Isinya yang berwarna oren kekuningan ditambah dengan rasa yang manis serta berbau harum mampu memikat setiap yang melihat untuk mencubanya.

Namun, apa yang membataskan pembeli ialah harga mangga harumanis yang boleh dikelaskan sebagai agak tinggi berbanding buah-buahan lain iaitu sekitar RM35 sekilogram bagi gred premium.

Oleh itu, sudah tentu ramai penggemar mangga agak keberatan untuk membelanjakan sejumlah wang yang agak besar hanya untuk menikmati mangga yang digelar Permata Perlis kerana sifatnya yang hanya hidup subur di negeri itu.

Ironinya, mangga harumanis mempunyai kualiti yang sangat tinggi dan memerlukan penjagaan yang amat rumit sementelah hanya mengeluarkan hasil sekali dalam setahun melayakkan ia dijual dengan harga sedemikian.

Sebagai pihak yang bertanggungjawab mengurus dan menjaga kebajikan harumanis, Jabatan Pertanian menghasilkan pelbagai inovasi untuk memantapkan pengurusan, sekali gus meningkatkan kualiti mangga harumanis ke tahap maksimum.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perlis, Low Wei Han, penjagaan dari peringkat awal sangat dititikberatkan kerana ia bakal memberikan kesan kepada kualiti hasil pengeluaran sekiranya tidak diselia dengan baik.

Oleh itu, katanya, setiap buah dipokok akan diukur menggunakan penyukat buah bagi mengenal pasti tahap kematangan buah yang membolehkan ia dibalut menggunakan kertas pembalut sehingga mencapai tempoh matang untuk dituai.

“Apabila buah tersebut berukuran 16 sentimeter (cm) kita akan mula membalut buah tersebut kerana jika melebihi ukuran itu ia akan menganggu proses kematangan buah yang dikehendaki.

“Setelah itu, ia akan mengambil masa selama 56 hari atau lapan minggu sebelum buah tersebut dapat dipetik dan diperam sebelum dijual ke pasaran,” katanya ketika ditemui di Pusat Kecemerlangan Mangga Harumanis, Bukit Bintang, Perlis baru-baru ini.

Pengeluaran mangga harumanis pada tahun ini dianggarkan sebanyak 1,500 tan metrik iaitu 50 peratus daripadanya akan mencapai puncak pengeluaran pada Ramadan ini.

Tambahnya, penjagaan harumanis harus dilakukan dengan cepat dan tepat tanpa melengahkan masa, walau satu hari bagi memastikan kualiti dan kemanisan buah benar-benar terjamin.

Selain itu, Jabatan Pertanian turut mengeluarkan inovasi roda harumanis yang mengandungi kitaran pengurusan harumanis yang konsisten dari peringkat awal iaitu pendebungaan, pembajaan, penuaian sehingga proses pemangkasan.

Roda inovasi tersebut dapat menjadikan pengurusan mangga harumanis menjadi lebih teratur dan jangka masa bagi satu-satu proses dapat ditentukan dengan lebih mudah oleh petani.

Dalam usaha memantapkan pasaran harumanis dan memenuhi kehendak pelanggan, Jabatan Pertanian juga telah menghasilkan pembalut karbon.

Berbeza daripada pembalut biasa yang hanya menjaga kualiti buah dari serangan penyakit dan serangga, pembalut karbon mempunyai kelebihan untuk menjadikan buah yang dibalut berwarna kuning dan menarik.

Pegawai Pertanian Daerah Perlis, Mohd. Nizam Abdul Aziz menjelaskan, penggunaan pembalut karbon menghalang cahaya matahari daripada menembusi buah yang dibalut, sekali gus menukarkan warna asal iaitu hijau kepada kuning.

“Hal ini kerana ada sesetengah pelanggan yang beranggapan mangga harumanis berwarna kekuningan dan bukan hijau.

“Oleh itu, kita beri mereka dua pilihan warna harumanis iaitu hijau dan kuning. Namun, kedua-duanya mempunyai kualiti yang sama,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Nizam berkata, kawalan kualiti diteruskan sehingga tiba musim menuai.

Dalam tempoh dua hari sebelum dituai, tahap kematangan buah akan diperiksa menggunakan alat Brix Meter Amamir TD-2010C yang berupaya untuk menguji tahap kematangan buah yang masih di pokok.

Alat berteknologi Jepun tersebut akan menunjukkan bacaan bagi setiap buah untuk memastikan ia benar-benar matang sebelum dapat dituai.

Bacaan yang baik ialah sekitar 12 ke atas dan sekiranya buah menunjukkan bacaan yang kurang daripada jumlah tersebut ia tidak akan dituai dan dibiar sehingga matang sepenuhnya di pokok bagi menjamin kualiti buah yang benar-benar manis dan enak.

Pengurusan lepas tuai bagi mangga harumanis di Pusat Pengumpulan, Jabatan Pertanian Negeri Perlis membabitkan beberapa langkah iaitu pembukaan pembalut, menimbang, membasuh, rawatan air panas, pengeringan, pemeraman, penggredan serta pembungkusan. Setelah dituai, mangga harumanis akan terus dicuci sehingga bersih dari segala kekotoran sebelum direndam di dalam air panas yang dicampur dengan racun kulat selama lima minit dengan suhu 50 °C bagi menjaga kulit luaran untuk terus kekal cantik.

Kemudian, buah diperam dengan menggunakan karbait selama 48 atau 72 jam bergantung pada kesesuaian permintaan dan seterusnya digredkan mengikut standard yang telah ditetapkan iaitu berat antara 450 gram hingga 650 (g) bagi gred premium dan 350 hingga 450 g bagi gred B.

Buah akan disusun di dalam kotak buah mengikut gred dan saiz dan disertakan bersama kertas hancur untuk menggelakkan geseran yang boleh menyebabkan kecederaan pada buah.

Maklumat seperti keterangan gred, berat, nombor siri dan tarikh sesuai di makan dilampirkan pada kotak untuk memberikan maklumat tambahan kepada pembeli.

Berbudi kepada tanah sememangnya satu pekerjaan yang mulia dan mampu menguntungkan pengusaha sekiranya dijalankan dengan rapi dan teratur.

Begitu juga dengan pengusaha harumanis di sekitar negeri Perlis yang seramai 3,309 orang tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam pertanian mengusahakan mangga harumanis yang boleh memberi keuntungan ketika tiba musimnya.

Namun, mengusahakan tanaman yang popular dan disukai ramai ini pasti berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan yang tidak dapat dielakkan.

Menurut Ketua Kelompok Tanaman Mangga Harumanis Felda Mata Ayer, Padang Besar, Perlis, Halim Kasim, 65, tanaman yang bernilai tinggi itu bukan sahaja diancam oleh serangan penyakit dan serangga perosak, malah turut diancam kecurian.

Menurutnya, yang telah mengusahakan tanaman harumanis selama 13 tahun, kerana memiliki nilai yang tinggi dan rasa yang enak menyebabkan ia sering menjadi sasaran pencuri.

“Kami (petani) terpaksa menjaga kebun dengan lebih peka kerana ia sering menjadi sasaran pencuri selain terpaksa mengeluarkan modal untuk mengusahakan tanaman dan mengawal penyakit.

“Namun, Jabatan Pertanian banyak memberi bantuan seperti baja, racun dan peralatan yang diperlukan serta khidmat nasihat bagi mengurangkan beban petani,” ujarnya.

Menghadapi dilema yang sama, Ketua Kelompok Tanaman Mangga Harumanis Tanah Pasir, Beseri, Perlis, Osman Ali, 62, berkata, bukan buah sahaja yang menjadi sasaran pencuri, malahan anak pokok yang baru ditanam juga menjadi mangsa.

Menurutnya, ada sesetengah petani daripada kelompoknya yang mengalami kerugian akibat kehilangan anak pokok yang dicuri oleh pihak yang bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan dari hasil penjualan anak pokok.

Selain itu, katanya, orang ramai masih tidak mengenal ciri harumanis yang sebenar menyebabkan mereka mudah ditipu oleh peniaga yang tidak jujur.

“Ada yang tertipu dengan membeli mangga biasa pada harga mangga harumanis dan seterusnya menganggap harumanis tidak berkualiti.

“Jadi, panduan menentukan ciri-ciri harumanis yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian harus dirujuk oleh setiap lapisan masyarakat supaya tiada lagi penipuan harumanis,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengurus Pusat Jualan Harumanis Y.A., Mohd Asri Yusof, 51, berkata, melalui aktiviti agropelancongan yang dijalankan pihaknya bawah pengurusan Koperasi Pengusaha Harumanis Y.A., dapat memberikan peluang kepada orang ramai untuk mengenali harumanis.

Menerusi program secara santai di ladang sambil menikmati pelbagai hidangan harumanis, sekali gus akan memberikan pengalaman yang lebih baik kepada penggemar buah berkenaan.

Selain daripada aktiviti agropelancongan, koperasi tersebut juga berperanan dalam penjualan input pertanian dan pengurusan ladang dalam memperkasa industri harumanis di negara ini.

Sesuai dijadikan juadah berbuka

Waktu kemuncak pengeluaran mangga harumanis pada tahun ini adalah pada pertengahan bulan Mei iaitu bulan Ramadan bagi umat Islam sehingga pertengahan Jun 2018.

Hal ini bermakna, ia memberikan peluang kepada umat Islam untuk berbuka puasa atau bersahur dengan keenakan harumanis yang juga berkhasiat untuk tubuh badan.

Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perlis, Low Wei Han berkata, tahap kemanisan sehingga 22 dapat memberikan kekenyangan yang lebih dan membekalkan tenaga yang mencukupi sepanjang ketika bulan puasa.

Mempunyai tahap kemanisan yang tinggi juga menjadikan harumanis setanding dengan kurma untuk dijadikan makanan manisan juadah berbuka selain dijadikan pencuci mulut.

“Kandungannya yang manis dapat menjana tenaga selain memulihkan tenaga terutama ketika sedang berpuasa.

“Ia juga sesuai untuk ganti makanan manis yang lain, oleh itu sangat disyorkan untuk makan harumanis pada bulan puasa,” jelasnya.

Selain dimakan secara segar, harumanis juga telah diinovasikan menjadi pelbagai produk hiliran seperti daun teh, gula-gula dan kegunaan harian.

Menurut Wei Han, produk-produk tersebut dihasilkan dengan memanfaatkan tanaman mangga harumanis seperti gula-gula yang dihasilkan daripada harumanis yang luruh di pokok sebelum mencapai tempoh matang.

Penghasilan produk-produk inovasi tersebut secara tidak langsung dapat mengurangkan pembaziran hasil harumanis yang hanya muncul setahun sekali.