Walaupun lebih popular sebagai hidangan utama bagi penganut Kristian sempena sambutan Hari Krismas, namun menu ayam belanda kini semakin digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk orang Melayu.

Sehubungan itu, semakin ramai mula menternak ayam belanda memandangkan permintaan yang tinggi terutama pada musim perayaan.

Tidak ketinggalan beberapa penduduk di Kampung Parit Haji Abdul Karim, Ayer Baloi dekat sini mula menceburi bidang ter­sebut sejak 2015.

Usaha tersebut di­pelopori dua sahabat, Mohammad Nazim Suratman, 37, lepasan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Mohd. Salleh Maksud, 39, lulusan Universiti Malaya (UM).

Kini jejak mereka di­ikuti oleh Najat Mohd. Sabari, 62, pesara Ja­batan Pengairan dan Saliran (JPS) yang tertarik dengan pujukan dua sahabat berkenaan bermula dengan 100 ekor ayam belanda.

Menurutnya, anak ayam berkenaan dibeli pada harga RM12 seekor daripada penternak lain dan memerlukan antara enam hingga tujuh bulan sebelum dapat dipasarkan kepada orang ramai.

Menyedari harga anak ayam yang mahal, dia nekad mengeluarkan duit simpanan sebanyak RM5,000 untuk membeli peralatan penetasan khas bagi mengurangkan kos.

“Setelah dua tahun terlibat dalam penternakan ayam belanda, saya dapati bidang ini berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu kepada penduduk yang berminat.

“Usaha ini juga sejajar dengan saranan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan supaya setiap kampung mempunyai satu produk sendiri sebagai bidang ekonomi baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Najat memberitahu, seekor ayam belanda hidup kini dijual pada harga RM25 sekilogram manakala yang diproses RM35 sekilogram dan siap dimasak berharga RM350 seekor seperti yang telah dipersetujui mereka.

Seorang lagi penternak, Agos Mokromin, 54, mengakui ca­baran dalam bidang itu adalah sewaktu ayam belanda masih kecil kerana memerlukan penjagaan rapi termasuk daripada pemangsa terutamanya biawak dan ular.

“Saya kini mempunyai kira-kira 300 ekor ayam belanda pelbagai peringkat umur. Ayam belanda ini diberi makan bijirin dan dedak selain rumput dan tumbuhan hijau,” katanya yang juga bekas pegawai bank.

Dari aspek pemasaran, Azizi Albian, 29, pula memberitahu, peraih akan datang ke kampung mereka untuk membeli ayam belanda berkenaan sebelum dijual di Kuala Lumpur, Nege­ri Sembilan dan Melaka selain negeri ini.

“Setakat ini bekalan ayam belanda yang dikeluarkan oleh pengusaha di Kampung Parit Haji Abdul Karim ini masih belum mencukupi untuk menampung permintaan dengan setiap peraih memerlukan 40 ekor ayam belanda setiap minggu,” katanya yang bertekad meningkatkan lagi pengeluarannya.