Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Cherakah misalnya boleh menyumbang kepada keperluan LA21 di Shah Alam yang dikelilingi industri, bandar dan perumahan.

Bidang arkitek landskap di negara ini masih baharu walaupun Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) telah wujud sejak 1981.

Arkitek landskap berperanan dalam memastikan cukup kawasan hijau yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk sekitar. Pembangunan pesat kawasan padat dan mahal agak sukar untuk memperuntuk kawasan hijau yang luas.

Namun sekiranya ingin melaksanakan LA21, sesuatu tindakan mesti dilakukan dan memerlukan pengorbanan.

Perkongsian pengetahuan dan pengalaman ahli ekologi dan arkitek landskap mungkin boleh membantu mencadangkan sesuatu terbaik berkaitan keperluan LA21.

Kajian yang dilaporkan dalam jurnal Procedia-Social and Behavioral Sciences 2016 mendedahkan minat dan kesedaran rakyat Malaysia tentang penglibatan komuniti dalam hal berkaitan alam sekitar masih kurang.

Lebih kurang 80 peratus tidak tahu tentang LA21 dan terlibat dalam aktiviti berkaitan dengannya. Lebih kurang 80 peratus juga tidak terlibat dengan aktiviti berkaitan alam sekitar seperti program kitar semula, hari tiada kereta, menanam pokok dan kelestarian komuniti.

Laporan pada 2016 itu sangatlah penting bagi menilai tahap kesedaran rakyat Malaysia terutama di Selangor sebuah negeri maju.

Langkah melindungi dan memulihara HSK Bukit Cherakah ini sangat penting.

Bukit Cherakah dibangunkan sebagai Taman Bukit Cahaya Seri Alam yang merupakan sebuah taman pertanian pertama dan terbesar di negara ini. Taman pertanian ini dikatakan satu-satunya taman pemeliharaan semula jadi, di samping sebagai sebuah pusat rekreasi.

Semasa taman ini ditubuhkan ia dikatakan berperanan sebagai pusat rujukan dan kajian dalam bidang pertanian.

Taman pertanian ini yang dibuka kepada awam pada tahun 1986 berkonsepkan alam semula jadi.

HSK Bukit Cherakah diwartakan bawah Enakmen (pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 berkeluasan 1,298.86 hektar (ha).

Hutan ini juga merupakan kawasan hutan tadahan air yang dikategorikan bawah Seksyen 10(1) enakmen yang sama iaitu terletaknya Empangan Subang sebahagian daripada HSK ini.

Pentadbiran daerah hutan melibatkan dua daerah iaitu Hulu Selangor dan Selangor Tengah. Taman Botani Shah Alam pula berada dalam HSK Bukit Cherakah tambahan yang juga diwartakan dalam enakmen yang sama berkeluasan 967.73 ha.

Pada tahun 2007, menteri besar ketika itu merancang untuk Bukit Cherakah sebagai sebuah taman botani yang terbaik.

Sejak tahun 2009 lagi, ada usaha untuk mendokumenkan maklumat flora dan fauna HSK Bukit Cherakah untuk rujukan akan datang. Kawasan itu akan menjadi habitat flora dan fauna yang dilindungi untuk memberikan kefahaman yang lebih tentang alam semula jadi kepada orang ramai menerusi program pendidikan dan penyelidikan serta menarik pelancong.

Tambahan pula, kawasan ini adalah termasuk kawasan tadahan air, maka ia adalah kawasan sensitif alam sekitar yang perlu dipulihara.

Memandangkan kawasan Shah Alam yang membangun pesat untuk industri, pentadbiran dan perumahan, bandar raya berkenaan memerlukan kawasan hijau dan sangat bernasib baik mempunyai kawasan hijau semula jadi seperti HSK Bukit Cherakah.

Namun begitu kelilingnya telah dibangunkan untuk kawasan perumahan dan pusat komersial.

Malah HSK Bukit Cherakah sudah seperti pulau hutan yang dikelilingi oleh pembangunan konkrit. Penduduk di sekeliling hutan ini dapat menikmati keindahan hutan semula jadi dan untuk beriadah.

Oleh kerana kawasan perumahan mengelilingi hutan ini, mungkin akan mengundang konflik antara hidupan liar dengan penduduk dan penceroboh.

Tidak hairanlah sekiranya konflik kera-manusia di HSK Bukit Cherakah juga boleh berlaku.

Bagi menghalang konflik mungkin pihak penduduk dan pemaju boleh memagar kawasan hutan, menyediakan ruang cukup untuk meronda kawasan bagi memastikan keselamatan hutan, melindungi hutan ini dan menjalankan program pendidikan serta ekologi HSK Bukit Cherakah.

Satu ekspedisi saintifik juga mungkin boleh dijalankan segera bagi mendokumenkan maklumat saintifik berasaskan flora dan fauna.

Hasil ini boleh mencadangkan tindakan terbaik untuk perlindungan dan pemuliharaan HSK Bukit Cherakah sesuai dengan lokasi dan kepentingannya.

Aliran semasa pengunjung menunjukkan HSK Bukit Cherakah ini sangat berfaedah kepada masyarakat bandar dan perlu dipulihara kelestariannya.

Tangguhkan pembangunan

Baru-baru ini empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Treat Every Environment Special (TrEES), Global Environment Centre (GEC) dan Persatuan Penduduk Bukit Bayu meminta penangguhan segala pembangunan di keliling HSK Simpan Bukit Cherakah. Penangguhan tersebut penting agar hutan sedia ada tidak terus diteroka dan merosakkan hutan yang juga habitat haiwan yang dilindungi dan terancam,

Penduduk inginkan hutan ini disimpan untuk kegunaan masyarakat setempat bagi tujuan rekreasi. Kawasan hutan tanah rendah seperti Hutan Bukit Cherakah ini juga perlu ada di kawasan Shah Alam untuk keseimbangan ekologi dan berperanan dalam hal berkaitan perubahan iklim.

Secara amnya HSK Bukit Cherakah ini sangat penting kepada sosioekonomi masyarakat setempat, pemuliharaan flora dan fauna yang mempunyai kepentingan dalam pendidikan dan penyelidikan berkaitan ekologi dan pemuliharaan kepelbagaian biologi. Kawasan Hutan Bukit Cherakah ini memang sudah lama dilaporkan didiami tapir (Tapirus indicus).

Tapir merupakan mamalia paling besar masih ada di Selangor. Di Selangor sudah tiada lagi haiwan mamalia besar seperti gajah, harimau dan badak Sumatera. Gajah terakhir di Selangor dipindahkan ke Hutan Belum pada tahun 1991.

Tapir antara haiwan yang unik dan penting dalam Hutan Bukit Cherakah.

Antara tahun 2005 hingga -2013 empat ekor tapir telah dilaporkan mati dilanggar kenderaan sekitar Taman Botani Negara Shah Alam.

Tapir juga dilaporkan mati dilanggar kenderaan Jalan Batu Arang-Puncak Alam. Dua tapir telah dijumpai mati akibat tua dalam hutan ini.

Sekarang pun masih ada tapir yang dilihat berkeliaran dalam Hutan Bukit Cherakah berdasarkan kepada kesan tapak kaki dan perangkap kamera yang dipasang.

Tapir aktif pada waktu malam mencari makan. Bukit Cherakah adalah antara habitat penting tapir Malaya suatu masa dahulu dan ia dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Agensi penyelidikan dan institusi pengajian tinggi (IPT) boleh menyumbang kepada pendidikan dan penyelidikan flora, fauna dan ekologi HSK Bukit Cherakah.