• Nama biasa perosak : Ulat karut daun mangga (Mango webworm)
  • Nama saintifik : Bombotelia jacosatrix Guen.
  • Famili : Noctuidae
  • Order : Lepidoptera
  • Status perosak : Minor

Pengenalan :

Dewasa – Kupu-kupu. Sayap hadapan berwarna perang. Sayap belakang mempunyai tompok-tompok putih dan tepi sayap yang gelap.

Telur – berbentuk separuh bulat dan bergaris pusat 0.2 mm. Telur baharu berwarna hijau pucat, bertukar kepada perang kekuningan dan kemudian perang kemerahan bila hampir menetas.

Larva – baharu menetas berukuran empat mm panjang. Larva yang tua berwarna hijau pucat kekuningan dengan bintik-bintik ungu sepanjang belakang (dorsal) badan.

Kepompong – Kepompong yang baharu terbentuk berwarna hijau muda yang kemudian bertukar keperangan.

Biologi dan ekologi :

Kupu-kupu betina bertelur sebiji-biji pada daun-daun muda (permukaan atas dan bawah daun). Telur berbentuk separuh bulat, bergaris pusat 0.2 mm. Telur yang baharu berwarna hijau pucat, berubah menjadi perang kekuningan dan perang kemerahan bila hampir menetas.

Telur menetas dalam tempoh antara dua atau tiga hari. Larva yang baru menetas berukuran kira-kira tiga atau empat mm panjang. Sebaik sahaja selepas menetas, ulat berpindah pada hujung daun dan membesar dengan memakan tisu-tisu bahagian bawah daun.

Larva yang telah besar pula memakan keseluruhan daun yang masih lembut. Ia berwarna hijau pucat kekuningan dengan bintik-bintik ungu sepanjang permukaan atas badan (dorsal).

Tempoh larva adalah antara tujuh hingga sembilan hari. Larva matang berukuran kira-kira 25 mm panjang.

Kepompong terjadi dalam tanah, kadang-kadang juga antara dua daun. Semasa peringkat prakepompong (tempoh 2 hari) larva mengecut menjadi kecil. Kepompong yang baru terbentuk berwarna hijau pucat dan bertukar keperangan bila tua.

Tempoh kepompong adalah adalah antara 10 hingga 12 hari. Kupu-kupu dewasa betina dan jantan masing-masing hidup selama antata 19 dan 38 hari dan 12 hingga 29 hari.