Namun, terlalu banyak cerita negatif yang sering didengar mengenai pengambilan snek kurang sihat yang boleh menjejaskan kesihatan terutama golongan kanak-kanak.

Mengubah persepsi itu, Marhas Trading, sebuah syarikat yang menjalankan industri kecil pengeluaran makanan ringan berasaskan buah-buahan muncul dengan snek sihat mereka iaitu Cip Nangka Madu.

Menurut pemiliknya, Hasni Esa, idea untuk menghasilkan cip nangka tercetus selepas beliau melawat sebuah pameran hasil pertanian di ibu negara beberapa tahun lalu.

“Ketika melawat pameran itu, saya tengok ada orang menjual snek nangka dan harganya agak lumayan sekitar RM15 bagi berat 50 gram (g).

“Oleh itu, saya fikir jika ia mempunyai nilai yang tinggi di pasaran kenapa tidak saya juga lakukannya. Sejak itulah saya menanam pokok nangka sendiri tanpa membuat sebarang pinjaman daripada mana-mana pihak,’’ ujarnya sambil memberitahu hanya menggunakan modal sendiri daripada wang simpanan.

Jelasnya, syarikatnya memproses cip nangka yang diperbuat daripada 100 peratus isi nangka madu.

Cip nangka yang dihasilkan tidak dimasukkan sebarang pengawet untuk membolehkannya tahan lebih lama atau tambahan gula untuk penambah rasa.

Katanya, cara cip nangka madu dihasilkan adalah menggunakan kaedah menggoreng menggunakan mesin vakum.

Buah dikupas untuk mengeluarkan biji nangka lalu dibelah kecil mengikut saiz dan terus sahaja digoreng tanpa ditambah dengan gula atau bahan pengawet.

“Minyak goreng yang digunakan adalah minyak sawit bertapis. Manis cip nangka adalah manis asli daripada isi nangka itu sendiri,” ujarnya.

Kini, syarikat tersebut sudah mempunyai sebuah kilang mini berkeluasan 30 kaki x 60 kaki yang menempatkan dua mesin penggorengan vakum yang boleh memproses sebanyak 200 kilogram (kg) isi nangka tanpa biji sehari.

Selain itu, dengan keupayaan tenaga kerja seramai lima orang, kilang tersebut berupaya mengeluarkan sebanyak 800 paket dengan berat 50 gram (gm) sepaket setiap hari.

Tambah Hasni, beliau memilih untuk membangunkan ladang nangka sendiri kerana tidak mahu berdepan dengan masalah kekurangan bahan mentah.

Untuk tujuan itu, sebelum memulakan perniagaan cip nangka, syarikatnya terlebih dahulu membeli sebidang tanah yang berkeluasan 5.6 hektar (14 ekar) untuk menanam nangka daripada varieti J33.

“Pokok nangka madu kami dijaga dengan baik serta mempunyai jadual pembajaan berkala bagi mendapatkan pokok yang subur dan kualiti buah bermutu tinggi.

“Buah nangka yang dibungkus serta benar-benar matang sahaja yang akan dipetik untuk diproses menjadi cip,” katanya.

Justeru katanya, tumbesaran buah nangka dijaga dengan baik dan tersusun supaya buah yang dihasilkan menepati kriteria untuk menghasilkan kerepek yang sedap iaitu manis.

“Saya mengupah beberapa orang pekerja untuk menyiram pokok pada waktu tertentu dan memantau keadaan buah dari semasa ke semasa.

“Malah, setiap dua minggu sekali saya sendiri akan turun ke sini (ladang) untuk memetik buah yang sudah ranum untuk dijadikan snek atau dijual secara mentah di pasaran,” ujarnya.



Berjaya peroleh sijil halal, Mesti

Pengurus Pemasaran syarikat, Mardhiah Lin Abdullah berkata, bagi tujuan pemasaran, pihaknya telah berjaya mendapatkan sijil halal dan Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (Mesti) dari Kementerian Kesihatan bagi menjaga mutu dan menjamin kebersihannya.

Dalam pada itu, syarikatnya juga telah melantik HE Bumi Enterprise sebagai pengedar tunggal dalam memasarkan produk keluaran Marhas Trading.

“Produk kami sekarang boleh didapati di beberapa lokasi seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mendapat sambutan yang agak memberangsangkan daripada pembeli.

“Kami juga kian bergiat aktif menerusi pasaran dalam talian serta baharu saja masuk senarai Original Equipment Manufacturer (OEM) di Perth, Australia dan berharap agar ia dapat memberi hasil yang baik,” jelasnya.

Seterusnya, beliau berkata, kaedah yang digunakan untuk membuatkan cip tahan lama tanpa menggunakan bahan pengawet diyakini dapat menambat hati pengguna yang mahukan makanan ringan sihat.

“Setelah siap digoreng, cip nangka dibungkus dengan menggunakan pembungkus aluminium bermutu tinggi untuk menjaga ketahanan dan kualiti. Jangka hayat ketahanannya adalah dalam lingkungan 20 bulan setelah diuji,” katanya.

Bagi perancangan masa depan, Marhas Trading berhasrat membantu meningkatkan pendapatan penduduk kampung di sekitar ladang mereka yang turut menanam pokok berkenaan.

Syarikat berkenaan membeli buah daripada mereka untuk dijadikan cip sekiranya permintaan pasaran memberangsangkan.

Selain nangka, syarikat tersebut turut menghasilkan cip yang diperbuat daripada pisang dan ubi.