Dengan kuasa beli yang meningkat maka ayam kampung, ayam kacuk dan ayam organik adalah alternatif kepada ayam daging.

Ini bagi membolehkan pengambilan ayam yang lebih sihat tanpa penggunaan antibiotik dan teknologi organisma ubah suai secara genetik (GMO), dibela dengan kaedah penternakan lebih baik dan penambahan sumber makanan organik yang menggunakan sejenis daun.

Ini akan menjadi pemangkin untuk pengguna beralih kepada pola pemakanan yang lebih bernutrisi.

Buat masa ini masih belum ramai yang menceburi kategori ini walaupun permintaan adalah tinggi.

Oleh itu dengan memanfaatan sumber makanan alternatif, indusri ayam kampung, kampung kacuk dan organik akan lebih rancak lagi.

Ketika ini cabaran utama industri ternakan ayam adalah harga makanan yang terlalu mahal sehingga menyebabkan ada pengusaha kecil-kecilan gulung tikar. Sumber makanan utama ayam seperti jagung umpamanya agak mahal dan kerajaan perlu mengimport kira-kira RM3 bilion untuk tujuan itu.

Melihat kepada masalah tersebut, seorang pengusaha ternakan tempatan memulakan kajian bagi mencari makanan alternatif mengantikan dedak.

Pengusaha terbabit, Supardi Bai menggunakan daun Madre de Agua (Trichanthera gigantean) yang mengandungi protein yang tinggi sebagai alternatif yang baik kepada penternak ayam untuk mengurangkan kebergantungan kepada dedak.

Daun berkenaan yang beliau namakan sebagai `ketum ayam’ dikatakan tidak beracun dan tidak mengandungi antinutritif yang membolehkan proteinnya diserap terus ke dalam badan untuk membantu mempercepatkan tumbesaran.

Berkongsi lebih lanjut inisiatifnya untuk menghasilkan makanan ayam sendiri, Supardi memberitahu, antara faktor yang mendorongnya adalah harga makanan ayam terlalu mahal.

Selain itu, beliau inginkan makanan ayam yang diketahui kandungan nutrisi sekiranya dihasilkan sendiri.

“Kita bimbangkan penggunaan bahan kimia, jadi makanan yang dihasilkan sendiri kita tahu kandungannya,’’ ujarnya.

Beliau mendakwa daging ayam yang diberi ketum ayam kurang lemak dan teksturnya lebih kenyal serta rasanya lebih manis berbanding ayam yang diberi dedak 100 peratus manakala telurnya mengandungi lebih Omega-3.

Pengilang dedak yang juga penternak sudah semestinya mengutamakan ternakan mereka dari segi nutrisi dan jangka-hayat dedak sebelum menjual ‘baki ’dedak mereka.

“Kita penternak-penternak kecil tidak mempunyai pilihan melainkan membeli baki dedak dari syarikat-syarikat besar ini dengan harga hampir tiga kali ganda lebih tinggi daripada harga kos mereka setelah diambil kira dengan kos bahan mentah, pekerja, fasiliti, pengurusan, pengedaran, peruncit dan margin keuntungan.

Berkelulusan ijazah dari Okayama Universiti Jepun, Supardi yang mesra dipanggil Pak Tam menjalankan kajian tentang daun berkenaan sejak 2012.

Bermula dengan adaptasi terhadap cuaca dan persekitaran di Malaysia, seterusnya kajian penambahbaikan untuk makanan ayam telah dijalankan.

Pelbagai percubaan antaranya merebus dengan ikan masin, rebus dengan perencah sup, kisar dan gaul dengan dedak, kisar untuk minuman, biskut atau cekodok dan banyak lagi cuba dan jaya dijalankan.

Percubaan-percubaan ini diberikan kepada sejumlah ayam kacuk dalam beberapa siri ternakan.

Berasaskan keputusan percubaan-percubaan ini, sampel terdiri daripada campuran daun tua, sedang dan muda telah dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk dianalisis pada November 2015.

Beliau mendakwa hasil analisis menunjukkan kandungan protein kasar yang tinggi iaitu sebanyak 23.3 peratus sebaliknya nilai lemak kasar adalah rendah iaitu 2.6 peratus

“Ini bukanlah satu kebetulan kerana menurut data-data kajian di luar negara menunjukkan kandungan protein melebihi 20 peratus.

“Kandungan protein ini jauh lebih tinggi berbanding rumput napier sekitar 14 peratus, daun kelapa sawit 15 peratus dan dedak ( antara 10 peratus hingga 21 peratus),’’ ujarnya.

Walau bagaimanapun, perlu dingat bahawa sama seperti semua tumbuhan lain, kandungan nutrisi adalah berkadar terus dengan kesuburan.

Pokok daun berkenaan ditanam pada jarak minimum 5 x 5 kaki sesuai ditanam di tanah yang agak lembab, subur dan agak terlindung seperti di celah pokok pisang, durian dan sebagainya.

Pengairan yang konsisten dapat membantu kesuburan dan memaksimumkan kandungan protein.

Pokok berdahan lembut ini cepat membesar dan boleh mencapai ketinggian lima kaki dalam tempoh empat bulan.

Walaubagaimanapun, menurut pengalamannya pokok tidak akan naik subur di tanah yang kering dan tidak bernutrisi. Sekiranya berpeluang, dapatkan khidmat nasihat Jabatan Pertanian untuk memastikan kesesuaian tanah sebelum menanam.

Pokok berkenaan boleh mencecah ketinggian antara 10 hingga 15 kaki.

Walau bagaimanapun, kerja-kerja mencantas perlu dibuat untuk menghasilkan tunas baru yang subur di samping memudahkan memetik daun.

Penjagaan pokok tersebut amat mudah.

Selain siput babi yang amat menyukai tunas muda, pada peringkat awal ia boleh dikatakan hampir tiada musuh.

Sekiranya terdapat kuye (kulat putih seperti tanaman cili dan sayur-sayuran), semburkan racun serangga sekali-sekala apabila perlu.

Pembajaan sekali sekala menggunakan najis ternakan sudah memadai.

Berbeza dengan kelapa sawit atau getah, daun ini oleh mula dituai seawal dua bulan selepas penanaman.

Petik daunnya sahaja dan biarkan pucuk mengeluarkan daun muda yang baru. Daunnya yang lebar mempercepatkan kerja penuaian sama ada menggunakan gunting atau dengan tangan.

Pohon yang berusia setahun boleh menghasilkan 500 gram atau lebih daun segar sekali tuai bergantung kepada kesuburan. Sehektar tanah boleh menghasilkan lebih 20 tan daun segar setahun mengatasi hasil kelapa sawit mahupun getah.

Pemberian kepada ternakan

Buat masa ini, ternakan yang sesuai diberi makan daun ini ialah ayam kampung dan kambing yang tidak lepas bebas, ayam kacuk, itik dan ayam belanda, burung puyuh, ikan lampam dan tilapia.

Pada peringkat permulaan mungkin ada penolakan disebabkan ternakan telah biasa dengan makanan rutin.

Bagi mengatasinya, tarik perhatian ternakan dengan menggunting memanjang daun pada saiz satu milimeter tetapi tidak putus pada urat tunjang dan kemudian gantungkan. Ia akan bergoyang dan akan menarik perhatian ayam untuk mematuk.

Ulang selama dua hari dan boleh diracik dan berikan terus pada hari ketiga.

Tujuan meracik supaya senang dimakan dan mengelakkan kerja-kerja tambahan untuk mengoyakkan daun. Ini kerana daun berkenaan agak tebal dan sedikit liat untuk dikoyak.

Selain diberikan dalam bentuk segar, ia juga boleh diproses menjadi sumber protein dengan menggaulkan dengan ubi kayu dan lain-lain.

Pada peringkat awal satu hingga empat minggu berikan secara berperingkat pada kadar kurang daripada 30 peratus keperluan makanan harian. Ini kerana pada peringkat ini tulang belum dapat menampung kadar kenaikan berat ayam.

Ternakan ayam kampung kacuk yang dijalankan di Johor mendapati ayam menjadi lebih sihat dengan kadar kematian 0.3 peratus .

Kadar tumbesaran meningkat kepada dua kilogram (jantan) dan 1.7 kilogram (betina) pada umur 10 minggu.

Menurut beberapa tukang masak dan penggemar ayam kampung, dagingnya lebih kenyal dan manis berbanding ayam kampung kacuk yang diberi dedak berterusan.

Daun ini telah digunakan sebagai makanan ternakan sejak sekian lama di negara-negara tropika dan difahamkan tiada simptom negatif seperti keracunan dilaporkan.

Pada masa ini, masih belum ada kajian spesifik berkaitan manfaatnya dalam bidang perubatan. Kajian juga sedang dijalankan bagi membuat percubaan menambahkan lemak kasar dan kalsium kepada tumbuhan ini dengan kaedah tut dengan harapan daun ini akan lebih hampir kepada nutrisi lengkap untuk ternakan. Keputusan hasil kajian tersebut akan diperoleh dalam tempoh enam bulan lagi.

Sekiranya berjaya maka kebergantungan kepada dedak dapat dikurangkan.

Matlamat utama kajian tersebut adalah menjadikan daun berkenaan sebagai sumber protein makanan ternakan bagi menggantikan hampas kacang soya yang diimport.

Dengan campuran ubi kayu sebagai sumber karbohidrat, maka pengusaha dapat memenuhi 80 peratus keperluan nutrisi ternakan dan semuanya produk tempatan.

Ia bukan sahaja akan menjadi industri yang mampu menjana pekerjaan, malah akan menyelamatkan aliran keluar wang RM5 bilion setahun.