Dengan bimbingan syarikat Padiberas Nasional Berhad, bekas Ketua Unit Tanah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) ini mula mengusakaan tanah sejak 1980-an. Ketika itu kerajaan amat mengalu-alukan penyertaan bumiputera dalam indusri makanan ruji tersebut dengan menawarkan bantuan sebagai inisiatif atau galakan.

PULAU PINANG, 26 Februari 2019--Petani, Wan Chik Ali, 72, merupakan
 Wan Chik Ali, 72, merupakan penerima Anugerah Tani BERNAS 2018 ketika ditemui di Seberang Prai.- UTUSAN ONLINE/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN

Pada ketika itu sebagai galakan mereka yang berminat ditawarkan bantuan sehingga RM40,000 untuk mengusahakan tanah terbiar dan ketika itu Pak Wan mengusahakan kawasan seluas enam ekar (2.4 hektar).

PULAU PINANG, 26 Februari 2019--GAMBAR/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN/WARTAWAN/LAUPA
 

“Saya mengusahakan tanah sepenuh masa selepas bersara pada 1997 dan mula meningkatkan kawasan penanaman selain menyerahkan sebahagian kawasan itu kepada anak lelaki,’’ ujarnya yang juga pemegang Diploma Pengajian Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 1966. Ketika itu UiTM masih dinamakan Maktab Mara di Jalan Osman, Petaling Jaya.

Apabila mula mengusahakan sawah secara serius, rutin Pak Wan berubah iaitu akan ke bendang selepas subuh dan pulang ke rumah sejurus sebelum matahari mula naik.

PULAU PINANG, 26 Februari 2019--Eksekutif Bekalan Kilang BERNAS
Eksekutif Bekalan Kilang BERNAS Paya Keladi, Zainuddin Harun (kiri) berbincang bersama Petani, Wan Chik Ali ,72, meninjau padi yang dijemur ketika ditemui di Seberang Prai. - UTUSAN OBLINE/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN 

Dia akan ke bendang semula pada waktu petang dan balik ke rumah sebelum waktu maghrib.

Dengan menggunakan jentera dan dibantu dua pekerja tetap, Pak Wan mampu mengusahakan dua kali penanaman semusim dengan kadar pengeluaran kira-kira 200 tan metrik.

Berkongsi lebih lanjut Pak Wan berkata, cabaran utama mengusahakan sawah adalah pengairan kerana tanpa kemudahan tersebut tidak ada mana-mana petani yang berkemampuan meneruskan usaha tersebut.

PULAU PINANG, 26 Februari 2019--Petani, Wan Chik Ali, 72, di
 Wan Chik Ali di hadapan rumahnya ketika ditemui di Seberang Prai. - UTUSAN ONLINE/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN

Malah, dia belajar daripada pengalaman pada musim lalu apabila hasil padi merosot kerana masalah pengairan berikutan tidak dapat mengikut giliran dan tidak mendapat bekalan air

“Cara mengatasinya pada musim ini saya akan cuba percepatkan sedikit menanam kerana sekiranya lewat bimbang musim kemarau melanda,” katanya.

Cabaran tersebut bagaimanapun tidak merencatkan hasratnya untuk menambah keluasan penanaman, tetapi buat masa ini perkara itu agak sukar kerana tidak bertemu lagi kawasan yang sesuai.

“Kalau boleh biarlah kawasan yang bersempadan dengan bendang yang sedang diusahakan. Ini kerana kemudahan pengairan sudah ada dan hanya perlu menyambung masuk ke kawasan baharu,’’ ujarnya.

TRAKTOR
 

Penambahan keluasan penanaman akan membolehkannya mengusahakan lima musim penanaman selama dua tahun.

Dia juga enggan mengambil risiko mengusahakan tanah sewa kerana kadang-kala tuan tanah akan mengambil semula kawasan tersebut secara tiba-tiba memandangkan tidak ada undang-undang di Pulau Pinang yang menghalang perbuatan tersebut.

Mengenai harapannya Pak Wan tetap mahu membuka kawasan penanaman baru yang mempunyai kemudahan pengairan yang disediakan Jabatan Pengairan dan saliran (JPS) apatah lagi kerajaan memberi pelbagai lagi bantuan.

KAWASAN penanaman padi milik Wan Chik Ali di Sungai Dua, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.
KAWASAN penanaman padi milik Wan Chik Ali di Sungai Dua, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. 

Justeru, dia berharap sesuatu perlu dilakukan bagi menggalakkan orang muda menceburi bidang tersebut kerana meskipun ramai yang berminat, tetapi mereka berhadapan dengan masalah tiada kawasan baharu.

Dia juga berharap supaya penggunaan benih berkualiti diberi penekanan antaranya dengan cara menggunakannya secepat mungkin.

Kebanyakan penanam di kawasan tersebut menggunakan benih MR219 dan UKMRC-8 . Dia turut berkongsi isu pemilihan benih kerana tidak ada benih yang sempurna. Ini kerana benih yang lebat mungkin mudah tumbang ditiup angin dan begitu juga sebaliknya pokok yang teguh mungkin menghasilkan padi yang sedikit. Katanya lagi, benih varieti Mr269 antara yang terbaik kerana buahnya cantik.

Mengulas mengenai peranan Bernas, Pak Wan berkata, dia akan terus menyokong agensi berkenaan selagi mampu dan tidak ada cadangan beralih kepada pengilang lain

“Saya ucapkan tahniah kepada Bernas kerana menyambut ulang tahun ke-25 penubuhannya pada tahun ini dan berharap ia akan terus memberi sumbangan kepada pesawah,” ujarnya.

Bantuan khas kepada pesawah

Kerajaan sebelum ini memperkenalkan Program Rakan Ladang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang bertujuan meningkatkan hasil pengeluaran padi negara. Progam tersebut membolehkan pesawah menikmati pinjaman tanpa faedah mengikut keluasan tanah yang diusahakan selain bantuan benih dan khidmat nasihat dengan syarat semua hasil padi dijual kepada Bernas. Program yang membabitkan 70,000 hektar sawah itu membolehkan setiap petani menerima pinjaman tanpa faedah sebanyak RM2,000 untuk membeli input pertanian tambahan. Menerusi program tersebut Bernas membelanjakan kira-kira RM200 juta dengan sasaran peningkatan pengeluaran padi kepada enam tan sehektar.

Program yang diperkenalkan pada 2008 itu bagaimanapun ditamatkan pada 2013.

Dalam pada itu, Anugerah Tani Bernas (ATB) diberikan kepada pesawah, pengilang dan pemborong yang setia kepada agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu.

Mengambil contoh kejayaan Wan Chik Ali, selepas beberapa dekad menjual hasil beras kepada Bernas, dia menerima ATB 2018 yang mengiktirafnya sebagai Anugerah Pesawah Cemerlang tahun lalu dan menerima RM10,000, trofi serta imbuhan tambahan.

PULAU PINANG, 26 Februari 2019--Petani, Zaleha Abdul Rahman merupakan
Zaleha Abdul Rahman 

Sementara itu, penerima Anugerah Srikandi, Zaliha Abdul Rahman,67, berkata, dia terlibat dalam penanaman padi sejak berusia 17 tahun sebelum berhenti buat seketika.

Dia kemudian menyambung semula usaha pada 2002 sehingga sekarang bersama suaminya dan meneruskan usaha tersebut selepas hidup bersendirian lima tahun lepas.

Pemergian arwah suaminya tidak menghalang wanita itu untuk terus berusaha dengan dibantu anak saudara dan seorang pembantu.

“Kita kena disiplin dalam mengurus sawah terutama isu air. Saya tidak pernah menyertai mana-mana kursus,” ujarnya yang mengusahakan bendang dengan bantuan dan nasihat daripada ibu bapanya,

Dia yang mengeluarkan hasil antara 40 hingga 50 hektar semusim menghantar hasil keluarannya kepada Bernas sejak dahulu lagi. Dia mengaku terkejut menerima Anugerah Srikandi ATB dan berharap agensi tersebut terus membantu pesawah sepertinya untuk terus maju.