Hidupan di lautan bukan sahaja memakan plastik, malah lebih buruk lagi bahan kimia yang dibebaskan daripada plastik turut menyerap ke dalam tisu haiwan.

Sifat plastik yang sukar terurai akan pecah menjadi partikel kecil dan mereput apabila terdedah kepada sinaran ultra ungu, oksigen, suhu yang tinggi dan aktiviti mikroorganisma dalam tempoh masa tertentu yang pastinya meninggalkan kesan negatif kepada hidupan laut.

Dari segi lain, umum mengetahui pengambilan minuman berkarbonat yang biasanya dibotolkan, dikaitkan dengan kegemukan dan penyakit lain.

Akibat kesan bahaya pengambilan minuman berkarbonat,

maka wujudnya cadangan mengenakan cukai bagi kawalan minuman bersoda.

Pengenalan cadangan mengenakan cukai untuk minuman bergula (SSB) sebagai nilai baharu kepada pencemaran plastik dan minuman bersoda menjadi pertikaian dalam kalangan pakar ekonomi kerana masih tidak jelas serta dilihat akan membebankan majoriti rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang mencadangkan supaya diperkenalkan cukai soda ke atas minuman berkarbonat bagi menampung hasil kerajaan.

Bagi Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Yusof Saari, pelaksanaan cukai ke atas minuman berkarbonat masih tidak sesuai dilaksanakan ekoran keadaan ekonomi negara yang kurang stabil.

Malah, langkah itu sekali gus memberi bebanan kepada rakyat memandangkan majoriti penduduk di Malaysia terdiri dalam kumpulan berpendapatan rendah.

“Pada pandangan saya, langkah kerajaan memperkenalkan cukai baharu amat tidak wajar. Ia dilihat sebagai idea untuk menampung kekurangan hasil negara selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Rakyat menyedari kerajaan kehilangan banyak pendapatan selepas cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dihentikan apabila kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran negara.

“Justeru, kerajaan mencari jalan dengan mengenakan cukai soda dan plastik,” katanya dalam satu forum bertajuk Meletakkan Nilai Kepada Plastik anjuran UPM, baru-baru ini.

Menurut beliau, penambahan cukai kepada rakyat tanpa adanya perbincangan hanya akan membebani rakyat. Oleh itu, kajian menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu kerana melibatkan sektor terbesar di Malaysia iaitu soda dan plastik.

“Sekiranya cukai dikenakan kepada dua industri tersebut, maka sektor-sektor tersebut akan menerima manfaat yang lebih kecil. Itu yang menjadi kebimbangan kerana pendapatan negara akan lebih kecil berbanding kerugian ekonomi,” jelasnya.

Malah, jika kerajaan masih bertegas untuk melaksanakannya juga dikhuatiri akan menyebabkan rantaian kesan negatif melibatkan kenaikan harga.

“Di Malaysia sebanyak 90 peratus rakyat yang paling banyak berbelanja terdiri daripada kumpulan pendapatan rendah. Ini bermakna jika cukai tersebut dikenakan akan menjejaskan golongan tersebut,” jelasnya.

Justeru, beliau tetap tegas dengan pendiriannya bahawa cukai bukanlah satu-satunya penyelesaian.

“Daripada mengenakan cukai kepada plastik, kenapa tidak cipta peluang perniagaan baharu tanpa menyentuh industri plastik dengan membuka peluang kepada sektor yang boleh mengurangkan pencemaran.

“Seperti contohnya, mencipta inovasi daripada sisa sekali gus bidang itu akan meneraju industri hijau negara,” jelasnya.

Cipta perniagaan baharu

Kerajaan perlu mencari alternatif lain bagi mengurangkan sisa plastik memandangkan bahan tersebut amat berguna dalam kebanyakan industri di negara ini.

Menurut Prof. Madya Dr. Shaufique Fahmi Ahmad Sidique yang merupakan pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UPM, plastik yang digunakan oleh orang awam boleh dikembalikan semula kepada industri.

“Banyak negara di dunia termasuk Amerika Syarikat menyediakan deposit plastik yang dilihat sebagai langkah efisien bagi mengurangkan sisa bahan ini.

“Orang ramai boleh mendapat ganjaran jika memulangkan semula plastik tersebut. Langkah ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kos pembuatan dan kos alam sekitar,” katanya.

Pun begitu, sekiranya cukai tersebut dikenakan dengan amalan yang betul ia mampu membawa kepada hasil yang efisien.

“Akhirnya pasaran akan menghasilkan keluaran dan menerima tahap pencemaran yang tertentu.

“Pun begitu berdasarkan keadaan dalam menentukan jumlah cukai yang tepat, jumlahnya dan masa menjadi perkara yang ditentukan kemudian.

“Lebih baik kempen kesedaran dan pendidikan diberikan dalam membentuk budaya mengurangkan penggunaan plastik, mengitar semula plastik dan kurangkan gula dalam minuman. Tindakan ini secara tidak langsung akan membantu dalam perubahan harga,” jelasnya.

Bagi Ketua Jabatan Biologi, Fakulti Sains UPM, Prof. Dr. Ahmad Ismail, hubungan plastik dan minuman bersoda rapat walaupun nampak kedua-duanya mempunyai kesan berbeza.

Isu pencemaran plastik di lautan katanya, menjadi perhatian dunia sepanjang tahun lalu

Tegasnya, belum tiba masa yang sesuai untuk kerajaan mengenakan cukai SSB memandangkan tiada kajian secara menyeluruh dilakukan.

“Oleh kerana minuman berkarbonat dijual dalam botol plastik, kedua-duanya memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan manusia dan mungkin kerana itu wujudnya pendapat mengenakan cukai kepada kedua-dua bahan ini bagi mengawal pencemaran dan penyakit,” katanya.

Ahmad yang juga Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) mempertikaikan langkah kerajaan itu memandangkan cukai yang akan dikenakan tidak menyelesaikan masalah sebenar, sebaliknya dikhuatiri menimbulkan rantaian masalah lain.

“Buat masa ini usaha mengadakan program pendidikan bagi mencapai matlamat mengurangkan pencemaran plastik dan obesiti disebabkan pengambilan gula berlebihan melalui minuman bersoda walaupun tiada bukti jelas berkaitan kegemukan kerana pengambilan minuman bersoda.

“Pada masa sama, penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga diperlukan bagi mencari langkah terbaik dalam mendidik rakyat untuk mengurangkan penggunaan plastik dan minuman bergula,” ujarnya.