Justeru, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berhasrat mengkomersialkan semula durian hibrid MDUR 78, MDUR 79 dan MDUR 88 yang telah diisytihar pada 1991 dan 1992.

Ia berdasarkan penanaman ketiga-tiga hibrid tersebut agak terhad dan kurang dipromosikan untuk tanaman komersial walaupun kualiti buahnya sangat baik.

Menurut Pegawai Penyelidik Kanan Pembaikbakaan Tumbuhan Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI di Sintok, Kedah, Muhamad Afiq Tajol Ariffin, MARDI menjalankan kerja-kerja pembaikbakaan durian bermula lewat 1960-an. Ia bertujuan menghasilkan varieti baharu dan memastikan pengeluaran durian sentiasa memenuhi kehendak pasaran.

Katanya, sebanyak dua program pembaikbakaan durian dijalankan di MARDI, iaitu yang pertama melibatkan 10 klon durian tempatan yang popular seperti D2, D7,D8, D10, D16, D24, D63, D66 dan D96.

“Bunga durian tersebut dikacukkan bagi mendapatkan benih hibrid. Biji-biji durian hasil kacukan tersebut diambil dan ditanam dan sebanyak 168 tanaman hasil kacuk yang hidup dan berbuah.

“Proses pembaikbakaan ini bukan mudah kerana perlu mengambil masa sehingga lebih 20 tahun untuk mendapatkan hibrid yang terbaik. Pelbagai kajian dilakukan mengikut langkah-langkah diperlukan dalam penyelidikan pembaikbakaan tumbuhan sehingga mendapat hasil yang terbaik dan berkualiti,” jelasnya.

Tambah Muhamad Afiq, dalam menghasilkan hibrid baharu ini, antara kriteria yang diambil kira adalah pokok berhasil tinggi, rentang terhadap serangan penyakit kanker dan buah berkualiti tinggi dan lebih baik daripada klon durian yang sedia ada di pasaran.

Pada 1991 dan 1992, MARDI mengisytiharkan tiga durian hibrid baharu menerusi program pembaikbakaan dengan menghasilkan durian MDUR 78, MDUR 79 dan MDUR 88 menerusi kacukan antara klon durian D10 dan D24.

“Hasil kajian menunjukkan klon ini berupaya mengeluarkan hasil seawal enam hingga tujuh tahun selain memiliki potensi kualiti hasil yang baik, lebih tahan terhadap serangan kanker berbanding D24 dan setanding Musang King serta rasa manis berlemak.

“Melalui pengurusan yang betul, siri MDUR akan berbuah secara tetap pada setiap tahun dalam tempoh musim durian,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, MARDI kini sedang giat melakukan program penghibridan kedua yang dijangka diisytiharkan pada tahun depan atau 2020.

Katanya, program itu telah bermula sejak 1987 menerusi kajian campuran klon durian tempatan dan Thailand.

“Kami menggunakan enam klon durian tempatan iaitu D24, D10, D38, D53, MDUR 88 dan KK 11 sementara klon dari Thailand ialah D98,D99, D113 serta Cemposi. Pemilihan jenis durian tersebut berdasarkan hasil yang konsisten, kualiti buah yang baik dan karakter-karakter khas seperti rasa yang unik.

“Sehingga kini program tersebut di peringkat menguji di lokasi yang berbeza. Kami sedang menguji di MARDI di Sintok, Kedah; Kuala Kangsar, Perak dan Jelebu, Negeri Sembilan,” jelasnya. Beliau turut berkongsi bahawa melalui program tersebut, MARDI telah menilai pendek dan mendapati 13 daripada 97 hibrid durian sesuai ditanam oleh petani.

Promosi tiga hibrid

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd. Noor berkata, kaedah pembaikbakaan untuk menghasilkan klon durian yang baik di MARDI telah bermula sejak 1960-an.

Hasil daripada kaedah pembiakbakaan itu, maka terhasillah durian MDUR 78, MDUR 79 dan MDUR 88 yang diisytiharkan pada 1991 dan 1992 di Kuala Kangsar, Perak.

“Penyelidikan kacukan itu dijalankan di (Stesen MARDI) Jerangau, Terengganu melalui dua induk daripada durian D10 dan D24. Kerana itu buah hasil daripada hibrid ini begitu manis dan berlemak, setanding Musang King,” katanya.

Tambah Mohamad Roff, pihaknya kini dalam usaha untuk mempromosikan semula ketiga-tiga hibrid tersebut agar ditanam secara meluas oleh golongan petani dalam skala besar.

“Hasil kajian menunjukkan ketiga-tiga hibrid itu berupaya mengeluarkan hasil seawal enam hingga tujuh tahun, mempunyai potensi hasil yang tinggi serta berkualiti dan pastinya permintaan terhadap buah-buahan itu akan melonjak naik,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, terdapat sebanyak 97 durian hibrid telah dihasilkan dan kerjasama dengan Jabatan Pertanian serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan diadakan bagi mengenal pasti hibrid yang terbaik.

“Kami bercadang mengisytiharkannya pada tahun ini atau pada 2020. Pembaikbakaan ini perlu diteruskan supaya lebih banyak varieti durian berada di pasaran negara sekali gus Malaysia dapat bersaing dengan negara lain dalam penghasilan durian,” ujarnya.

Sementara itu seorang Pegawai Penyelidik Bahagian Buah-buahan Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI, Salehudin Md. Radzuan berkata, pihaknya kini dalam usaha untuk mendapatkan penanti durian terbaik yang tahan kemarau serta rintang kepada penyakit kanker yang diakibatkan oleh Phytophthora palmivora .

Katanya, patogen berkenaan kerap kali menyerang akar dan batang pokok durian.

Menurutnya lagi, simptom serangan pada batang durian dapat dikesan dengan kehadiran kesan kehitaman yang seakan-akan berair atau basah pada kulit pokok.

“Sekiranya dikikis kita akan dapat melihat tanda seperti melecuh yang berwarna coklat kemerahan.

“Penyakit itu juga boleh menyerang buah durian dan dapat dikesan dengan tompok hitam pada buah.

“Namun, jika serangan tidak serius (serangan kecil pada hujung buah durian) tidak akan mempengaruhi kualiti buah. Pun begitu, serangan pada buah durian yang serius mengakibatkan buah tidak sesuai untuk dipasarkan” ujarnya.