Pelancaran kedua-dua telefon pintar itu di pasaran Malaysia akan memperkukuhkan jenama Nokia dalam kalangan pesaingnya.

Pengurus Negara Malaysia dan Myanmar HMD Global, T. Vijay berkata, tiga ciri penting ditawarkan dalam rekaan Nokia 6.1 Plus dan Nokia 5.1 Plus ialah reka bentuk berkualiti, Android dan prestasi tinggi.

“Kami membuktikan komitmen kepada pasaran Malaysia dengan membawakan kecanggihan reka bentuk, binaan kukuh dan pengalaman pengguna secara keseluruhan.

“Inovasi skrin baharu digabungkan dengan prinsip reka bentuk paparan maksimum tanpa menjejaskan kepadatan garis bentuk.

“Ciri-ciri seperti paparan skrin penuh, prestasi dinaik taraf dan pengimejan kepintaran buatan (AI) menjadikan kedua-dua peranti ini lebih menarik,” katanya.

Dalam pada itu, Nokia 5.1 Plus dipacu oleh pemproses lanjutan Mediatek P60 empat teras yang biasanya didapati dalam telefon pintar lebih canggih.

Enjinnya dicipta khas untuk menghasilkan kuasa jitu bagi mengendalikan permainan, menonton video atau aplikasi berbilang kegunaan dengan mudah.

Pengimejan canggih membolehkan pengguna merakam gambar ala studio dengan mengesan kedalaman gambar dan pilihan pengaburan bokeh selain menyediakan lampu potret.

Walaupun Nokia 5.1 Plus senipis lapan milimeter (mm), namun reka bentuk ergonomi dengan ciri lengkungan terus menerus memastikan keselesaan genggaman di tangan.

Rangka logam tuangan terap penuh Nokia 5.1 Plus dengan bingkai polikarbonat diuji kualitinya dalam suhu lampau dan turut menjalani ujian kejatuhan untuk mematuhi tahap piawaian kualiti tinggi telefon Nokia.