Mahu tidak mahu, kita kena mengakui golongan petani, peladang, nelayan dan penternak yang berada di luar bandar inilah sebenarnya wira yang selama ini ‘menyuap’ makanan ke mulut kita kerana merekalah yang menanam padi, menanam sayur-sayuran, memelihara ikan dan menangkap ikan di laut serta pelbagai sumbangan lain.

Menyedari betapa besarnya sumbangan mereka itu, maka kerajaan melihat perlunya menghargai golongan tersebut.

Justeru itu, sejak 42 tahun lalu, kerajaan menganjurkan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) dengan tujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan dan menganggap inilah cara kita berterima kasih kepada mereka.

Apatah lagi, sebahagian besar golongan tersebut sehingga kini masih dikategorikan sebagai miskin dan ketinggalan, sedangkan sumbang mereka tidak ternilai.

Penganjurannya sudah bermula sejak zaman Perdana Menteri Kedua, Tun Razak Hussein bagi menghargai golongan tersebut.

Berdasarkan sejarah, HPPNK disambut pada 6 Ogos setiap tahun, sejak ia diumumkan oleh Tun Abdul Razak pada 1975.

Pada mulanya, ia hanya bersifat seperti sebuah pesta membabitkan penjualan hasil tanaman dan ternakan, serta ada pertandingan dan sebagainya.

Kini, selepas lebih empat dekad, pengisiannya semakin diperhebat dengan penuh warna-warni tetapi matlamatnya kekal sama untuk menghargai tiga golongan berkenaan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pada perganjuran kali ini, dua kelainannya adalah penganjurannya di ubah ke ibu kota dan tidak lagi di negeri negeri seperti sebelum ini.

“Ini bertujuan supaya semua dapat datang menikmati apa juga program yang dianjurkan dan diadakan termasuklah pameran, festival makanan, pameran ternakan, pelancongan pertanian dan kem belia pertanian,” ujarnya.

Penganjurannya kata Ahmad Shabery, dibawa ke ibu negara dengan matlamat mengangkat profesion pertanian ke peringkat tinggi supaya golongan tersebut tidak terus diberi gambaran sebagai petani miskin.

Pada hari ini katanya, ekoran usaha kerajaan mentransformasikan pertanian, banyak kemajuan telah dicapai dari segi penggunaan teknologi baharu, benih berkualiti , penggunaan jentera berteknologi tinggi dan pengeluaran hasil yang tinggi.

Ramai petani kini bertaraf usahawan yang mengusahakan pertanian berskala besar dan komersial menggunakan baka tahan penyakit dan cuaca serta penghasilan yang tinggi.

Ini bermakna, golongan tersebut semakin keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Dahulu kita mendengar nelayan terpaksa meminjam beras daripada jiran pada musim tengkujuh, tapi sekarang tak ada (berlaku) lagi,’’ ujarnya.

Menurut beliau lagi, dengan harga hasil pertanian yang semakin meningkat, segelintir petani kini sudah bergelar usahawan termasuklah antaranya penanam durian kerana harganya sudah bernilai premium.

Sebahagian besar golongan tersebut kini boleh menarik nafas lega kerana kejayaan mereka menghasilkan benih yang bernilai tinggi dan mengeluarkannya pada skala komersial selain pasarannya yang mendapat permintaan tinggi

“Kita lihat sudah ada kekayaan baharu bagi penanam durian baka Musang King ekoran permintaan tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Makanan berasaskan durian semua orang cari. Durian bukan sekadar makanan tetapi menghasilkan industri hiliran yang boleh memberi kekayaan baharu,’’ ujar beliau lagi.

Begitu juga indusri ternakan ayam yang kini mencetuskan industri hiliran dan menghasilkan ayam premium.

Justeru beliau optimis kehadiran lebih ramai pengunjung ke HPPNK di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) tahun ini kerana ia kembali diadakan di Lembah Klang berbanding sebelumnya HPPNK disambut di negeri-negeri secara giliran.

Katanya, semua pihak memberi kerjasama kepada kementeriannya bagi menjayakan HPPNK dan Festival Makanan Malaysia (MFF) 2017 dengan hadir beramai-ramai ke MAEPS.

“Semoga HPPNK menjadi salah satu titik tolak kepada pembangunan sektor pertanian di negara ini dan seterusnya mampu bersaing di peringkat antarabangsa atau bertaraf global. Saya juga berharap agar pameran pada kali ini dimanfaatkan oleh usahawan, pemain industri dan juga pengunjung dalam mewujudkan jaringan perniagaan dengan pelbagai pihak,” ujarnya. - Gambar MOHD. NAJIB MOHD. NOR

Tarikan utama HPPNK 2017

Penganjuran HPPNK 2017 adalah satu platform untuk menghargai dan meraikan mereka yang terlibat dalam penyediaan makanan kita pada semua peringkat, dari pengeluaran iaitu petani, penternak dan nelayan, kepada mereka yang memproses, memasak dan menghidangkan makanan.

Ia juga menonjolkan segala teknologi dan inovasi yang digunakan dalam industri makanan.

Pada HPPNK 2017, pengunjung boleh Menerokai Dunia Makanan, dari ladang dan lautan ke meja hidangan.

Sektor swasta dan industri turut tidak mahu melepaskan peluang untuk terlibat dalam program kali ini.

Dalam pada itu golongan peladang, penternak dan nelayan adalah golongan yang diraikan, dihargai dan diberi pengiktirafan dalam HPPNK 2017 menerusi pertandingan hari peladang dan pameran hasil pertanian.

Sebanyak 14 anugerah bakal diberikan bagi mengiktiraf pencapaian dan kejayaan tokoh-tokoh pertanian yang diharapkan mencetus inspirasi.

Festival Makanan Malaysia 2017 (MFF2017), iaitu satu ekspo yang menawarkan pengalaman mengenai makanan, masakan, teknologi makanan dan seni hidangan.

Pengunjung dapat mendalami aspek pengeluaran, penghasilan dan persembahan makanan di negara ini.

Antara yang menarik dan ditampilkan dalam HPPNK 2017 ini adalah komponen empayar makanan akan membawakan gerai dan trak makanan yang menjual 400 menu juadah dari seluruh negara, sama ada yang biasa, yang popular mahu pun yang eksotik.

Dalam masa yang sama, jualan hasil pertanian segar dari ladang pada harga berpatutan, termasuk sayuran, buah-buahan, dan bunga-bungaan, manakala komponen Malaysia Seafood & Fishery Product bakal menampilkan pameran dan jualan hasil laut dan akuakultur, teknologi serta inovasi perikanan.

Antara produk premium bernilai tinggi adalah ikan tuna, udang dan rumpai laut serta inovasi produk terkini seperti lemang sushi, kuro prawn, churros lekor, sate tuna dan snow fish. Jangan lepaskan peluang untuk juga melihat demonstrasi masakan tradisi negeri berasaskan perikanan.

Satu lagi yang dijangka menarik adalah komponen Livestock Malaysia, yang bakal menampilkan pameran haiwan hidup pelbagai baka serta petting zoo.

Bagi yang terlibat dalam bidang ternakan pula boleh dapatkan maklumat mengenai teknologi, genetik, kesihatan haiwan, makanan haiwan, kawalan penyakit, MyGap dan sebagainya.

Produk hiliran seperti makanan untuk kesihatan dan wellness seperti madu kelulut, rumpai laut, sarang burung walet, minyak kelapa dara, durian belanda dan fruit powder ke arah gaya hidup yang sihat boleh didapati di ruang pameran sekitar MAEPS.

Dalam masa sama, HPPNK 2017 turut menampilkan teknologi dan inovasi terbaharu dalam bidang pertanian ditonjolkan dalam komponen mekanisasi Agromakanan.

Ini termasuklah antaranya pameran, jualan dan demonstrasi jentera, perkakasan, dron dan sebagainya.

Pameran lain antaranya ruang Agrobazaar akan mempromosikan portal online shopping menerusi Agrobazaar.com serta menghimpunkan usahawan industri asas tani yang mempromosi dan menjual produk sedia untuk dieksport keluaran mereka selain memaparkan maklumat mengenai MyGap, MyOrganic dan MyAgrosis serta produk keluaran mereka.

Turut ditampilkan adalah Komponen AgroTrip yang mempromosi dan mengetengahkan pusat agropelancongan dalam negara, serta memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman terlibat dalam aktiviti pertanian.

Bagi golongan muda, mereka boleh menyertai Agro Job Fair yang menawarkan 3,000 peluang pekerjaan di 40 syarikat dalam industri pertanian manakala Agroyouth Camp, melibatkan 1,000 anak muda berkhemah di MAEPS dan menjalankan pelbagai aktiviti sepanjang HPPNK 2017 dengan tujuan memupuk semangat dan cinta mereka terhadap bidang pertanian, serta memberi pendedahan bahawa industri pertanian juga mampu menjana pendapatan yang tinggi.

Komponen seterusnya adalah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan Mobile CTC memaparkan pelbagai manfaat yang dapat disampaikan kepada rakyat menerusi projek NBOS, yang melibatkan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dengan kementerian-kementerian lain.

Temui selebriti HPPNK 2017

Penganjuran HPPNK kali ini juga menampilkan selebriti seperti Fara Fauzana, Aiman Tino, Mat Dan, Yabang dari Kumpulan Khalifah, Elizabeth Tan dan Eka Sharif, yang akan berada di MAEPS selama empat hari.

Pengunjung boleh mengambil kesempatan untuk hadir pada sesi Meet & Greet bagi bertemu selebriti kesukaan mereka.

Satu lagi pengisiannya adalah Forum Perdana Ehwal Islam dengan tajuk “Rezeki Sembilan Persepuluh”, yang dihoskan oleh Mohd. Hariri Mohd. Daud bersama tetamu jemputan Haslin Baharin (Ustaz Haslin Bollywood) dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Md. Alwi Che Ahmad,

Dalam pada itu, Majlis Konvokesyen Pertanian Ke-7 Tahun 2017 akan diadakan untuk graduan yang berjaya menamatkan pengajian sesi 2016 di Kolej Pertanian Malaysia.