Tanpa menghiraukan bahang yang terkena pada kulit, lelaki berusia 35 tahun itu melayur besi tersebut selama beberapa minit untuk melembutkannya sebelum dikeluarkan semula untuk ditempa.

Kemudian, dia mengerah segala kudrat yang ada menempa besi panas tersebut ketika masih berapi beberapa kali dengan tukul, supaya besi menjadi padat, bagi mendapatkan bentuk parang yang diinginkan.

Selepas mendapat bentuk yang diinginkan, permukaan mata parang kemudian akan diratakan menggunakan mesin pencanai (grinder).

Baru dua tahun menghasilkan parang tradisional untuk dikomersialkan, Haddy menjadikan aktiviti tersebut sebagai sumber pendapatan selepas melihat rakan sekerjanya di kem balak membuat parang.

Parang dan pisau hasil kerja tangan Haddy Piris .
Parang dan pisau hasil kerja tangan Haddy Piris .

“Apabila melihat dia sering membuat parang ketika ada waktu terluang, timbul minat untuk turut mempelajarinya memandangkan di kampung saya ramai yang mencari pembuat parang.

“Ketika itu saya berfikir, kemahiran tersebut boleh menjana pendapatan sampingan, jadi sedikit demi sedikit saya belajar bagaimana untuk membuat parang untuk kegunaan melapah dan menyembelih.

“Apabila mahir teknik asas membuat parang, saya mula mempelajari secara sendirian bagaimana untuk membuat parang yang boleh dijadikan barang perhiasan, iaitu parang yang mempunyai motif ukiran kayu.

Haddy Piris menempa batang besi yang telah dibakar untuk dibentuk
Haddy Piris menempa batang besi yang telah dibakar untuk dibentuk menjadi parang.

“Saya juga belajar bagaimana untuk menggabungkan pelbagai jenis kayu pada sebilah parang untuk menambah nilai komersial pada parang tersebut.

“Apabila ada sambutan terhadap parang yang dihasilkan, saya mengambil keputusan membuat parang secara sepenuh masa dan kini saya sudah mempunyai pelanggan di Ranau dan dari Semenanjung,” katanya.

Haddy ditemui di Kampung Kipaliu, Kinaratuan di Ranau, Sabah ketika lawatan media anjuran Kraftangan Malaysia baru-baru ini sempena Hari Kraf Kebangsaan 2017.

Menurutnya, untuk membuat mata parang dia menggunakan besi buruk yang boleh dibeli dengan mudah di pusat-pusat pengumpulan besi buruk.

Lazimnya dia mengambil besi dari rantai jengkaut atau spring kereta kerana harganya yang murah tetapi tetap berkualiti tinggi.

Haddy Piris melarik mata parang yang sudah ditempa di bengkel
Haddy Piris melarik mata parang yang sudah ditempa di bengkel belakang rumahnya di Ranau, Sabah baru-baru ini.

“Bagi pembuat parang, kebiasaannya mereka akan menggunakan besi buruk kerana besi lama biasanya tahan dan berkualiti.

“Jika menggunakan besi baharu, kosnya sangat tinggi, sekali gus membuatkan parang yang dihasilkan menjadi mahal.

“Buat masa ini saya masih mengekalkan harga parang serendah RM150 sehingga RM500. Harga juga bergantung ukiran dan gabungan kayu yang digunakan pada sarung parang,” ujarnya yang telah berkahwin dan mempunyai empat orang anak.

Bagi menjadikan parang buatannya unik dan mempunyai hasil kerja seni mengagumkan, Haddy menggabungkan dua hingga tiga jenis kayu yang berbeza tona warna dan urat kayu seperti kayu pokok kopi, kayu pokok limau, kayu merbau, kayu malam dan kayu jati.

Pusar kayu atau burl yang tumbuh secara semula jadi pada mana-mana pokok juga digunakan kerana nilainya yang sangat tinggi.

Ujar Haddy, burl yang dipotong dari mana-mana sudut, serat atau urat kayu yang terhasil tetap tampak menarik.

Menggunakan dua teknik iaitu belah dan tebuk, kayu-kayu itu akan dikorek pada bahagian dalamnya mengikut saiz parang dan kemudian dua lapisan kayu tersebut akan dicantumkan menggunakan gam bagi membentuk sarung.

Ujarnya, bahagian hujung sarung akan diukir mengikut motif tertentu sebelum digosok dengan kertas pasir dan disapu dengan bahan pengilat.

Apa yang membezakan parang Ranau berbanding daerah-daerah yang lain adalah motifnya seperti sisik nanas, pucuk paku dan daun periuk kera yang menjadi signatur rekaan parang Haddy.

Dia juga menggunakan tanduk rusa untuk membuat hulu parang yang mana jarang sekali pembuat parang menggunakan tanduk tersebut kerana sukar didapati.

Dia hanya boleh menghasilkannya jika adanya bekalan yang diambil dari penduduk kampung yang memburu.

Mampu menghasilkan 30 bilah parang sebulan, hasil jualannya boleh didapati pada sambutan Hari Kraftangan Malaysia 2017 di Kompleks Kraf Malaysia, Jalan Conlay pada 22 Februari hingga 6 Mac 2017.