Pun begitu, tanpa kita sedari penggunaan dron yang semakin meningkat dianggarkan kira-kira 30 peratus setahun berkemungkinan membawa ancaman kepada sesebuah negara atau syarikat mahupun individu.

Di Amerika Syarikat (AS)dianggarkan ada tiga juga pengguna dron dan angka tersebut akan terus meningkat lebih-lebih lagi apabila peranti itu dijual dalam pasaran terbuka dan tanpa kawalan dengan harga mampu milik.

Pada Ogos tahun lalu Presiden Venezuela, Nicolas Maduro diserang oleh dua buah dron yang melepaskan letupan ketika berucap dalam satu majlis perbarisan tentera. Pada ketika itu letupan sangat kuat dan menimbulkan panik dalam kalangan orang ramai.

Malah, difahamkan dron juga digunakan di negara luar untuk menyeludup dadah dan senjata kepada banduan di dalam penjara.

Bukan itu sahaja, dron turut digunakan sebagai bahan intip untuk melakukan pintasan data di pusat data melalui pepijat yang diletakkan pada dron di pusat data.

Menurut Pengarah Urusan Mindscope Sdn. Bhd., Mohd Rizan Abdullah, dron turut digunakan oleh penjenayah bagi menyeludup dadah jenis marijuana untuk dibekalkan kepada banduan di Penjara Georgia.

Malah, sebuah syarikat dron terbesar di dunia menyatakan potensi dron digunakan bagi melakukan intipan gambar atau data untuk dihantar ke China amat tinggi.

Katanya lagi, demi menjaga keamanan dan keharmonian sesebuah negara, seseorang yang memandu dron memerlukan kepakaran dan kawalan yang baik agar alat tersebut selamat dan tidak menyebabkan kemalangan atau bahaya.

“Stesen jana kuasa Brooklyn di AS yang menempatkan pencawang elektrik menjadi mangsa apabila dron terhempas di kawasan tersebut. Lebih malang perkara sama berlaku di Stesen Jana Kuasa Mountain View yang mengakibatkan 160,00 rumah terputus bekalan elektrik.

“Kita tidak mengetahui siapa memandunya, mungkin kanak-kanak yang sekadar mengisi masa lapang dengan bermain dron atau mungkin mereka berniat jahat. Tiada siapa mengetahui perkara sebenar di sebalik kejadian itu. Justeru, satu langkah awal perlu dilakukan bagi mengatasi perkara tersebut sebelum memberi kemudaratan pada masa akan datang,” jelasnya.

Kata Mohd. Rizan lagi, ada satu ketika sebuah kapal terbang yang membawa bahan pemadam api untuk memadam kebakaran tidak dapat diterbangkan ekoran terdapat terlalu banyak dron di udara.

Jika pihak berkuasa masih meneruskan ‘niat’ menghantar bantuan kapal terbang tersebut dikhuatiri akan menye–babkan kemalangan udara.

Malaysia turut terdedah bahaya

Dron amat mudah didapati dalam pasaran tempatan secara terbuka termasuk secara atas talian pada harga mampu milik iaitu serendah RM3,000. Perkara tersebut secara tidak langsung membuka peluang untuk majoriti rakyat Malaysia memilikinya.

Di Malaysia menjadi kegilaan dalam kalangan jurufoto dan juruvideo untuk memiliki dron bagi tujuan membidik gambar panorama yang indah. Malangnya terdapat masyarakat yang terlalu ghairah menggunakannya tanpa memikirkan keselamatan orang awam dan negara dengan menerbangkan dron di kawasan larangan terbang.

Penyalahgunaan dron dikesan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Menara Kuala Lumpur dan di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) iaitu antara kawasan yang diwartakan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebagai kawasan larangan terbang dron.

Pengurus Besar Mindscope Sdn. Bhd., Mohd. Izwan Ibrahim berkata, keghairahan merakam visual yang menarik tanpa mematuhi peraturan menjadi ancaman kepada keselamatan kawasan berkepentingan dan ruang udara penerbangan awam.

“Walaupun dron nampak selamat, namun alat tersebut dilengkapi bateri polimer litium yang jika terdapat hentakan atau pelanggaran yang kuat boleh menyebabkan letupan.

“Sebelum ini terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menerbangkan dron di KLIA2.

“Bayangkan jika alat tersebut terkena enjin kapal terbang boleh mengakibatkan letupan besar sementara di KLCC pula boleh mengakibatkan kecederaan dalam kalangan orang ramai dan pelancong.

“Malah, jika dron itu diterbangkan dengan niat tertentu dikhuatiri bukan sahaja menjejaskan sektor perniagaan dan pelancongan negara, malah berkemungkinan menyebabkan kehilangan banyak nyawa,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Walaupun larangan penerbangan dron telah diwartakan, ia seolah-olah dipandang remeh oleh masyarakat Malaysia.

Sikap rakyat Malaysia yang memandang ringan perkara itu mungkin boleh membawa kepada ancaman yang lebih besar dari pihak luar terutama melibatkan Pusat Data, pejabat kerajaan, Pejabat Perdana Menteri (PMO), penjara, Depot Tahanan Imigresen, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), kawasan sempadan, KLCC, lapangan terbang, tempat penyimpanan gas dan kawasan atau bangunan berisiko lain.

Kejadian seperti penutupan selama dua hari di Lapangan Terbang Heathrow, London akibat ancaman dron yang terlalu banyak di ruang udara menyebabkan kerugian yang banyak kepada negara itu dan aktiviti kumpulan militan Daesh yang kini menggunakan dron untuk melakukan serangan dengan menjatuhkan bom atau merempuh infrastruktur yang lebih besar perlu menjadi pedoman dan amaran awal buat negara.

Pada Januari 2015, sebuah dron jatuh di halaman Rumah Putih selepas pengendalinya hilang kawalan menyebabkan kebimbangan bahawa kediaman Presiden Amerika Syarikat (AS) mungkin terdedah kepada ancaman serangan.

Beberapa bulan kemudian, seorang lelaki yang membantah dasar nuklear Jepun menjatuhkan sebuah dron membawa pasir radioaktif dari bencana nuklear Fukushima ke Pejabat Perdana Menteri.

Perkara itu juga tidak mustahil berlaku di Malaysia terutama apabila terdapat pelbagai bukti yang jelas menunjukkan kewujudan dron di ruang udara di kawasan larangan terbang peranti itu yang dimuat naik oleh rakyat dalam laman sosial.

“Berdasarkan beberapa kejadian tersebut, menjadi tanggungjawab penguat kuasa untuk menambah baik sistem kawalan keselamatan melalui teknologi terkini agar perkara yang berlaku di negara luar tidak menular ke Malaysia,” ujarnya.