Umum mengetahui mengenai beras Bario yang terkenal dengan rasanya yang unik serta teksturnya yang lembut, tetapi tahukah kita yang Sabah dan Sarawak turut mengeluarkan lebih 20 jenis beras tempatan yang tidak kurang enaknya.

Ini termasuklah beras Hitam Tadung dari tanah tinggi Tambunan Sabah; beras Kristal dari Kota Belud dan Kota Marudu, Sabah; serta beras Mamut dan beras Bubuk Wangi dari Sri Aman, Sarawak.

Beras Bario yang telah diktiraf sebagai salah satu beras terbaik di dunia dikaitkan sebagai satu beras tanaman istimewa kerana ditanam di tempat tinggi yang padinya terendam dalam air bersih yang turun daripada gunung. Beras Bario kini boleh diperoleh di beberapa pasar raya di Semenanjung.

Berbanding dengan beras lain, beras Bario lebih berlemak dan struktur bijirinnya lebih kecil dan melekit seperti pulut.

Jika beras tersebut ditanam di kawasan lain, ia akan membuahkan hasil yang tidak sama dengan beras Bario asli.

Beras Hitam Wangi Keladi dari daerah Keningau, Sabah merupakan hasil beras tanah tinggi Sabah. Ia kelihatan seumpama beras pulut hitam dan kebanyakannya diusahakan secara kecil-kecilan oleh penduduk kampung.

Pengeluarannya yang terhad menjadikan beras ini dijual dengan harga di antara RM15 dan RM16 sekilogram.

Kepelbagaian jenis beras yang terdapat di kedua-dua negeri Malaysia Timur ini membuktikan bahawa beras pengeluaran tempatan juga standing dengan beras negara luar, baik dari segi rasa dan teksturnya.

Tambah menarik, pengunjung di Laman Padi dapat merasai sendiri keenakan 16 jenis contoh nasi daripada beras Bario dan beras Mamut dari Sarawak; beras Wangi Keladi dan beras Hitam Tadung yang berasal dari Sabah serta beras-beras lain seperti Thai Red Rice, Thai Rice Berry, Bangladeshi Aromatic Chinigura Rice dan Pusa 1121 Basmati Sela Rice Cream dari India.

Selain itu, lazim seperti tahun-tahun sebelum ini Bernas turut menyediakan juadah bubur lambuk tradisi Bernas dan makanan lain yang berasaskan beras seperti putu mayam, inang-inang, pongal an juga bubur nasi kepada pengunjung.

Bernas akan menyediakan juadah-juadah ini bermula dari hari pertama penganjuran MAHA 2018 sehingga 2 Disember.

Semua pengunjung dijemput untuk bersama-sama merasai keenakan juadah-juadah istimewa ini di Laman Padi.