Hal yang menimpa seorang bekas eksekutif sebuah syarikat swasta Junaidi Abdul Rahman, 56, mungkin boleh dijadikan contoh bagaimana kekecewaan dijadikan batu loncatan untuk mencipta masa depan yang lebih baik.

Anak jati Pasir Putih Kelantan ini berasakan masa depannya sebagai pekerja makan gaji tidak begitu mendatangkan kepuasan.

Sebagai seorang yang berasal dari kampung, Junaidi berasakan perlu melakukan sesuatu sekurang-kurangnya memberi justifikasi kepadanya sebagai penduduk luar bandar.

Justeru dia mengambil pendekatan mudah dengan berbudi kepada tanah di kampungnya untuk mengusahakan tanaman buah buahan.

Malah dia telah memulakan projek tanaman buah –buahan sejak 10 tahun lalu meskpun pada ketika itu hanya secara kecil kecilan dan tidak sepenuh masa.

Usahanya pada peringkat awal bukan mudah kerana banyak kerja asas perlu dilakukan dan ketika itu dia sudah menyediakan peruntukan sebanyak RM200,000.

Hari ini selepas sedekad Junaidi tidak menoleh kebelakang lagi dan dengan khidmat pekerja sambilan dia boleh mengusahakan kawasan penanaman buah buahan yang luas termasuklah di Sijangkang Selangor, Rompin, Pahang selain di negara jiran, Thailand.

“Pendapatan tidak menentu dan bergantung kepada musim buah buahan kadang kala RM5,000 sebulan. ’ ujarnya.

Menurutnya, nasib pekebun buah-buahan sepertinya kadangkala tidak begitiu terbela kerana tidak mendapat bantuan dalam aspek pemasaran hasil daripada ladang terutama untuk pasaran luar negara.

Antara cabaran utama sebagai penanam selain penyakit adalah masalah buah-buahan bermusim yang berdepan isu lambakan dan harga yang rendah. Masalah tersebut menurutnya menyebabkan pekebun kecewa.

Namun bagi Junaidi, mereka tidak perlu terlalu kecewa kerana sekurang-kurangnya mendapat pahala kerana haiwan liar juga mendapat nikmat memakan buah buahan tersebut.

Justeru dia mengambil pendekatan memasarkan sendiri hasil buah-buahannya supaya tidak berlaku lambakan

“Saya ingin menasihati pekebun, jangan ikut trend iaitu menanam buah buahan yang berharga mahal sahaja.

“Ini kerana akan berlaku satu-satu masa, buah yang mahal itu, menghadapi masalah kejatuhan harga jika berlaku lambakan di pasaran.

“Contoh yangg bakal merundum dalam masa lima tahun lagi adalah durian musang king,

“Saya rasa ia akan menjadi lambakan tidak lama lagi seperti yang pernah terjadi pada buah dokong sebelum ini, ujarnya lagi.

Justeru katanya agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) perlu membantu memasarkan hasil pertanian tersebut, bagi mengurangkan beban penanam.

Dia yang ditemui pada program Petik Sendiri dan Beli anrjuan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Serang baru-baru ini percaya usaha pemasaran perlu dilakukan bersungguh-sungguh supaya hasil pertanan dapat sampai ke tangan pengguna untuk dinikmati.

Junaidi memberi contoh program anjuran MARDI itu wajar diadakan secara berterusan setiap tahun kerana ia merupakan satu pendekatan yang mudah untuk menjual hasil pertanian.