Ia dibuat di kawasan yang biasanya tertutup untuk menjaga haiwan dan tumbuhan untuk pemerhatian atau penyelidikan.

Selain dibina untuk tujuan khusus bagi pemuliharaan flora dan fauna atau pun dibina oleh peminat dan pencinta alam sekitar sebagai hobi, ia mempunyai nilai yang tinggi sebagai hiasan rumah, landskap serta persekitaran.

Justeru itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Fakulti Pertanian mengorak langkah menggalakkan pelajar untuk menambah nilai produk berpotensi tinggi itu.

Sehubungan itu, Festival Vivarium 2018 telah dianjurkan baru-baru ini dengan tema ‘Menjiwai Dunia Flora’ dan Fauna untuk memberikan pendedahan kepada pelajar.

Menurut Pengarah Programnya, Muhd. Zuhairi Ali, objektif utama penganjuran program tersebut ialah untuk memberi kesedaran dan pemahaman kepada pelajar dan masyarakat tentang pentingnya memelihara flora dan fauna.

“Kita mahu pelajar-pelajar untuk mendalami seni taman dalam akuarium dalam usaha pemuliharaan alam sekitar serta potensi untuk pengkomersialan.

“Selain itu, kita juga mahu mendekatkan masyarakat dengan dunia pertanian menmgenai pentingnya memelihara flora dan fauna untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Dianggarkan seratus orang pelajar semester sesi 2018/2019 UPM dari Kursus Botani Pertanian (AGR 3101) kumpulan satu dan empat menyertai festival yang diadakan selama sehari itu.

Tambahnya, penganjuran festival sedemikian juga dapat memberikan pendedahan kepada pelajar dan pengujung mengenai jenis-jenis vivarium.

Sementara itu, pelajar Fakulti Pertanian, Nurul Anis Athirah Abu Talib, 20, berkata peluang untuk menyertai festival berkenaan membolehkannya bereksperimentasi menghasilkan seni hiasan tanaman mereka sendiri.

Menampilkan kelainan, mereka menghasilkan kokedama atau turut dikenali sebagai bebola lumut untuk tanaman hiasan.

“Kokedama boleh dijadikan tanaman hiasan secara gantung atau diletakkan pada bekas yang sesuai.

“Ia bukan sahaja menjimatkan ruang kerana boleh digantung, malah kawasan penanaman kelihatan lebih cantik dan menarik dengan gantungan pokok unik tersebut,” ujarnya.

Menurut, Syah Rizal Jalil, 21, pula aktiviti berkenaan mengeratkan hubungannya dengan rakan-rakan ketika bersama-sama untuk mencari idea untuk pameran.

“Aktiviti ini secara tidak langsung memberi peluang kepoada kami berkongsi idea dan pendapat untuk menghasilkan seni vivarium ini.

“Untuk kali ini kami memilih konsep vivarium semi akuatik dengan ikan gapi untuk menghasilkan satu konsep yang indah dan cantik,” jelasnya.

Pelajar Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian, UPM, Siti Norhanisah Lokman berkata melalui program itu, dia dapat melihat serta mempelajari bagaimana untuk menanam dan menjaga pokok di dalam bekas yang cantik untuk dijadikan perhiasan.

“Saya mempelajari ilmu baharu untuk menghasilkan sebuah terarium serta dapat meningkatkan kefahaman mengenai vivarium sebelum menerangkan kepada pengunjung,” katanya.