Walaupun agak sukar pada awalnya, namun berkat usaha, latihan dan bantuan yang diberikan kerajaan bukan sahaja membina keyakinan, malah membantu mereka memulakan perniagaan melalui pinjaman yang disediakan.

Bukan itu sahaja, golongan penternak muda kini bernasib baik kerana mendapat sokongan dari

MOHAMAD AMBRI SHAHARUDDIN
MOHAMAD AMBRI SHAHARUDDIN 

Persatuan Alumni Institut Veterinar (AIVM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) yang banyak membantu dalam menyediakan kursus-kursus berkaitan penternakan.

Bagi penternak muda, Mohamad Ambri Shaharuddin, usahanya sejak Julai 2012 semakin membuahkan hasil walaupun pernah berhadapan halangan sepanjang terlibat dalam bidang perniagaan lembu, bebiri, kerbau serta kambing.

Ladangnya yang terletak di Felda Palong, Gemas, Negeri Sembilan membuktikan dengan usaha permulaan hanya 50 ekor biri-biri betina dan dua ekor jantan, projek tersebut semakin berkembang dan kini meningkat 450 ekor.

Bukan mudah bagi Mohammad Ambri memulakannya, tambahan pula usia yang masih muda memerlukannya belajar semua aspek perniagaan dari sifar.

Dia juga terpaksa memperuntukkan RM15,000 untuk membina kandang yang besar bagi memastikan ternakan tidak berhimpit yang boleh membantutkan tumbesaran.

Bagi memantapkan aspek pengurusan, dia pernah mendapat bimbingan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) selain menyertai kursus di Institut Veterinar Malaysia

Dia juga memohon dana Tekun Nasional dan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) serta bimbingan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Minatnya untuk terlibat dalam bidang penternakan ruminan bermula sejak di bangku sekolah lagi.

Dia beruntung kerana minat tersebut mendapat galakan keluarga yang membantunya termasuk memberi tanah bagi membolehkannya mengusahakan ternakan.

Langkah permulaannya bagaimanapun berdepan cabaran awal.

Nasibnya malang kerana racun tikus yang diletakkan berhampiran kandang bagi tujuan membunuh haiwan perosak mendatangkan bencana yang tidak diduga. Racun tikus tersebut dimakan oleh haiwan ternakannya menyebabkan dia mengalami kerugian yang besar.

“Dari situ saya belajar mengenai cara taburan racun tikus. Selama ini saya tabur secara salah. Saya anggap dugaan tersebut sebagai cabaran untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.

Sejak itu Mohamad Ambri bangkit dan terus mengorak langkah apabila mempelbagaikan cabang perniagaan dalam ternakan termasuk menawarkan perkhidmatan untuk akikah, korban, kenduri kahwin, membekalkan daging segar dan perap dengan menjalankan sendiri kerja-kerja penyembelihan dan menyediakan khidmat penghantaran.

“Saya tidak boleh lagi hanya bergantung kepada menjual dan membeli haiwan ternakan kerana jumlah pengusaha ternakan di negara ini ramai.

Justeru, saya menambah fungsi ladang agar memenuhi permintaan penduduk sekitar.

“Alhamdulillah bidang baharu yang diceburi itu mendapat permintaan yang tinggi dari penduduk setempat dan sekitar,” ujarnya.

Walaupun persaingan dalam bidang ternakan amat besar, namun dia positif bahawa persaingan itu sebagai sesuatu yang baik.

“Baguslah ramai yang terlibat kerana bekalan makanan tidak akan terputus. Malah, antara kami (penternak) tidaklah bersaing secara negatif, sebaliknya saling membantu dalam memastikan bekalan sentiasa ada untuk pengguna.

“Contohnya sekiranya bekalan kambing di ladang saya tidak mencukupi, saya akan meminta bantuan pemilik ladang lain.

“Biasanya mereka memberi kerjasama dengan menawarkan kambing yang diperlukan kepada saya bagi memastikan pengguna mendapat bekalan.

“Sebenarnya kami saling melengkapi dan kerap berjumpa untuk berkongsi pandangan dan pendapat. Selain itu, kami kerap menghadiri kursus atau seminar berkaitan bidang yang diusahakan,” katanya.

Hari ini, dengan jumlah ternakan yang semakin meningkat, Mohamad Ambri melihat cabaran ternakan semakin besar antaranya harga makanan tambahan seperti dedak semakin meningkat

“Saya juga menghadapi masalah serangan anjing liar atau binatang buas,” ujarnya.

Meskipun begitu, dia tetap mempunyai perancangan besar pada masa akan datang iaitu menambah induk atau kambing betina untuk tujuan pembiakan dan mempelbagaikan jenis baka ternakan. Selain itu dia juga merancang mengeluarkan pelbagai produk tempatan.

Harapannya mahu menganjurkan kursus asas kepada penternak baru dan berharap industri ruminan dapat membantu meningkatkan bekalan daging tempatan.