Namun begitu ada juga kumpulan-kumpulan khusus yang melihat mengikut bidang seperti kesihatan, pertanian, pendidikan, perumahan kos rendah dan lain-lain termasuk hal ehwal alam sekitar dan alam semula jadi.

Rakyat juga mahukan tiada bencana alam yang berlaku, tiada kes bencana yang berulang dan sekiranya berlaku, tindakan keselamatan dapat disegerakan.

Kes banjir besar 2014 dan ulangan kejadian banjir kilat serta tanah runtuh di Cameron Highlands, Pahang adalah antara contoh yang perlu ditangani.

Begitu juga dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang tinggi kepelbagaian biologi, hal-hal berkaitan perlindungan dan pemuliharaan ekosistem atau habitat sangat penting di berikan perhatian.

Tambahan pula sumber semula jadi memberi kebaikan kepada manusia dari segi kesihatan alam sekitar, sumber air, sumber hutan, dan perkhidmatan-perkhidmatan lain berasaskan alam sekitar termasuk perubahan cuaca.

Hal-hal berkaitan pemantauan dan penyelidikan dapat meningkatkan pengetahuan dan menambahkan maklumat tentang kepelbagaian biologi serta mencipta kerjaya.

Kajian berkaitan perubahan cuaca seperti petunjuk yang melibatkan plankton, serangga, atmosfera dan ekosistem sangat penting. Adakah peruntukan disediakan mencukupi untuk kajian perubahan cuaca?

Kesedaran awam

Dalam keadaan bajet yang terhad dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan, perancangan tentang alam sekitar dan semula jadi mestilah lebih fokus dalam menyelesaikan isu jangka pendek dan penyediaan asas untuk jangka panjang.

Antara perkara penting ialah komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) bagi menyediakan rakyat yang prihatin tentang alam sekitar

Isu pencemaran plastik mesti diselesaikan segera.

Antara langkah yang boleh diambil ialah melalui CEPA dan insentif kepada agensi terlibat seperti pengeluar plastik, inovasi plastik mudah reput and penyelidikan ke arah penyelesaian masalah.

Begitu juga dengan program tenaga alternatif seperti menggunakan alga mikro untuk biodiesel.

Aktiviti pertanian antara yang banyak menggunakan plastik sama ada daripada penyediaan ladang, tapak semaian benih, penggunaan baja, racun perosak dan membungkus hasil untuk dipasarkan.

Sudahkah ada kajian tentang penggunaan plastik dalam pertanian dan nisbah pelaburan dalam pertanian, penggunaan plastik dan pencemaran plastik serta kesannya kepada alam sekitar?

Aktiviti pertanian di darat, tanah tinggi, dalam tasik atau sungai, dan aktiviti akuakultur di pantai juga banyak menggunakan plastik.

Penyelidikan mesti dijalankan bagi menjawab soalan ini iaitu sejauh sumbangan pertanian dalam perubahan sistem ekologi dan kesan kepada rantaiannya.

Misalnya ladang kelapa sawit berdekatan muara sungai dan pantai, konflik akuakultur udang dan kerang menerima kesan kelodak hakisan permukaan kawasan pertanian, lebihan nutrien dan racun perosak, bahan kimia daripada kolam udang ke atas penternakan kerang dan ekosistem bakau yang menjadi tempat pembiakan serta tumbesaran hidupan marin.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mestilah melihat perkara ini dengan lebih serius menggunakan belanjawan yang diperuntuk bagi memulihkan kesan yang telah berlaku agar petani tidak terus kerugian dan alam sekitar tidak terus tercemar.

Kawasan pasang surut berlumpur yang asalnya kaya dengan orgnisma bentik makanan kepada burung hijrah juga turut terjejas.

Isu alam sekitar ini mestilah dilihat secara bersepadu dan merentas kementerian.

Semua kementerian yang berkepentingan dan mendapat faedah daripadanya mestilah berkerjasama dalam memastikan ekosistem hutan, sungai dan pantai bebas daripada pencemaran dan keadaan semula jadi terperlihara tanpa menjejaskan peranan kementerian masing-masing.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli; Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan; Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Kementerian Industri Utama dan kementerian-kementerian lain mestilah bersidang untuk melihat sumbangan mereka kepada alam semula jadi dan kepentingan untuk kementerian mereka.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani misalnya bolehlah bekerjasama dalam menanam semula pokok-pokok hutan di kawasan tanah yang diteroka haram seperti di tanah tinggi Cameron Highlands dan menanam semula pokok-pokok bakau di kawasan kolam udang yang terbiar.

Hutan bakau yang menjadi tempat hinggap burung hijrah ditebang untuk dijadikan kolam udang perlu ditanam semula bagi memperkayakan semula habitat hidupan laut.

Ekopelancongan

Bagi menjayakan program seperti ini pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh dilibatkan.

Ekopelancongan sama ada di hutan tropika atau taman laut sudah lama menarik pelancong dari dalam dan luar negara. Peningkatan kehadiran pelancong kerana kepelbagian biologi, infrastruktur, kemudahan perhubungan yang baik dan selamat.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya boleh membantu dalam memastikan kelestarian sumber semula jadi negara melalui berbagai aktiviti seperti CEPA dan penambahbaikan habitat.

Sumbangan kepada kerajaan negeri berjumlah RM60 juta untuk menambah dan mengekalkan kawasan perlindungan adalah satu tindakan yang baik. Kerajaan negeri sepatutnya mengambil tindakan positif.

Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda misalnya adalah Kawasan Sensitif Alam Sekitar yang penting untuk sumber air dan habitat bagi mamalia besar seperti gajah, tapir, harimau, beruang matahari dan seladang. Di samping itu, Kompleks Hutan Ulu Muda mempunyai 10 spesies burung enggang dan merupakan suatu yang unik di dunia.

Dengan insentif ini, kerajaan negeri bolehlah menghentikan aktiviti pembalakan dan menggunakan hutan simpan ini untuk pelancongan sebagai pendapatan tambahan yang berterusan.

Namun begitu pendirian kerajaan tentang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merentasi hutan simpan di beberapa negeri masih belum muktamad. Central Forest Spines untuk laluan hidupan liar tidak dinyatakan dengan jelas sama ada menghubungkan kompleks hutan-hutan simpan atau kawasan cadangan ECRL.

Kerajaan juga tidak menyebut tentang kemungkinan menambah tapak baharu Ramsar seperti Taman Alam Kuala Selangor, santuari burung laut di Kuala Gula, Perak dan Pantai Teluk Air Tawar di Pulau Pinang.

Tapak Ramsar di Pulau Kukup, Tanjung Piai dan Sungai Pulai perlu dijaga dan ditambah baik dari segi habitat dan laluan burung hijrah terutama apabila Selat Melaka merupakan laluan kapal yang sibuk di dunia boleh mengganggu kelestarian Tapak Ramsar.