Difahamkan, pada tahun lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi Jabatan Pertanian berjaya melaksanakan Program Pertanian Bandar di 3,218 lokasi projek dengan penglibatan seramai 75,651 peserta seluruh negara walaupun ada dalam kalangan mereka tidak memiliki ruang yang besar untuk melakukan aktiviti tersebut.

Bagi calon Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pendidikan Pengembangan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Milah Zainal, 30, melalui kajian yang sedang dijalankannya, mendapati langkah yang diambil oleh penduduk bandar melaksanakan amalan bercucuk tanam adalah bagi mengurangkan perbelanjaan dapur harian serta bagi memenuhi keperluan sosial mereka.

“Kebanyakan sayur yang ditanam digunakan atau diperlukan secara harian seperti bendi, cili, terung, pegaga, halia, sawi dan kailan.

“Jenis sayur-sayuran seperti ini amat mudah ditanam dan cepat membuahkan hasil, malah sesuai ditanam di ruang yang kecil seperti di balkoni rumah pangsapuri,” katanya.

“Pelbagai manfaat berjaya dinikmati petani bandar antaranya dapat menjimatkan perbelanjaan dapur kira-kira RM50 untuk seminggu, membekalkan bahan makanan yang segar dan selamat, menjana pendapatan sampingan jika terdapat lebihan serta dapat selamatkan alam sekitar dari sisa buangan yang tidak diperlukan.

“Selain itu, amalan bercucuk tanam menjadi medan penduduk untuk berinteraksi, semakin akrab, lebih mengenali antara satu sama lain apabila kerap melakukan aktiviti seperti barbeku dan potluck seperti yang kerap dijalankan di kebun komuniti,” ujarnya.

Tambah Milah, wujudnya kesedaran tentang makanan yang sihat dan selamat menjadi pencetus kepada warga bandar untuk bercucuk tanam.

Kebanyakan petani atau pekebun bandar memiliki kesedaran dalam memastikan bekalan makanan yang dihidangkan buat seisi keluarga bersih dan bebas daripada kuman berbahaya, racun, toksin serta bahan buangan yang lain.

“Ini kerana, amalan bercucuk tanam dalam kalangan petani bandar amat menekankan sistem penanaman organik iaitu tidak melibatkan sebarang racun atau baja kimia,” ujarnya.

Milah yang juga meminati aktiviti bercucuk tanam, berkata, ruangan yang terhad atau kekangan masa bukanlah penghalang bagi penduduk bandar terutama belia untuk bertani.

Jelasnya, bagi mereka yang mula untuk bertani, kos untuk melaksanakannya tidak melebihi RM50 serta dapat mengoptimumkan kawasan atau tanah yang ada dari dibiarkan begitu sahaja.

“Mereka yang sentiasa sibuk juga boleh menjalankan aktiviti pertanian bandar melalui inovasi dan teknologi tertentu.

Selain dapat membantu mengurangkan perbelanjaan dapur, saya melihat proses kejadian tumbuh-tumbuhan atau tanaman ini sebagai satu terapi jiwa.

“Bukan itu sahaja, amalan bercucuk tanam merupakan satu pekerjaan yang mulia dan amat digalakkan oleh Allah S.W.T dan Rasulullah SAW serta mampu mendekatkan diri dengan pencipta,” jelasnya.

Tambahnya lagi, bagi mereka yang berminat untuk melaksanakan pertanian bandar boleh mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar dari Jabatan Pertanian terutama bahagian Pertanian Bandar yang banyak membantu penduduk bandar bertani dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang banyak menghasilkan pelbagai inovasi teknologi pertanian bandar.

“Alasan tinggal di rumah pangsapuri atau ruang yang kecil bukan menjadi kekangan untuk bertani kerana pelbagai inovasi dicipta untuk memudahkan mereka bercucuk tanam,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menyarankan agar semua pihak khususnya warga pendidik dan penyelidik agar terus menyumbang kepada pengetahuan dan pemahaman mengenai kepentingan pertanian bandar di sesebuah negara, di samping memperluas lagi kajian dalam aspek pertanian bandar di Malaysia.

Membudayakan pertanian bandar

Pertanian bandar bukanlah perkara baharu, malah amat popular di luar negara.

Di Malaysia, program membudayakan pertanian bandar bermula sejak 2006 yang pada ketika itu dikenali sebagai Program Bumi Hijau, Namun pada 2014, Jabatan Pertanian memperkenalkan Program Pertanian Bandar yang dilihat berjaya menarik minat penduduk di bandar untuk mula bercucuk tanam.

Sebagai sebuah universiti penyelidikan yang terunggul di negara dalam bidang pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) komited merealisasikan usaha kerajaan dalam membudayakan Program Pertanian Bandar menerusi pelbagai program pada peringkat universiti bagi memberi pendedahan mengenai kebaikan bercucuk tanam.

Dekan Fakulti Pertaniannya, Prof. Dr. Abdul Shukor Juraimi berkata, terdapat sekitar 38 projek pertanian bandar di sekitar Lembah Klang yang dilaksanakan oleh UPM melibatkan 200 hingga 250 peserta.

Program tersebut bawah inisiatif Projek Local Agenda 21 (LA21) yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menunjukkan prestasi dan perkembangan positif.

“Program LA21 dilihat mampu menarik minat penduduk untuk menjalankan pertanian bandar sama ada secara sendirian atau secara berkumpulan menggunakan ruang tanah yang kecil dan terhad,” katanya.

UPM yang dikenali sebagai sebuah universiti yang banyak melahirkan pakar dalam bidang pertanian menerima lebih 3,000 pelajar yang mengambil program berkaitan pertanian.

“Pelajar dalam program pertanian diterapkan pengetahuan pertanian bandaran iaitu topik pertanian diterapkan dalam kursus.

“Selain itu, pelajar juga terlibat dengan program khidmat masyarakat yang memberi tunjuk ajar kepada penduduk bandar di kawasan perumahan.

“Maklum balas daripada pelajar menunjukkan mereka mendapat kepuasan pembelajaran di bilik kuliah dan dapat disampaikan kepada masyarakat,” ujarnya.

Bagi menggalakkan orang ramai terutama anak muda untuk meminati bidang pertanian, Abdul Shukor menyarankan agar mereka diberi pendedahan kepada model. Contoh pertanian bandar yang berjaya serta mendapat pengiktirafan seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Muhibbah, Kuala Lumpur.

Tambah beliau, melalui pelaksanaan pertanian bandar, ia dapat menjamin kebersihan dan tahap keselamatan terhadap bahan makanan menerusi kawalan penggunaan baja atau boleh dilakukan secara organik.

Katanya lagi, kerajaan menyediakan pelbagai insentif kepada komuniti yang menjalankan pertanian bandar secara berkumpulan seperti bantuan khidmat nasihat dan kepakaran dari agensi-agensi dan universiti yang terlibat secara langsung dengan bidang pertanian.

“Melalui penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) seperti teknologi sensor (penderia), ia mampu menarik minat golongan belia di kawasan bandar dalam aktiviti ini,” jelasnya.