Golongan tersebut yang bakal menjadi pelapis sepatutnya menjadi contoh ikutan kepada mereka yang berminat menceburi bidang pertanian.

Muhammad Fadhlan Suhaimi, 29, dari Peringat, Kelantan telah dinobatkan sebagai Anugerah Pesawah Belia yang diperkenalkan pada tahun ini. Satu-satunya pesawah wanita yang menerima anugerah pada tahun ini iaitu Noorshamsina Shamsul, 34, dari Sungai Manik, Perak pula menerima Anugerah Srikandi.

Masing-masing menerima wang tunai RM5,000, motosikal Kris MR2, trofi dan sijil.

Menurut Muhammad Fadhlan, bidang pertanian juga menjanjikan pendapatan lumayan dan tidak ada sebab untuk golongan belia tidak menceburinya.

Dia berharap golongan belia menceburi bidang pertanian khususnya tanaman padi yang boleh menjana pendapatan lumayan.

“Mereka sebenarnya bekerja sendiri tanpa arahan sesiapa dan sentiasa dekat dengan keluarga serta waktu bekerja yang fleksibel.

“Apa yang penting ialah mereka boleh menjadi jutawan jika mempunyai tekad dan usaha yang berterusan,” ujarnya.

Bagi Noorshamsina pula, dia sangat bersyukur dan menghargai pengiktirafan yang diberikan oleh Bernas menerusi ATB.

“Walaupun menjadi seorang ibu kepada dua orang anak, saya dapat membahagikan masa untuk hal rumah tangga dan bidang pertanian terutama sebagai seorang pesawah.

“(Justeru) tidak semestinya bidang ini diceburi oleh golongan lelaki sahaja, sebaliknya golongan wanita juga boleh mengusahakan bendang dan jangan mengaku kalah,’’ ujarnya.

Pada majlis tersebut, sebanyak 11 anugerah disampaikan kepada rakan tani iaitu tujuh anugerah bagi pesawah, dua anugerah pengilang bumiputera manakala dua lagi untuk pemborong bumiputera yang cemerlang.

Penganugerahan adalah berdasarkan sumbangan serta pencapaian mereka yang konsisten dalam pengeluaran hasil padi yang baik serta bermutu tinggi sepanjang tahun lepas.

Penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan turut dihadiri

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) kementerian, Datuk Salim Parlan; Pengerusi Bernas Megat Joha Megat Abdul Rahman; Pengarah Urusan Bernas, Ismail Mohamed Yusoff serta pegawai-pegawai kanan kementerian.

Sejajar dengan slogan Teguh Bersama, ATB 2019 menonjolkan keupayaan rakan tani khususnya pesawah muda meneroka peluang dalam bidang yang mampu menjana sumber kekayaan kepada semua.

Sementara itu menurut Megat Joha, prestasi pengeluaran padi oleh para pesawah sepanjang tahun lepas agak baik berbanding tahun sebelumnya.

Berdasarkan rekod pembelian padi pada tahun lalu, pasaran padi tempatan dilihat lebih kompetitif. Bernas dan kilang-kilang bumiputera di bawah Skim Pusat Belian Bernas mencatatkan rekod belian padi sebanyak 500,000 tan metrik.

“Jika dilihat kepada trend belian padi oleh Bernas, ada tahun-tahun yang jumlah beliannya tinggi sehingga hampir satu juta tan metrik dan adakalanya rendah dengan jumlah sekitar 500,000 tan metrik sahaja.

“Tahun ini merupakan tahun ketiga ATB dianjurkan.

“Matlamat kami tetap satu iaitu usaha dan pengorbanan setiap pesawah yang menyumbang kepada jaminan dan kestabilan makanan asasi negara terus diiktiraf dan dihargai,” ujarnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pihaknya tetap akan membeli walau sebanyak mana pun padi yang dibawa ke kilang-kilang beras Bernas.