Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi Jabatan Pertanian mengambil inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran cili melalui program peningkatan 400,000 polibeg setiap negeri yang telah dimulakan pada tahun 2016.

Menerusi program tersebut, pengeluaran cili meningkat sebanyak 9,832 tan metrik iaitu sebanyak 22 peratus berbanding pengeluaran bagi tahun 2016 dan program tersebut masih berjalan dan dipantau pada tahun ini.

Beberapa langkah yang diambil dalam menggalakkan usaha penanaman cili supaya hasil terus dapat dipertingkatkan.

Jabatan Pertanian misalnya menganjurkan Program Penarafan Penuaian Terbesar Cili oleh The Malaysia Book of Records (MBR) dengan catatan rekod Largest Simultaneous Chillies Harvesting in a Day baru-baru ini.

Program tersebut bertujuan menguar-uarkan kepada orang ramai mengenai usaha dan komitmen Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam meningkatkan pengeluaran dalam negara, sekali gus mengurangkan import bekalan cili.

Selain itu, program berkenaan juga boleh dilihat sebagai satu promosi untuk menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan cili tempatan dan seterusnya dapat membantu usahawan tanaman cili mendapat harga pasaran yang lebih baik.

Menurut Pengarah Bahagian Hortikultur Jabatan Pertanian, Abdul Daut program tersebut mendapat kerjasama daripada 128 usahawan tani dan 130 lokasi penanaman cili seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata, sejumlah 23,764 kilogram (kg) cili daripada 663,522 pokok cili berjaya dituai dalam program tersebut.

“Kejayaan ini jelas mempamerkan komitmen usahawan tani khususnya bagi tanaman cili dalam meningkatkan hasil tanaman mereka.

“Inisiatif Jabatan Pertanian ini juga telah berjaya memperoleh pengiktirafan daripada The Malaysia Book Of Records bagi mencatat rekod Largest Simultaneous Chillies Harvesting In A Day,’’ ujarnya.

Menurutnya program tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Bagi tujuan pemantauan dan mengemaskini data untuk program tersebut Jabatan Pertanian telah membangunkan aplikasi e-harvest yang boleh diakses menerusi telefon pintar yang disokong dengan kemudahan talian internet.

Borang kemasukan data ini boleh diakses melalui http://www.portal.doa.gov.my/eharvest. Data yang dimasukkan ke dalam borang melalui aplikasi ini adalah nama petani, lokasi ladang, bilangan pekerja, bilangan pokok berhasil.

Rumusan data-data yang dibangunkan ini akan digunakan untuk mengkaji, merancang dan menentukan corak pengeluaran cili negara serta menimbang keperluan import cili negara.

Jabatan Pertanian merancang untuk meluaskan penggunaan aplikasi ini untuk tanaman lain serta berharap akan mendapat kerjasama daripada petani dan usahawan untuk menjayakan aplikasi ini dimasa hadapan.

Abdul berkata, rakyat Malaysia menggunakan 90,000 tan metrik cili setahun dan mengimport 48,000 tan metrik setahun.

“Kita rancang untuk menghasilkan cili yang berkualiti dengan menggalakkan penaman dalam negara menggunakan kaedah fertigasi tanpa racun.

“Sepatutnya kita sasarkan pengeluaran 100 tan metrik cili sehari berbanding pengeluaran hanya 40 tan sehari,’’ ujarnya.

Katanya, tempoh penuaian selepas ditanamn adalah kira-kira 75 hari dengan 60 kali petik bagi setiap pokok.

Projek TKPM antara kawasan yang menempatkan penanaman cili di seluruh negara.

Jabatan Pertanian bantu peserta TKPM

Sementara itu menurut Pegawai Pertanian Daerah Kuala Langat, Fadzly Basari pengusaha di bawah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Bukit Changgang, terdapat enam peserta penanam sayur sayur dalam kawasan tersebut daripada jumlah keseluruhan 16 peserta.

“Penanam (peserta) di sini kebanyakan menanam sayur-sayuran jenis cili, terung dan timun menggunakan kaedah teknologi selain penternakan kambing tenusu dan pedaging dan bunga-bungaan,’’ ujarnya.

Jabatan Pertanian kata beliau, membantu peserta pada peringkat awal dengan kemudahan fizikal infrastruktur seperti struktur pelindung hujan (SPH) dan sistem saliran serta input pertanian seperti benih, baja dan polibeg dan hampas sabut kelapa.

“Peserta perlu mengeluarkan bajet sendiri dan kami memberi khidmat nasihat,’’ ujarnya.

Beliau berkata, bantuan tersebut dan khidmat nasihat adalah bertujuan mencapai sasaran penubuhan TKPM untuk melahirkan usahawan pertanian berpendapatan minimum RM3,000 sebulan.

Malah, katanya ada peserta yang mampu memperoleh pendapatan RM8,000 sebulan dengan sebahagian besar mereka menanam dengan keluasan antara satu hingga empat hektar.

Menurut Fadzly ,dalam memberi bantuan kepada peserta, pihaknya juga mendengar masalah mereka terutama berkaitan penyakit yang sering menjejaskan tanaman cili dan dalam masa sama menggalakkkan mereka menanam tanpa penggunaan racun kimia.

“Kita (juga) bantu petani dari segi teknikal dan menggredkan cili yang mereka hasilkan’’ ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, penyakit daun kerinting antara masalah tersebut dan untuk menyelesaikannya Jabatan Pertanian mengesyorkan supaya petani menggilirkan projek tanaman cili mereka dengan tanaman lain dan penanaman dibuat dua musim setahun.

“Kita memang meminta mereka menanam cili berselang seli dengan tanaman lain seperti rock melon dan timun, ‘‘ ujarnya.

Malah katanya banyak tanaman lain yang boleh dimanfaatkan seperti pokok tin.

Lulusan SPM jadi usahawan cili

Berbekalkan kelulusan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia kelihatan tidak banyak idea untuk berjaya sebagai seorang usahawan.

Namun bagi Norhashim Kamisan, itu cerita sebelum 2006 kerana kini dia bukan sahaja menjadi contoh kepada pengusaha cili, namun kini bergelar usahawan pertanian dalam usia muda.

“Semuanya bermula apabila melihat sendiri kejayaan rakan saya yang sebaya dan sama dengan kelulusan tetapi bergelar usahawan cili.

“Minat saya timbul selepas mendapat tahu, kawan saya itu mampu memperoleh pendapatan RM4,000 dengan penanam cili pada keluasan yang terhad,’’ujarnya.

Justeru, bermula 2006 berbekalkan modal permulaan sebanyak RM7,000 dia memulakan projek secara kecil- kecilan dengan 800 polibeg di di Sijangkang Selangor. Namun, projek tanaman kini berkembang sehingga ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Bukit Changgang dan TKPM Serdang dengan kawasan seluas 4.8 hektar (12 ekar).

Kini , Norhashim tidak menoleh ke belakang lagi dan di ketiga-tiga kawasan projek tanama cilinya, dia mampu menanam sehingga 10,000 polibeg menggunakan sistem fertigasi menggunakan benih F1 hibrid 461.

Norhashim juga berkongsi masalah penyakit yang menyerang tanaman cilinya kepada pegawai Jabatan Pertanian selain mendapat bimbingan dan khidmat nasihat pelbagai aspek pengurusan ladang.

“(Pegawai) Jabatan Pertanian sering turun padang menilai prestasi ladang dan mengambil sampel buah untuk dianalis,’’ ujarnya.

Mengenai aspek pemasaran dia yang mampu mengeluarkan sehingga 40 kilogram sehari berkata, semua hasilnya dikumpul di pusat pengumpulan kelolaan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sebelum di jual ke pasar raya secara segar.

Mengenai perancangan akan datang, dia berharap projek penanaman cili diperluaskan bagi menambah hasil pengeluaran negara memandangkan import sayuran tersebut terlalu tinggi.

Setakat ini katanya teknologi fertigasi adalah yang terbaik untuk digunakan tetapi penaman mesti mempelajarinya terlebih dahulu.