Baru-baru ini, Samsung memuat naik video di laman YouTube yang memaparkan ujian ketahanan telefon pintar dalam suhu yang ekstrem.

Menurut Samsung, video berke­naan membolehkan orang ramai melihat satu siri ujian terhadap peranti yang memberi jaminan ketahanan serta memulihkan kepercayaan kepada jenama tersebut.

Jelasnya, video berdurasi 15 saat itu menunjukkan telefon pintar Samsung diletakkan dalam dua keadaan suhu berbeza iaitu -20 darjah Celsius di bawah paras beku dan 60 darjah Celsius.

“Hasil ujian jelas menunjukkan bahawa telefon pintar Samsung mampu bertahan dalam keadaan cuaca ekstrem dan masih berfungsi tanpa menjejaskan kualitinya.

“Ujian ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk kualiti, keselamatan dan inovasi bagi memastikan telefon pintar masih boleh berfungsi walaupun di bawah tekanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Video penuh bagi empat ujian ketahanan boleh ditonton pada pautan https://youtu.be/RzCsBxqmmys atau di laman web rasmi Samsung di www.samsung.com/my/smartphones dan platform media sosial.