Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa bulan musim kering yang memberi kesan signifikan kepada tanaman tersebut.

Oleh demikian, adalah penting untuk menggunakan satu sistem pengairan yang dapat membantu mengawal dan mengekalkan kelembapan tanah pada tahap yang optimum sepanjang tempoh tanaman tersebut.

Terdapat berbagai-bagai jenis sistem pengairan tanaman di negara ini. Salah satu kaedah pengairan tanaman yang sangat popular sekarang ini adalah teknologi atau sistem fertigasi. Sistem ini menggunakan pam untuk menyalurkan air baja terus ke tanaman daripada tangki simpanan menggunakan tiub mikro dan penitis.

Kebiasaannya kadar siraman air baja ini dikawal menggunakan alat mengukur masa yang telah ditetapkan. Kaedah konvensional ini sebenarnya tidak optimum.

Hakikatnya proses transpirasi pada tanaman dan keperluannya kepada air bergantung kepada keadaan cuaca. Faktor ini adalah yang paling utama diikuti oleh faktor saiz, umur dan fisiologi tanaman tersebut. Oleh demikian, satu sistem kawalan untuk menggantikan pemasa ini telah dibangunkan.

Sistem ini menggunakan maklumat dari stesen cuaca dan penderia kelembapan tanah untuk menentukan kadar siraman yang optimum bagi sistem fertigasi sedia ada. Maklumat berkaitan jenis dan umur tanaman juga boleh digunakan untuk menjadikan sistem kawalan ini lebih efisyen.

Dengan ini kadar siraman air baja akan menjadi lebih tepat dan dapat mengurangkan pembaziran akibat fenomena pemeluapan dan larut resap. Ini juga dapat mengurangkan kesan pencemaran baja ke dalam air bawah tanah.

Penggunaan air baja yang optimum ini juga boleh mengurangkan jangkitan penyakit bawaan kulat dan yang lebih penting dapat meningkatkan kualiti hasil tuaian.

Di samping sistem kawalan, teknik pengairan baharu juga telah dibangunkan. Kaedah ini dipanggil sistem kapilari berserabut (Fibrous Capillary System). Sistem ini menggunakan sejenis fabrik mikro berkapilari tinggi untuk mengalirkan air baja daripada sumber terus kepada zon akar (root zone). Sistem ini menggunakan prinsip resapan dan penyusupan kapilari.

Fungsi sistem ini hampir sama dengan sumbu lampu pelita. Tetapi dengan menggunakan fabrik khas ini, jumlah luas permukaan untuk resapan dan penyusupan air baja ke dalam tanah adalah jauh lebih besar dan seragam.

Oleh demikian sistem akar akan dapat menyerap air dari tanah dengan lebih mudah. Aliran resapan dan penyusupan yang bergantung kepada perbezaan tekanan, secara alami akan mengawal kadar pengairan kepada tanaman.

Apabila cuaca panas, kadar transpirasi yang tinggi akan menyebabkan akar menyerap banyak air dan menghasilkan tekanan negatif yang lebih tinggi dalam tanah.

Perbezaan tekanan yang besar antara tanah dan sistem kapilari berserabut ini akan merangsang aliran resapan yang lebih tinggi untuk menggantikan air dalam tanah tersebut dengan lebih cepat. Kadar aliran kapilari ini juga boleh dikawal dengan melaras ketinggian fabrik mikro tersebut dengan sumber air.

Sistem ini juga boleh dikenali sebagai sistem siraman sendiri kerana akar tanaman boleh menyerap air dalam kuantiti yang secukupnya pada bila-bila masa yang diperlukan tanpa ada pembaziran secara evaporasi dan larut resap.

Sistem kawalan pengairan dan sistem kapilari berserabut ini boleh digabungkan untuk mendapatkan sistem pengairan pertanian yang optimum.

Walau bagaimanapun sistem ini masih lagi pada peringkat uji kaji lapangan dan memerlukan beberapa pengubahsuaian dan penentularasan sebelum boleh dikomersialkan. Beberapa siri uji kaji tanaman menggunakan rock melon dalam struktur pelindung hujan (RPH) telah mula menunjukkan hasil yang positif.

Sejajar dengan itu kumpulan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menghasilkan satu sistem fertigasi yang membolehkan penggunaan air secara optimum dalam sektor pertanian.

Sistem ini juga membolehkan baja disalurkan terus dalam beg tanaman secara secukupnya tanpa perlu pembaziran.

Ketua Penyelidik, Dr. Mohamad Shukri Zainal Abidin berkata, sistem yang dinamakan Pertanian Jimat Air itu mula dibangunkan pada 2016 dengan kos keseluruhan sebanyak RM8,000.

“Sistem yang dibangunkan dalam dua fasa ini dihasilkan dengan geran penyelidikan Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) dan juga Geran Universiti Penyelidikan (GUP).

“Menerusi sistem ini, bekalan air dan baja yang secukupnya akan dapat dibekalkan dengan skala yang tepat terus kepada tumbuhan. Amalan penjimatan ini akan meringankan beban petani yang mengusahakan aktiviti pertanian,” katanya.

Secara teknikalnya, keperluan penyaluran air dan baja akan ditentukan oleh data yang dikeluarkan oleh Alat Pengesan Cuaca yang diletakkan di bahagian luar Struktur Pelindung Hujan (SPH) menempatkan tanaman.

“Data yang dikeluarkan oleh Pengesan Cuaca akan dihantar pada Alat Pengesan Kelembapan yang diletakkan di dalam SPH tersebut. Pengesan kelembapan kemudiannya akan mengeluarkan arahan secara digital kepada pam di tangki air untuk menyalurkan air dan baja dengan kuantiti yang tepat.

“Selain mengelakkan pembaziran dan mengurangkan kos operasi, hasil pertanian yang dikeluarkan juga akan lebih berkualiti kerana mendapat bekalan air dalam kuantiti yang diperlukan,” katanya.

Bagi mendapatkan kesan yang maksimum, satu hos getah berserta jarum sesalur telah disambungkan secara terus dengan tempat takungan air.

Apabila menerima arahan dari Sensor Kelembapan, baja dan air akan disalurkan secara terus ke akar pokok melalui jarum sesalur yang dicucuk pada tanah tempat tanaman ditanam.

Menurut Dr. Mohamad Shukri, sistem yang dibangunkan secara bersama dengan Dr. Salinda Buyamin itu sedang menjalani pengujian di Ladang UTM sehingga bulan September ini.

“Pada masa ini, kami sedang menguji sistem ini pada pokok rock melon yang ditanam di ladang UTM.

“Kami sudahpun memasuki fasa kedua penanaman dan pada fasa pertama, hasilnya adalah amat memuaskan dan telah pun dikomersialkan,” katanya lagi.