Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata, pesta jualan buah-buahan itu diadakan di 60 lokasi termasuk pekarangan pejabat FAMA, masjid dan pasar raya sejak awal Julai lalu.

Beliau berkata, tujuan program diadakan adalah sebagai usaha memasarkan buah-buahan bermusim seperti durian, manggis, rambutan, duku, langsat dan cempedak sekali gus mengelakkan lambakan.

“Tahun ini buah-buahan begitu menjadi berbanding tahun lalu dan dapat dijual dengan murah.

“Contohnya pengeluaran durian tahun lalu hanya mencatat 60,000 tan tetapi pada tahun ini meningkat kepada 180,000 tan di seluruh negara.

“Ini peluang untuk rakyat menikmati buah-buahan bermusim dan kita dapat lihat sambutan hebat diberikan sama ada dalam program anjuran FAMA mahupun pihak lain,” katanya selepas melakukan lawatan di program Pesta Buoh Kayu di pekarangan Pusat Beli Belah KB Mall di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah FAMA negeri (Operasi), Fadlee Hasan; Timbalan Pengarah Fama negeri (Pembangunan), Mohd Hafiz Nurulhuda dan Penolong Pengurus Kanan Pasar Raya Besar Pacific, Chew Chin Kheong.

Program Pesta Buoh Kayu anjuran FAMA negeri dengan kerjasama Pasar Raya Besar Pacific itu telah bermula sejak 4 Ogos lalu sehingga hari ini dan menawarkan 20 varieti buah-buahan bermusim. - UTUSAN ONLINE