebarang masalah berkaitan isu pertanian.

Program tersebut membolehkan petani bertemu pakar untuk mendapatkan maklumat dan mengadu masalah. Namun kini konsep yang sama bertukar nama dan dikenali sebagai Hari Bertemu Pelanggan.

Pun begitu menurut Sulaiman, konsepnya masih sama cuma lebih menyeluruh dengan penglibatan semua agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Mereka yang mempunyai masalah atau ingin mendapatkan maklumat boleh berkunjung ke semua 83 Pejabat Pertanian daerah dan negeri setiap hari Rabu manakala di kementerian diadakan sebulan sekali secara berpusat,” jelasnya.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan 13 agensi dan jabatan di bawah kementerian termasuk khidmat nasihat, insentif, bantuan serta program pertanian yang dianjurkan.

“Golongan petani dan usahawan boleh mengemukakan apa jua masalah pada hari tersebut dan jika pegawai tidak dapat mengatasinya, maka permasalahan itu akan dibawa ke peringkat tertinggi untuk tindakan susulan,” katanya.