Laporan menunjukkan bilangan pelancong meningkat dari 3.06 juta pada tahun 2012 kepada 3.62 juta pada tahun lalu dengan pendapatan meningkat dari RM2.6 bilion kepada RM5.8 bilion.

Perkembangan tersebut sangat memberangsangkan dan memberi semangat untuk Langkawi terus berkembang sebagai destinasi pelancongan dunia. Dengan perkembangan terbaharu kedatangan pelancong dari China, Langkawi sudah tentu akan terus dibanjiri pelancong antarabangsa. Tahun ini, pendapatan pelancongan disasarkan sebanyak RM6 bilion.

Keunikan, kecantikan dan kehijauan alam semula jadi adalah yang menjadi tarikan utama pelancong luar negara.

Langkawi yang terkenal sebagai geopark bertaraf dunia mempamerkan struktur geologi yang menarik berserta ekosistem hutan bakau dengan kepelbagaian flora dan fauna yang menghiburkan dan memberikan pengalaman baharu kepada pelancong.

Satu lagi keunikan Langkawi ialah pantai dan pulaunya yang bersih memberi peluang pelancong menikmati air laut dan pantainya.

Bagi pelancong yang datang dari negara tidak mempunyai laut dan pantai, sudah tentu produk pelancongan ini menjadi tarikan utama.

Pengurusan pembangunan dan penyelenggaraan Langkawi mestilah mempunyai perancangan dan pelaksanaan yang terbaik bagi mengekalkan keindahan semula jadi semua pulau-pulau di Langkawi terus bersih agar minat pelancong luar negara berkekalan.

Dengan kebanjiran pelancongan yang berterusan, aktiviti pelancongan yang meningkat dan pencemaran yang terus berlaku, pengekalan keindahan Pulau Langkawi menjadi sangat mencabar.

Antara perkara yang perlu dijaga dan boleh membantu kebersihan pantai serta menambah baik lagi produk pelancongan ialah sungai. Walaupun Langkawi tidak mempunyai sungai yang banyak, panjang dan aliran air yang kuat, namun struktur tanah dan penggunaan tanah yang aktif boleh menyumbang kepada pemindahan sedimen atau lumpur ke pantai.

Ini akan mengubah keaslian pantai yang bersih dan boleh mengurangkan tarikan dan kepuasan pelancong. Aktiviti sawah padi dan kerbau yang aktif berkubang misalnya akan menyumbang kepada hakisan permukaan dan kelodak dibawa ke sungai seterusnya ke pantai.

Air tawar yang berkelodak masuk ke laut boleh memberikan kesan kepada habitat muara dan mencemar pantai. Kajian dan pemantauan semua sungai perlu dilakukan agar perancangan pembangunan pulau berkenaan dan aktiviti manusia tidak menjejaskan kecantikan semula jadi pantai.

Semua sungai di Langkawi perlu diberi perhatian dan ditambah baik supaya sungai itu sendiri berperanan sebagai tarikan pelancong selain berkepentingan dalam pengurusan air Langkawi.

Aktiviti bersampan di sungai, memerhati burung dan memancing ikan sungai mungkin boleh menjadi tarikan pelancong yang tidak pernah mengalami suasana itu. Kepelbagaian produk pelancongan berasaskan alam semula jadi perlu diperkaya.

Antara perkara penting yang boleh dilakukan dan perlu disegerakan ialah zon penampan bagi sungai.

Semua sungai mesti mempunyai zon penampan bagi membolehkan pokok yang sesuai ditanam sepanjang sungai dengan kelebaran antara 10 hingga 20 meter (m). Pokok yang hendak ditanam mestilah pokok asal di Langkawi dan ditambah dengan tumbuhan penutup bumi di tebing sungai. Tumbuhan di zon penampan ini dapat membantu mewujudkan suasana yang teduh, melindungi daripada hakisan permukaan, menapis kelodak atau bahan cemar masuk ke sungai dan mengukuhkan tebing-tebing sungai. Apabila pokok sudah ada di kawasan zon penampan ini, serangga, burung-burung dan haiwan lain yang ada akan menarik minat pelancong.

Kajian yang dilaporkan di dalam Asian Jurnal of Chemistry 2012 mendapati air lelehan dari tapak pelupusan sampah memberi kesan kepada kualiti air dan alam sekitar di pulau berkenaan. Faktor utama kesan lelehan di tapak pelupusan sampah ialah kerana pengurusan sisa pepejal yang kurang cekap.

Mungkin kaedah pengurusan sampah berteknologi tinggi perlu diperkenal di Langkawi. Pencemaran utama yang perlu diberi perhatian mengikut Jabatan Alam Sekitar ialah permintaan oksigen biologi (BOD) dan permintaan oksigen kimia (COD), amonia, pepejal terampai dan bahan organik.

Bacaan BOD yang tinggi menunjukkan mungkin terdapat kumbahan yang tidak dirawat telah dilepaskan ke dalam sungai.

Selalunya air kumbahan datang dari kawasan perumahan, industri berasaskan pertanian dan kilang pembuatan. Amonia boleh datang daripada aktiviti penternakan dan domestik, manakala pencemaran pepejal terampai daripada aktiviti pembersihan tanah.