Selain ayam organik, rakyat Malaysia kini dilihat beralih untuk memilih ayam kampung dalam menu harian ekoran manfaat dari sudut kesihatan dan keenakan rasa yang tidak boleh diragui lagi.

Namun, menjadi persoalannya kini adakah pembeli menyedari ayam kampung yang di jual sama ada di pasar raya, pasar borong atau pasar malam adalah tidak asli kerana ia adalah ayam daging warna (colour broiler), dan lambakan ayam tersebut menimbulkan keraguan sedangkan landskap ternakan ayam kampung pada asasnya secara kecil-kecilan di kawasan luar bandar.

Bekas Pensyarah Fakulti Pertanian yang kini berkhidmat sebagai sukarelawan Amal Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Azhar Kasim berkata, ayam kampung memiliki ciri-ciri yang jauh berbeza berbanding ayam daging warna antaranya badan bersaiz kecil, ramping dan ringan, telur bersaiz kecil dan berwarna cerah coklat serta dagingnya yang kenyal.

Namun istilah ayam kampung pada label di pasaran menyebabkan pengguna tidak menyedari mereka sebenarnya membeli ayam daging warna.

“Terdapat segelintir peniaga memanipulasi pembeli dengan menjual ayam yang bersaiz kecil dan ringan iaitu menyerupai ciri-ciri ayam kampung, namun sebenarnya mereka menyembelih ayam tersebut pada usia yang muda,” katanya.

Permintaan tinggi terhadap ayam kampung membolehkan UPM menghasilkan baka ayam kampung melalui pembiakan terpilih ke atas ayam kampung yang biasa dipelihara.

Tambah beliau, ayam kampung tempatan secara semula jadi mempunyai darah ayam hutan yang membuatnya aktif, lasak dan rasa daging yang sedap.

Katanya, di peringkat permulaan, induk betina dihasilkan melalui gabungan beberapa jenis ayam kampung yang dikumpulkan di seluruh negara. Kajian menjurus kepada menghasilkan induk betina yang tinggi pengeluaran telur serta saiz telur yang besar supaya anak yang tetas mempunyai kecergasan baik.

Azhar yang juga Pengarah Urusan Azil Green Resources Sdn. Bhd. memberitahu induk ayam kampung Akar Putra diternak secara intensif di dalam reban sepanjang masa supaya pengeluaran telur berada pada tahap tinggi.

“Kini ladang pembiakan yang terletak di Yan, Kedah boleh menghasilkan sebanyak 1,000 hingga 1,500 anak ayam dalam seminggu.

Penggunaan antibiotik yang tidak mudah dikawal dalam industri penternakan ayam memberi satu persepsi negatif dan memberi kesan buruk terhadap kesihatan pengguna.

Selain untuk tujuan rawatan penyakit, antibiotik digunakan bagi membantu meningkat pertumbuhan dan perkembangan secara cepat.

Justeru penggunaan antibiotik untuk menggalak pembesaran tentu sahaja memberi keuntungan kepada pengusaha kerana tidak perlu menunggu waktu yang lama untuk disembelih. Namun kaedah berkenaan mendatangkan risiko kepada kesihatan manusia akibat residu antibiotik dalam daging kerana risiko pengusaha tidak patuh kepada garis panduan penggunaan antibiotik.

Atas faktor itu, ayam kampung Akar Putra menjalani proses yang lebih selamat iaitu melalui penggunaan mikroba efektif dan herba dalam kawalan penyakit.

Kata Azhar, herba seperti daun neem, daun ubi, kunyit dan bawang putih digunakan sebagai alternatif kepada antibiotik.

“Herba tersebut memberi hasil yang lebih baik jika digunakan bersama mikroba efektif kerana membantu meningkatkan kesihatan usus, membasmi cacing serta bakteria berbahaya,” jelasnya lagi.

Beliau menambah, ladang ternakan ayam kampung tersebut juga bebas antibiotik dan bebas bahan kimia sejak tahun lalu.

Nilai komersial yang tinggi terhadap ayam kampung menyebabkan peniaga mengambil kesempatan untuk memanipulasi pembeli melalui label ‘ayam kampung’.

Justeru, beliau menasihati pengguna agar lebih berhati-hati ketika membeli serta mendapatkan ayam kampung yang asli melalui pengedar atau penternak yang sah.

Menurutnya, ayam yang di label sebagai ayam kampung di pasaran mungkin memiliki sebahagian ciri-ciri ayam kampung seperti badan bersaiz kecil, ramping dan ringan disebabkan melalui proses penyembelihan ketika usia ayam masih kecil.

Ciri yang mudah bezakan ayam kampung asli dari ayam daging warna ialah tulang dada yang tinggi pada ayam kampung asli.

Biasanya peniaga atau penternak memilih untuk menyembelih ayam daging warna pada usia muda kerana membawa pulangan lumayan

apabila menjual pada harga lebih tinggi dengan nama ayam kampung.

“Begitu juga dengan telur dari ayam hibrid penelur komersil yang berada di pasaran dengan label telur kampung yang dijual dengan nilai lebih tinggi. Pengguna perlu bijak memilih telur ayam kampung asli yang lebih kecil dan telur ini hanya boleh dibeli dari pengusaha ayam kampung asli atau pengedar.

“Saya berharap kerajaan lebih peka serta menguatkan kawalan agar perkara itu dapat dibendung serta dalam masa sama membantu meningkatkan pendapatan penternak ayam kampung asli di luar bandar.

“Kerajaan perlu memantau industri ternakan ayam agar pembeli tidak lagi diperdaya,” ujarnya.