Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Jamal Harizan Yang Razali berkata, transformasi hasil-hasil premium seperti durian dan harumanis dilakukan ada bertujuan supaya pembangunan pertanian akan terus mampan dalam jangka masa panjang dan mampu dinikmati oleh setiap rakyat serta membolehkan Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi.

“Selepas tujuh hari memegang jawatan ini (ketua pengarah), saya telah menyampaikan Amanat Tahun 2018 kepada semua kakitangan untuk menjadikan tahun 2018 sebagai tahun kejayaan dan keberhasilan yang mengagumkan dengan tagline “Pertanian Hebat”.

“Ia selaras dengan hala tuju dan agenda nasional iaitu Transformasi Nasional (TN50) Makanan Kita Masa Depan Kita dan Transformasi Landskap Industri Agromakanan Negara,” ujarnya.

Menurutnya, transformasi bagi tanaman harumanis dimulakan dengan memperkenal kod maklum balas pantas (QRCode) pada buah mangga harumanis bagi mengelakkan pengguna ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pada peringkat permulaan, kira-kira 30 daripada 90 orang peladang akan menerima QRCode berkenaan pada tahun ini untuk ditampal pada setiap biji buah mangga harumanis.

Jabatan berkenaan juga telah menguar-uarkan ciri dan kaedah mengenali mangga harumanis untuk pengetahuan umum.

Selain itu, pada tahun ini jangkaan musim puncak pengeluaran mangga harumanis adalah pada pertengahan Mei iaitu pada awal bulan Ramadan hingga pertengahan musim perayaan iaitu Jun.

Oleh itu katanya, sempena Ramadan, Jabatan Pertanian menggalakkan rakyat untuk makan mangga harumanis kerana ia boleh memberi kekenyangan yang lebih lama dan dapat memberi tenaga serta menambat rasa pada buah berkenaan.

Menurutnya, mangga harumanis mempunyai kualiti premium disebabkan rasanya yang manis dan mempunyai kadar glukosa yang tinggi selain beraroma serta warna isi yang menarik dan tebal.

Selain harumanis, transformasi turut dilakukan terhadap durian yang telah menjadi kegilaan ramai dan tarikan yang lumayan pada masa kini selepas Jabatan Pertanian melaksanakan peningkatan daya saing terhadap durian kampung dan durian bervarieti premium serta produk berasaskan buah berkenaan.

“Kejayaan ini tidak berlaku dengan sendiri tetapi menerusi perancangan oleh Jabatan Pertanian di sepanjang rantaian nilai bermula dengan pelaksanaan Projek Kelompok, Pembangunan Kluster Durian sehinggalah ia diumumkan sebagai sumber kekayaan baharu sebelum ini dalam Bajet 2018.

“Selepas dua hari pengumuman tersebut, jabatan telah membuat Program Penanaman Durian Musang King ke 500,000 di Ulu Dong, Raub, Pahang dan diikuti program promosi durian dan hasilannya semasa Festival Durian di Naning, China pada November tahun lepas,” jelasnya.

Terbaharu menurutnya, pada tahun ini pihaknya menjalankan program pengeluaran benih durian premium, transformasi ladang melalui kaedah cantuman dewasa dan kaedah cantuman yang lain serta pemerkasaan teknologi dan pembangunan piawaian durian.

Program ini juga dihebahkan kepada umum melalui pelan komunikasi serta infografik mengenai pelaksanaan setiap program durian dan ditularkan di media sosial semasa program berlangsung.

Bagi tembikai wangi pula, kerajaan telah menghentikan serta merta pengimportan buah berkenaan dari Australia selepas empat orang maut akibat dijangkiti wabak Listeria yang melanda di negara berkenaan.

Jabatan Pertanian telah mengambil tindakan segera untuk mempromosikan Rakyat Makan Melon Malaysia yang mempunyai pelbagai varieti seperti rock melon dan melon manis Terengganu.

Harumanis tembusi pasaran China

KEENAKAN mangga harumanis sememangnya tidak dapat disangkal lagi dan menjadi kegemaran orang ramai dek baunya yang harum dan rasanya yang manis.

Selepas menjadi ikon negeri Perlis, kini mangga popular itu sekali lagi mengharumkan nama negeri Indera Kayangan apabila ia bakal menembusi pasaran China tidak lama lagi.

Usaha tersebut merupakan hasil usaha sama antara Koperasi Kakitangan Jabatan Pertanian Perlis bersama Syarikat Kayazon Berhad yang telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) pada 22 April lalu.

Menurut Datuk Jamal Harizan Yang Razali, ia merupakan langkah permulaan Jabatan Pertanian memperkenal produk segar tempatan tersebut ke pasaran eksport.

“Ini percubaan kita untuk memperkenal satu lagi produk premium tempatan ke pasaran luar.

“Pengeksportan mangga harumanis ke China dan Hong Kong akan dijalankan secara berperingkat-peringkat bermula 300 kg sehingga 300 tan selama lima tahun,” ujarnya.

Cabaran pertanian hebat

PETANI memainkan peranan yang penting dalam mengeluarkan tanaman makanan dan membekalkan sumber makanan kepada seluruh rakyat di negara ini.

Bermula dengan titik peluh petani daripada penyediaan kawasan, menanam benih, percambahan benih sehingga berbunga dan seterusnya menjadi buah-buahan atau sayuran-sayuran, ia sesuatu yang harus dihargai dan dijaga.

Oleh itu, Jabatan Pertanian memainkan peranan penting membantu petani dengan kepakaran teknikal bagi memastikan produk yang dihasilkan berkualiti dan selamat untuk dimakan untuk menuju transformasi pertanian hebat.

Namun, menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Jamal Harizan Yang Razali, terdapat bebarapa cabaran yang perlu ditempuhi dalam melaksanakan transformasi bagi tiga-tiga jenis buah-buahan yang diberi fokus iaitu durian, harumanis dan tembikai.

Katanya, dalam pelaksanaan projek pertanian, cabaran dalaman yang biasa dihadapi ialah persaingan kawasan atau guna tanah, produktiviti yang masih rendah, perubahan cuaca, peningkatan kos pengeluaran, teknologi dan penyelidikan, daya saing keusahawanan, sikap, tenaga kerja, pemasaran, ancaman perosak, penyakit serta pengurusan air dan saliran.

“Selain itu, perlu juga mendepani cabaran persekitaran seperti pertambahan penduduk, memenuhi piawaian antarabangsa, perubahan pembangunan negara dan perubahan diet.

“Jadi, warga Jabatan Pertanian perlu sentiasa bijak menangani cabaran dalaman atau cabaran persekitaran untuk memastikan penyampaian perkhidmatan terus ditingkatkan khususnya dalam khidmat pengembangan dan perkhidmatan regulatori,” jelasnya.

Tambahnya, terdapat peningkatan sebanyak 131 peratus peruntukan pembangunan yang perlu dibelanjakan oleh Jabatan Pertanian untuk memastikan petani mendapat manfaat terutama peningkatan pendapatan serta memberi pulangan balik kepada kerajaan.

Selain itu, pihaknya juga harus memberi perhatian terhadap pengeluaran makanan ternakan seperti jagung bijian dan rumput Napier.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, transformasi tersebut dapat menyokong dasar negara iaitu selaras dengan objektif Dasar Agromakanan Negara, Jabatan Pertanian perlu memastikan jaminan bekalan makanan sentiasa mencukupi dan harga makanan yang berpatutan serta mampu dibeli oleh pengguna.

Di samping itu, Jabatan Pertanian bertanggungjawab untuk memastikan pengeluaran tanaman makanan yang dihasilkan adalah berkualiti dan selamat dimakan menerusi pensijilan myGAP dan myOrganic di ladang.