Kerajaan Negeri Selangor sangat prihatin tentang pentingnya warisan semula jadi seperti Dark Cave yang menjadi habitat kepada kepelbagaian spesies yang unik. Persatuan

Pencinta Alam (MNS) diamanahkan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan Dark Cave dilindungi dan dipulihara dengan baik untuk tujuan pemuliharaan, pendidikan dan ekopelancongan. MNS ialah sebuah persatuan yang aktif dalam melindungi dan memulihara sumber semula jadi di Malaysia. MNS sentiasa menganjurkan aktiviti berkala berkaitan pendidikan dan pemuliharaan Dark Cave ini. Segala aktiviti di dalam gua dikawal untuk pemuliharaan dan aktiviti mengambil tahi kelawar juga tidak dibenarkan.

Terdapat gua yang masih belum diteroka yang dihuni oleh fauna gua termasuk spesies-spesies yang unik seperti labah-labah daripada keluarga Liphistiidae dan spesies-spesies kelawar di Batu Caves.

Spesies labah-labah (Trapdoor spider) yang terdapat dalam gua ini diberi nama Liphistus batuensis sempena Batu Caves dan ia dikatakan endemik di situ. Menurut laporan Jurnal Cave and Karst Science 2014 labah-labah ini dikatakan sebagai fosil hidup dikaji sejak 1896 semasa tinjauan zoologi pertama gua Batu Cave.

Labah-labah ini tidak di gambarkan secara terperinci sehinggalah pada tahun 1923.

Secara saintifiknya maklumat tentang labah-labah ini masih berkurangan dan perlu dikaji segera. Jurnal berkenaan juga menceritakan tentang Dark Cave merupakan gua yang paling banyak kajian biologi di rantau ini.

Kajian sejak awal abad ke-20 itu berterusan sehingga sekarang. Namun kerana sensitiviti gua kajian-kajian masih lagi terhad terutama dari segi ekologi dan iklim mikro gua. Antara kajian lain yang dilakukan adalah tentang Collembola dan Diplopoda.

Hasil kajian diterbitkan dalam jurnal Cave and Kast Science 2008 yang melaporkan berkaitan kepelbagaian haiwan dan status ekologi invertebrata dalam gua berkenaan.

Walaupun banyak kajian dijalankan tentang Dark Cave ini masih banyak lagi aspek biologi dan ekologi gua ini yang tidak lengkap. Banyak lagi kajian-kajian perlu dijalankan secara sistematik dan mengambil kira sensitiviti ekologi gua.

Kewujudan organisma dalam gua boleh menjadi petunjuk penting untuk kesihatan gua yang boleh digunakan dalam pengurusan gua yang baik. Kajian berkaitan gua memerlukan peruntukan yang besar, peralatan, teknologi dan kekuatan fizikal yang mencabar terutamanya menjaga infrastruktur di dalam gua agar tidak merosakkan lantai dan dinding gua. Gangguan ke atas lantai dan dinding gua boleh mengganggu ekologi dan kepelbagaian biologi gua berkenaan.

Sebanyak mempunyai 144 spesies invertebrata dan 22 spesies vertebrata dilaporkan di Dark Cave. Kewujudan kelawar, tahi kelawar, serangga dan haiwan Arthropoda lain serta keadaan suhu dan kelembapan membuatkan kajian ekologi dan kepelbagaian fauna di dalam Dark Cave lebih menarik.

Kedua-dua kumpulan kelawar frugivor dan insektivor memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekologi serangga, pendebungaan, penyebaran biji benih dan kesihatan manusia. Terdapat serangga yang berubah sifat apabila hidup dalam jangka masa yang lama di dalam gua.

Kehadiran spesies penakluk (invasif) juga perlu diberi perhatian. Maklumat tentang komposisi taksonomi, kepelbagaian dan ekologi Dark Cave ini sangat perlu untuk kefahaman dan pengurusan yang lebih baik.

Artikel dalam Cave and Karst Science 2012 pula menyenaraikan spesies-spesies haiwan yang menunjukkan tinggi kepelbagaian biologinya.

Antara haiwan yang disenaraikan adalah kera, berok, lotong kelabu, beruang matahari, musang pandan, beberapa jenis kelawar, beberapa jenis katak daripada keluarga Bufonidae, Ranidae dan Microhylidae. 2014 juga melaporkan senarai tumbuhan vaskular di Batu Caves mempunyai 269 spesies, 51 spesies adalah endemik iaitu mewakili 19 peratus spesies endemik di Semenanjung. Koleksi tumbuhan sekitar Batu Caves bermula sejak 1890-an lagi.

Di samping kepelbagaian biologi yang tinggi dan menjadi tumpuan pelancong, Batu Caves juga menghadapi masalah pencemaran.

Keadaan hujan yang banyak dan pencemaran udara oleh gas-gas tosik seperti SO2 dan NOx boleh menyebabkan hujan asid.

Jurnal Soils and Foundations 2016 telah menerangkan dengan jelas tentang kesan hujan asid keatas batu batan.

Kandungan dan status bahan kimia yang menyebabkan hujan asid di udara perlu dipantau.

Bahan kimia berkenaan yang akhirnya akan jatuh ke tanah melalui hujan atau wap air.

Hujan di Malaysia sebanyak 1,500 milimeter (mm) hingga 2400 mm dengan lebih kurang 1, 750 mm di pantai dan 2, 750 mm di kawasan pendalaman memberi gambaran bahawa hujan boleh memberikan kesan ke atas Batu Caves dan perlu diberi perhatian secara saintifik.

Keasidan air hujan boleh memberikan kesan ke atas gunung batu kapur seperti Batu Caves.

Faktor kimia juga boleh menyebabkan keadaan pH (nilai keasidan) tanah rendah yang boleh menyebabkan hakisan permukaan tanah, merubah kekuatan dan kebolehtelapan tanah.

Ini akan mempengaruhi kekuatan dan kestabilan struktur Batu Caves keseluruhannya.

Hujan asid akan memberikan kesan kepada sifat fizikokimia tanah dan lebih serius lagi apabila air hujan bertambah keasidannya akibat daripada aktiviti perindustrian dan lain-lain yang menghasilkan SO2 dan NOx.

Dengan perubahan kualiti alam sekitar yang meruncing boleh menyebabkan perubahan cuaca mikro di nic sesuatu spesies. Spesies sensitif boleh berhadapan risiko kepupusan.

Bagi memastikan kelestarian Batu Caves untuk aktiviti pelancongan, rekreasi dan habitat unik bagi flora dan fauna, penguatkuasaan untuk pemuliharaan Batu Caves perlu dilaksanakan.