Meskipun sering bersenam, mengambil makanan rendah kalori, anda masih dihantui penyakit seperti darah tinggi, diabetes, obesiti dan berasa lemah tidak bermaya.

Hal ini demikian kerana badan kita mempunyai genetik berbeza-berbeza menyebabkan keperluan dan cara penjagaan juga berbeza mengikut individu.

Disebabkan itu, Institut Genom Malaysia (MGI) buat julung kalinya memperkenal program DNAku dengan memberikan perkhidmatan ujian penyaringan DNA kepada seluruh rakyat Malaysia terutama golongan belia.

Pengarah Eksekutif MGI, Dr. Zulkeflie Zamrod berkata, program ini dijalankan bertujuan untuk mengajak rakyat Malaysia menikmati kehidupan yang lebih baik melalui perubahan ke arah gaya hidup yang lebih sihat dan sejahtera.

Menurutnya, ujian penyaringan tersebut hanya membaca Asid Deoksiribonukleik (DNA) sebanyak lima peratus yang diambil daripada air liur individu dan tidak melibatkan keseluruhan pembacaan DNA.

“Tubuh seorang manusia, mempunyai sekitar 20,000 gen iaitu setiapnya berbeza mengikut individu disebabkan faktor keturunan atau persekitaran.

“Oleh itu, air liur yang diambil ini akan kita baca menggunakan komputer untuk mengetahui genetik seseorang dan kecenderungan sama ada seseorang itu boleh menjadi atlet atau memiliki bakat unik serta mengetahui nutrisi dalam tubuh, alahan, kesihatan dan juga gaya pemakanan yang sesuai,” ujarnya.

Ujian penyaringan ini dilakukan dengan pengambilan sampel air liur daripada individu dan kemudiannya dianalisis menggunakan Asian Screening Array (ASA) yang dilengkapi Beadchip untuk penduduk Asia.

Setelah itu, ASA Beadchip berkenaan diproses menggunakan IScan dan seterusnya pemprosesan bioinformatik dilakukan untuk laporan genetik.

Selain itu, tambah Dr. Zulkeflie, ujian penyaringan ini merupakan yang pertama dilakukan di Malaysia dan disesuaikan dengan gaya hidup Asia.

“Sebelum ini ada juga syarikat insurans yang menjalankan ujian sebegini tetapi ujian hanya dilakukan di luar negara seperti di Amerika Syarikat dan Hong Kong.

“Tetapi di sini kita akan melakukan sendiri ujian saringan tersebut dan setelah keputusan diperolehi, ia akan disertakan sekali dengan kaunselor genetik untuk menerangkan keputusan saringan kepada anda serta memberikan cadangan gaya hidup yang sesuai mengikut gaya hidup orang Asia, jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Penyelidiknya, Dr. Effirul Ikhwan Ramlan menjelaskan, penyaringan DNA ini membolehkan seseorang individu itu mengetahui keperluan tubuh dengan lebih tepat dan menikmati hidup dengan lebih gembira selain mengatasi penyakit yang sering dihidapi kebanyakan orang seperti diabetes, hipertensi dan serangan jantung.

Katanya, untuk terus kekal sihat dan menjalani hidup yang berkualiti, penjagaan dan gaya hidup seseorang haruslah berfokuskan kepada jenis genetiknya dan bukan secara am.

“Genetik yang tidak sama menyebabkan seseorang itu perlu mengamalkan gaya hidup yang lebih spesifik kerana ada orang yang tak boleh bersenam kerana otot cepat terluka, ada orang tidak boleh minum manis, tetapi ada genetik yang membolehkan seseorang itu boleh minum yang lebih manis.

“Segala informasi ini direkod dalam DNA dan disebabkan ujian itu penting untuk dilakukan.

“Daripada kita ikut panduan gaya hidup am yang sudah sedia ada, kita boleh menjadi lebih fokus kepada bahagian yang diperlukan oleh tubuh, jadi ada perkara-perkara yang kita boleh menyeronokkan,” ujarnya.

Tambahnya, kos yang diperlukan untuk melakukan ujian saringan ini juga lebih murah berbanding yang ditawarkan di luar negara.

“Jika di luar negara, ia menelan kos hampir RM800, tetapi di sini kita menawarkan perkhidmatan yang lebih murah sekitar di antara RM500 hingga RM600 bergantung kepada pakej yang diambil.

“Setakat ini kita ada empat pakej iaitu kesejahteraan, kesihatan, sukan dan trait unik,” jelasnya.

Bagi yang berminat untuk melakukan ujian penyaringan DNA boleh melayari laman sesawang (web) institut berkenaan di http://www.mgi-nibm.my untuk keterangan lanjut.