Tarikh tersebut telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong sempena Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) pada 18 hingga 24 Oktober 1989. CHOGM telah memperkukuh lagi perhatian kepada alam sekitar dengan termaktubnya Deklarasi Langkawi Mengenai Alam Sekitar pada 21 Oktober 1989.

Deklarasi Langkawi adalah komitmen semua negara Komanwel iaitu yang pernah dijajah oleh British untuk menjaga dan melindungi alam sekitar.

Kebetulan kebanyakan negara-negara Komanwel adalah negara yang sedang membangun dengan pesat.

Dalam proses pembangunan keperluan ruang yang selamat dan selesa untuk tinggal, pekerjaan dan kesejahteraan penduduk sentiasa diberikan perhatian, kekurangan pakar penasihat, kurang pengetahuan dan kesedaran tentang alam sekitar, status ekonomi rakyat dan keadaan politik semasa sangat memberikan tekanan kepada alam sekitar.

Kesan terhadap alam sekitar di sesebuah negara akan memberi kesan rentas sempadan seperti pencemaran air, pencemaran udara, penyebaran penyakit, pemanasan global dan perubahan cuaca.

Deklarasi Langkawi adalah sangat penting untuk dilaksanakan di semua negara Komanwel. Mungkin komitmen negara Komanwel terhadap Deklarasi Langkawi perlu dipantau dan diberikan pengiktirafan kepada negara yang paling berjaya dalam menjaga dan melindungi alam sekitar.

Sambutan MASM juga selalunya dianjurkan pada peringkat negeri atau institusi bagi meningkatkan komitmen kerajaan negeri serta agensinya dalam hal ehwal alam sekitar.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena MASM bagi memberi pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya alam sekitar.

Pihak swasta, industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga turut memberikan kerjasama dan komitmen dalam aktiviti berkenaan.

Rakyat Malaysia sepatutnya memahami dan menghayati isu berkaitan alam sekitar sama ada dari segi pencemaran hinggalah pemuliharaan alam semula jadi.

Sempena sambutan MASM ini sepatutnyalah pihak kerajaan mengiktiraf semua aktivis yang signifikan menyumbang kepada isu alam sekitar sama ada dalam hal pendidikan, penulisan, NGO yang aktif, penyumbang kewangan untuk aktiviti alam sekitar atau alam semula jadi dan bentuk-bentuk sumbangan lain.

Dalam usaha menangani isu-isu alam sekitar, masyarakat perlu diberikan pendidikan dan pendedahan yang secukupnya.

Secara amnya, ada dua bahagian yang perlu difahami iaitu isu pencemaran alam sekitar dan isu perlindungan, pemeliharaan serta pemuliharaan kepelbagaian biologi negara.

Banyak aktiviti berterusan dijalankan bagi membantu kerajaan mencapai cita-cita memulihara alam semula jadi. Semua lapisan masyarakat perlu memahami tentang pemuliharaan alam semula jadi agar tidak berlaku konflik dalam perancangan dan pelaksanaan pembangunan.

Banyak kes konflik yang boleh dilihat terutama dalam hal pelancongan dan perikanan.

Misalnya pembangunan kolam udang di Kuala Gula, Perak yang nampak menyongsang dengan pengiktirafan kawasan santuari burung laut dan aktiviti penternakan kerang.

Begitu juga dengan apa-apa cadangan atau aktiviti pembangunan di tanah tinggi seperti di Cameron Highlands.

Sekiranya ada apa-apa pembangunan yang bercanggah dengan pemuliharaan habitat tanah tinggi, maka perkara ini memerlukan perhatian yang serius.

Peningkatan sisa pepejal ketara

SETELAH 61 tahun merdeka, rakyat Malaysia masih dilihat belum lagi menghayati penjagaan alam sekitar dan pemuliharaan alam semula jadi. Bukti jelas dilihat apabila jumlah kutipan sisa pepejal semakin meningkat dan penerokaan haram hutan semula jadi masih berlaku.

Memang peningkatan sisa pepejal berkadar dengan pertambahan penduduk. Namun, sekiranya masyarakat terdidik mempunyai kesedaran tinggi, maka mereka boleh mengawal peningkatan sisa pepejal.

Misalnya isu pencemaran plastik di lautan yang membahayakan hidupan laut.

Peningkatan penggunaan plastik tanpa diuruskan dengan baik menjadi amat sukar untuk dikawal pencemaran plastik di lautan.

Malaysia sudah menjadi tempat ke-8 di dunia dalam menyumbang pencemaran plastik di lautan. Begitu juga Malaysia masih konflik dalam pembangunan yang tidak selaras dengan komitmen pemuliharaan kepelbagaian biologi.

Penebangan hutan berhampiran taman negara dan keinginan membangunkan tanah tinggi untuk pertanian dan pelancongan boleh menjadi bukti konflik masih berterusan.

Usaha kerajaan dalam meningkatkan pendidikan untuk kesejahteraan alam sekitar untuk manusia berterusan walaupun sudah ada pendidikan yang sistematik dan merentas kurikulum.

Mungkin perlaksanaannya belum berjaya.

Subjek alam sekitar dalam sukatan pelajaran peringkat sekolah rendah dan menengah akan diperkenal dan dilaksanakan secara menyeluruh mencakupi pemuliharaan hutan, sungai, darat, laut, udara, keselamatan alam sekitar dan perubahan iklim. Dalam melaksanakan kurikulum ini beberapa kementerian akan terlibat.

Kajian menyeluruh dari segi kandungan dan kaedah perlaksanaannnya diperlukan bagi memastikan kejayaannya.

Sempena Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM), perbincangan secara menyeluruh perlu diadakan bagi memastikan rakyat Malaysia seluruhnya mempunyai kesedaran yang tinggi dan membudayakan penjagaan alam sekitar dan alam semula jadi sebenarnya.

Sambutan MASM yang diadakan hampir 30 tahun bukanlah suatu acara atau sambutan ulang tahun semata-mata, tetapi sepatutnya melalui penilaian yang sistematik dari segi penambahbaikan dan keadaan alam sekitar yang bertambah baik.

Pelajar sekolah dan universiti yang terlibat dalam aktiviti seperti kitar semula, menanam pokok, kempen-kempen kesedaran sepatutnya sudah matang dan berada dalam masyarakat bagi mengamalkan budaya tiada sampah, tiada penerokaan hutan haram punyai semangat sukarelawan yang tinggi dalam hal berkaitan alam sekitar.

Tema MASM Pemuliharaan Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama, berulang banyak kali dalam tahun 2006 hingga 2011, sepatutnya sudah menunjukkan kesan yang terbaik.