Jika faktor lain seperti benih unggul, sokongan dana, persekitaran dan teknologi bergerak selari dengan hasrat memajukan industri tanaman ini, maka tidak mustahil ia dapat menjanjikan pulangan lumayan kepada pengusaha.

Seorang pakar penyelidikan pembiakbakaan dan genetik jagung tempatan, Prof. Dr. Ghizan Saleh berkata, satu daripada elemen penting sebagai pemangkin bagi memastikan kejayaan industri tanaman tersebut adalah sokongan kerajaan menerusi insentif.

“Bantuan kerajaan sama ada dalam bentuk subsidi harga atau insentif boleh membantu industri ini, sama seperti yang dilaksanakan bagi tanaman padi.

“Ini kerana kos pengeluaran jagung bijian di negara ini adalah tinggi, berbanding hasil jualan yang boleh diperoleh,” ujarnya yang juga pensyarah Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ketua Kluster Pertanian dan Makanan, Majlis Profesor Negara (MPN).

Beliau merupakan ahli Kumpulan Fokus Penanaman Jagung Bijian yang ditubuhkan khas bawah Jabatan Pertanian dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang bertujuan menjalankan kajian penanaman bagi melihat kembali potensi industri berkenaan.

Kementerian kini sedang giat mempromosi dan menggalakkan penanaman jagung bijian ini yang dilihat mempunyai potensi yang cerah.

Dr. Ghizan mula terlibat dengan penyelidikan jagung sejak 1987 dengan kejayaan menghasilkan varieti hibrid jagung bijian tempatan yang pertama, Putra J-58

Beliau berkata, tumpuan penyelidikan adalah untuk menghasilkan varieti jagung hibrid yang melibatkan bukan sahaja jagung bijian,tetapi juga jagung manis dan jagung foraj.

Kata beliau lagi, menerusi kajian fasa terkini yang bermula beberapa tahun lepas bersama beberapa pelajar peringkat doktor falsafah (PhD), pihaknya berjaya menghasilkan lima atau enam hibrid F1 yang berpotensi, tetapi masih perlu melalui beberapa siri pengujian lokasi dan kestabilannya sebelum mana-mana antaranya diisytihar dan didaftarkan sebagai varieti hibrid yang baharu.

Menerusi program pembiakbakaan dan genetik jagung UPM ini, beliau membimbing beberapa pelajar pada peringkat PhD yang terdiri daripada Nazatul Shima Naharudin, Maizura Abu Sin dan Neyaz Rashid Mustafa, yang juga sama-sama dibantu oleh pegawai penyelidikan Mohd. Shahril Abdul Rahman dan Muhd Haizan Saliuddin.

“Sebelum kacukan hibrid dijalankan, kami memilih induk titisan inbred yang sesuai dan berkualiti, ‘’ ujarnya.

Mereka juga perlu menilai keupayaan bergabung setiap titisan inbred berkenaan bagi memilih yang mempunyai keupayaan bergabung dengan baik untuk dijadikan hibrid.

Selepas hibrid yang baik dikenal pasti, pihaknya akan menjalankan penilaian seterusnya iaitu penilaian lokasi yang akan menentukan sama ada hibrid tersebut stabil atau sebaliknya.

Kata Dr. Ghizan, ujian penilaian lokasi yang dijangka dijalankan di tiga atau empat buah tempat dan ditanam dalam dua musim, penting bagi menilai sejauh mana kestabilan hibrid berkenaan di tanah penanaman dan persekitaran berbeza.

Kajian penilaian prestasi di lokasi yang berbeza penting dan jika berjaya menunjukkan pengeluaran hasil yang tinggi, maka penanaman berskala besar akan dilakukan.

Dalam pada itu Dr. Ghizan memberitahu, Nazatul Shima juga menjalankan penyelidikan mencari penanda molekul bagi mengenal pasti kewujudan gen terbaik dalam induk yang disaring. Ia penting bagi memudahkan kerja-kerja memilih induk terbaik dalam kalangan yang berpotensi.

Ini adalah usaha menggabungkan penyelidikan pendekatan bioteknologi dan pendekatan secara biasa.

Pendekatan tersebut juga penting bagi memastikan hibrid yang terpilih dapat dilabelkan mengikut identiti DNA-nya walaupun prestasi hibrid itu berbeza jika ditanam di tanah yang berbeza kesuburannya.

Menerusi pendekatan bioteknologi ini juga, jalur tertentu dalam DNA yang boleh dikaitkan dengan ciri-ciri terbaik juga dapat ditentukan kedudukannya dalam genom jagung,

Sebagai contoh, terdapat dalam DNA yang mempunyai ciri-ciri protein tinggi bagi jagung yang hendak digunakan untuk kegunaan foraj bagi tanaman haiwan ternakan.

Lebih jauh lagi, kajian peringkat kromosom dalam DNA varieti hibrid tersebut juga dijalankan bagi mencari tahap peratusan sumbangannya dalam ciri-ciri terbaik yang dikenal pasti itu. Kajian yang dikenali sebagai pemetaan Quantitative Trait s Loci (QTL) juga penting bagi menentukan sejauh mana segmen dalam DNA tersebut menyumbang pada ciri kuantitatif seperti hasil, ketinggian pokok dan sebagainya.

Dr Ghizan menambah, untuk memperkaya lagi sumber genetik jagung yang agak terhad di negara ini , selain membentuk induk menerusi pengacukan dan pemilihan yang dilaksanakan, pihaknya memperoleh benih induk melalui kerjasama daripada Pusat Penambahbaikan Jagung dan Gandum Antarabangsa (CIMMYT) di Mexico.

Mengenai masa depan tanaman jagung, Dr. Ghizan berkata, beliau berkata kajiannya mengenai jagung hibrid tidak pernah berhenti sebaliknya dijalankan secara berterusan.

Meskipun kos pengeluaran jagung meningkat daripada 35 sen sekilogram 20 tahun yang lalu kepada hampir RM1 sekilogram sekarang, Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada import sepanjang masa.

“Kos input tanaman jagung sudah naik disebabkan kos input seperti baja telah meningkat, tetapi dengan penggunaan baka yang lebih baik, formula penanaman jagung dahulu tidak lagi sesuai untuk dijadikan perbandingan,’’ ujar beliau.

Secara umumnya kejayaan penyelidikan itu akan mengambil kira pencapaian beliau yang sejak dahulu terlibat dalam penyelidikan pembaikbakaan jagung manis dengan penghasilan beberapa varieti sebelum ini, antaranya GS 2002 iaitu varieti jagung manis pada 2003.

Masa sesuai bangunkan industri jagung tempatan

Tahukah anda dalam setiap hidang sepinggan nasi yang kita makan yang berlauk seketul daging ayam, kos jagung dalam ayam tersebut lebih mahal berbanding nasi tersebut.

“Apabila kita makan nasi dengan seketul ayam tadi, katalah kos nasi RM1 atau RM 1.50, kos ayam adalah RM4. Kira-kira 50 peratus daripada kos ayam tersebut sebenarnya adalah melibatkan makanannya iaitu jagung bijian,” ujar Prof Ghizan Saleh.

Kes itu membuktikan, harga jagung bijian dalam seketul daging ayam tersebut (RM2) adalah lebih mahal berbanding kos nasi (antara RM1 dan RM1.50).

Justeru beliau berharap, dengan harga jagung bijian yang mahal itu, kerajaan wajar membantu industri tersebut yang memerlukan insentif untuk terus berkembang.

Menerusi pendekatan tersebut, masalah tanaman jagung dapat diselesaikan meskipun tidak melibatkan keseluruhan masalah yang dihadapi.

Dr. Ghizan berkata, sekiranya hasrat kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mahu mengurangkan nilai import jagung kira-kira 10 peratus daripada RM4 bilion setahun maka nilainya bersamaan dengan RM400 juta.

Kata beliau, untuk memenuhi hasrat ini, berdasarkan hasil pengeluaran 10 tan sehektar daripada penanaman dua kali setahun, dan berdasarkan harga pasaran RM1,000 setiap tan jagung bijian, negara memerlukan tanah yang sesuai sebanyak 20,000 hektar bagi penanaman jagung bijian.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, selain insentif harga, kerajaan juga perlu memastikan penggunaan jentera berteknologi tinggi digunakan pada semua peringkat penanaman hingga pemprosesan.

Bagi memudahkan penggunaan jentera berteknologi tinggi digunakan, kawasan penanaman perlu luas dan sekiranya ia terlalu kecil, tindakan mengelompokkan kawasan wajar dilakukan dan hasil juga mudah dituai. Jagung bijian juga sesuai ditanam di musim perantaraan antara dua musim penanaman padi.

“Berdasarkan kiraan saya, tanpa apa-apa bantuan insentif, pada kos pengeluaran masa kini, seorang pengusaha perlu memperoleh hasil tuaian minimum lapan tan sehektar bagi mengekalkan keuntungan daripada usaha penanamannya, ujarnya lagi.

Walau bagaimanapun, banyak faktor penentu lain yang mempengaruhi, seperti keluasan tanah bersaiz ekonomi yang digunakan serta harga pasaran.