Antaranya perkongsian pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh pengamal industri adalah amat bermanfaat bagi pembangunan pelajar institusi pengajian tinggi. Baru-baru ini pengurus aset di syarikat multinasional, Exxon Mobil Exploration and Production Malaysia Inc. (EMEPMI), Hazizi Hassan meluangkan masa berkongsi ilmu dan kepakaran dalam bidang pengurusan tenaga bersama pelajar jurusan bioteknologi dan sains pengurusan alam sekitar.

Program berbentuk forum dwihala yang diadakan di Institut Sains Biologi, Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) itu dinamakan Energy Outlook dihadiri oleh lebih 40 orang pelajar. Selain penerangan khusus mengenai bidang pengurusan tenaga, peserta turut didedahkan dengan keperluan modal insan yang sentiasa tersedia secara am dalam bidang berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).

Menurut Hazizi, pihaknya sentiasa mengintai peluang untuk berkongsi maklumat dengan para penyelidik dan pelajar institusi pengajian tinggi terutama berkaitan cabaran dan peluang yang boleh diambil oleh setiap individu yang dalam industri berkenaan .

“Kami sentiasa berminat untuk menyumbang kepada ekosistem masyarakat yang prihatin terhadap sains dan teknologi,” katanya.

Sementara itu seorang peserta, Myra Radzmi berasa bertuah kerana berpeluang berinteraksi secara langsung dengan seorang pakar dari industri yang arif mengenai cabaran yang dihadapi buat masa ini.

“Saya amat teruja dengan pengisian forum ini terutama apabila melibatkan isu kesan alam sekitar akibat penerokaan minyak dan gas asli. Kami juga didedahkan dengan perspektif pemain industri mengenai keperluan tenaga pada masa hadapan,” kata pelajar jurusan Bioteknologi dan Sains Pengurusan Alam Sekitar UM itu.

Bagi pensyarah kanan institut berkenaan, Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes, sektor tenaga telah disenaraikan sebagai sasaran ketujuh dalam gagasan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan penganjur forum.

“Ini merupakan penanda aras pembangunan global yang jelas dan sepatutnya dilaksana oleh semua pihak di seluruh dunia. Antara usaha yang seharusnya menjadi keutamaan termasuk akses kepada tenaga yang mampu milik, jaringan tenaga boleh baharu yang luas dan kecekapan tenaga,” ujarnya yang juga penganjur program.

Kesemua ini merupakan kepentingan global masa kini dan perlu dibangunkan dengan pesat dalam masa terdekat sejajar dengan peningkatan populasi dunia.

Keperluan terhadap tenaga adalah universal dan cabaran masa kini dan akan datang adalah untuk membangunkan sumber baharu dengan kaedah yang selamat dan bertanggungjawab.

Beliau berkata, program sebegini yang menjadi jambatan di antara dunia akademik dan industri harus digalakkan dan diadakan dengan kerap di institusi pengajian tinggi tempatan bagi memberikan input berguna kepada para pelajar.

“Ini sekali gus bakal meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam dunia pekerjaan nanti,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai program itu boleh didapati melalui Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes di [email protected]