Baru-baru ini, MARDI membangunkan klon baharu yang dikenali sebagai Bintang Mas berasaskan B17 yang sesuai untuk pasaran eksport dan klon tersebut difailkan di bawah Perlindungan Varieti Tanaman.

Menurut Pegawai Penyelidik, Pusat Penyelidikan Hortikultur (Klon Baharu Belimbing), Ahmad Hafiz Baharom, usaha untuk menghasilkan klon baharu belimbing yang lebih baik dari segi rasa, kosmetik dan saiz bermula sejak 1986 melalui koleksi janaplasma dan penilaian induk.

Pada ketika itu, MARDI mengumpulkan sumber genetik dari dalam dan luar negara untuk digunakan dalam program pembaikbakaan.

“Sebanyak 120 jenis koleksi ditemukan. Peningkatan baka memerlukan sumber genetik yang banyak supaya dapat memilih ciri-ciri terbaik yang boleh dikacuk untuk menambah baik sesuatu klon.

“Proses mengumpul genetik dilakukan sehingga 1990 sebelum memulakan program pembaikbakaan pada 1991. Pada ketika itu empat induk dikenal pasti iaitu B2, B10, B17 dan B11.

“Keempat-empat induk tersebut merupakan kacukan berdasarkan kombinasi dua jenis bunga,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis pengisytiharan klon baharu belimbing MARDI oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub di Kluang Johor baru-baru ini. Yang turut hadir Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd. Nor.

Program kacukan dan pemilihan bermula 1991 hingga 1996 dan hanya pada 1997 penilaian terhadap 6,000 titisan hibrid dihasilkan bagi menilai dari segi kekelatan, keseragaman warna, saiz buah dan hasil setanding jika pengkomersialan dilakukan.

Sebanyak 12 titisan hibrid terbaik dan berpotensi dikenal pasti pada 1998 hingga 2005 yang dikenali sebagai Hibrid F1 selepas melakukan Kajian Kestabilan Genotip X Persekitaran (G X E) di tiga kawasan agro iklim berbeza iaitu di Sintok, Kedah; Jeram Pasu, Kelantan dan Kluang di Johor.

“Hanya pada 2008 hingga 2015 semasa penilaian seterusnya berjaya mengenal pasti satu dari tiga hibrid terbaik. Adalah dianggarkan secara keseluruhan untuk mendapatkan klon terbaik mengambil masa selama 29 tahun,” ujarnya.

“Sebelum ini kita memasarkan B10 untuk pasaran eksport dalam indeks kematangan dua iaitu keseluruhan buah berwarna hijau muda. Namun, terdapat kekurangan seperti tidak cukup manis dan tidak berwarna kuning.

“B17 atau dikenali sebagai belimbing madu untuk pasaran tempatan pula semakin kurang diminati ekoran jangka masa matang yang panjang, rasa kelat dan kosmetik yang tidak cantik kerana terdapat bintik-bintik hitam.

“Kerana itu Bintang Mas ditambah baik dan sesuai untuk pasaran domestik dan eksport ekoran beberapa penambahbaikan dilakukan termasuk dari segi kosmetik, kemanisan, tiada rasa kelat dan fizikal yang lebih baik selepas pengendalian tuai,” jelasnya.

Katanya lagi, Malaysia bertuah kerana belimbing yang berasal dan berpusat di Asia Tenggara menjadi rujukan negara luar untuk mendapatkan sumber genetik yang baik.

Tambahnya, tanaman belimbing amat mudah dijaga ekoran tiada serangan yang serius kecuali lalat buah.

“Namun, perkara itu boleh dielakkan dengan membungkus buah antara 28 hingga 30 hari selepas berbunga.

“Selain itu wujudnya nilai ekonomi kerana sebatang pokok mampu bertahan sehingga 15 hingga 20 tahun bergantung kepada penjagaan, malah mengeluarkan hasil antara dua setengah tahun hingga tiga tahun,” katanya lagi.

Buah belimbing perlu dibalut selama empat minggu selepas berputik dengan kertas pembalut bersaiz 20x18 sentimeter bagi mengelak daripada serangan lalat buah, supaya berkilat dan tidak mudah cedera.

Dalam pada itu Salahuddin berkata, pengisytiharan klon baharu belimbing yang dihasilkan oleh penyelidik MARDI menjadi sesuatu yang dibanggakan kursusnya di Johor.

“Usaha ini akan menggamit perhatian anak tempatan menceburi bidang penanaman belimbing kerana berpotensi menjana pendapatan lumayan,” katanya.

Tambah Salahuddin, kementerian akan memastikan setiap hasil penyelidikan MARDI dikomersialkan.

“Saya rasa kita tidak kalah dari segi kepakaran. Ada hampir 600 saintis di MARDI, jadi, apa kurangnya kita berbanding negara Asia lain?

“Hari ini terdapat banyak lambakan buah di Thailand.

Kepakaran kita sama tinggi, bajet yang diberikan oleh kerajaan juga mencukupi dan akan cuba untuk mendapatkan lebihan bajet pada tahun hadapan bagi membolehkan MARDI membuat penyelidikan,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, oleh kerana Malaysia masih ketinggalan dari segi pengkomersialan produk, maka pihaknya akan memastikan sektor pertanian Malaysia setanding, malah lebih baik berbanding negara Asia lain dan mampu bersaing dengan negara maju.

“Saya akan pastikan tiada birokrasi dan akan melakukan perubahan paradigma untuk membuktikan Malaysia memiliki banyak kepakaran.

“Dalam masa sama kita akan pastikan negara mengamalkan pertanian moden sepenuhnya menjelang 2025,” jelasnya.

Didik pengguna, petani minat belimbing

Dek kerana mengambil masa yang agak panjang untuk matang antara 80 dan 85 hari menyebabkan tanaman buah belimbing di negara ini kurang diminati oleh golongan petani.

Rasa buah yang kelat menyebabkan pengguna kurang membeli buah belimbing di pasaran.

Petani pula jarang memilih untuk menanam buah tersebut sedangkan tanaman itu mempunyai nilai komersial yang tinggi di pasaran luar.

Walaupun beberapa negara seperti di Florida, Amerika Syarikat dan Taiwan turut menanam buah belimbing B10, namun rasanya tidak setanding yang ditanam di Malaysia yang lebih kualiti dari segi rasa dan kosmetik.

Buah berbentuk bintang yang unik itu sebenarnya mendapat permintaan yang tinggi terutama di pasaran Eropah, sekali gus membuktikan ia mempunyai nilai komersial.

Malah kandungan vitamin C yang tinggi amat diperlukan dalam tubuh seseorang mendorong permintaan terhadap buah belimbing melonjak.

Cumanya, rakyat di negara ini masih belum diuar-uarkan dengan keistimewaan tersebut sekali gus menyebabkan mereka kurang mengambil buah tersebut dalam diet harian.

Justeru Pengarah MARDI Johor, Dr. Johari Sarip menggalakkan golongan petani beralih ke tanaman belimbing yang bukan sahaja menguntungkan dari segi ekonomi, malah amat mudah dijaga.

Katanya, pokok belimbing perlu ditanam di kawasan yang terbuka agar menerima cahaya matahari yang penuh.

“Jika berselindung di bawah pokok akan mengurangkan kadar fotosintesis sekali gus membantutkan penghasilan karbohidrat yang tersimpan di dalam pokok yang secara tidak langsung mengurangkan kadar pembesaran pokok.

“Apabila terdapat cahaya yang mencukupi, pokok akan tumbuh ke arah vertikal,” katanya.

Tambah Johari, belimbing sesuai dengan negara yang beriklim tropika dan menerima taburan hujan yang sederhana sepanjang tahun seperti di Johor selain ditanam di kawasan bersaliran baik.

Pokok belimbing dibentuk dengan sistem tengah terbuka dengan memilih tiga hingga empat dahan utama untuk membentuk kanopi seimbang. Pokok harus dicantas dari semasa ke semasa untuk mempengaruhi pengeluaran bunga dan buah secara serentak. Cantasan dilakukan selepas buah dituai dengan membuang semua tunas air. Terdapat sebanyak 300 pokok belimbing Bintang Mas di kawasan 1,155 hektar di MARDI, Kluang.