Dengan hasrat mahu melihat pengguna telefon pintar tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi yang pantas dan sentiasa berada selari dengan perubahan itu, Ketua Teknologi Maklumat (IT) dan Perniagaan Telefon Mudah Alih, Samsung Malaysia Electronics, KM Liew memberitahu, pihaknya menampilkan telefon pintar terbaharu, Samsung Galaxy A8 (2018) dan Galaxy A8+ (2018).

Model ini mempunyai reka bentuk, paparan lebih jelas dan mutu rakaman imej serta visual terbaik kepada pengguna.

Menerusi teknologi kalis air IP68, kedua-kedua model tersebut turut membawa perubahan dengan memperkenal kamera kembar depan yang juga kalis air.

“Ramai ingin mengembara dan melalui percutian yang bermanfaat dalam apa jua cuaca dan di mana juga sama ada berkhemah di Air Terjun Sungai Chilling, swafoto dengan mural seni jalanan di George Town atau ke Sungai Jeram di Kuala Kubu Bharu.

“Pastinya tidak ada peranti yang lebih sempurna untuk mengabadikan kenangan itu selain melalui Galaxy A8 dan A8+,” katanya.

Kedua-duanya merupakan telefon pintar pertama keluaran Samsung yang memiliki penarafan IP68 dwikamera dengan 16 megapiksel yang melindungi daripada air dan debu.

Model terbaharu ini bukan sahaja memberi imej yang berkualiti seolah-olah seperti di dunia nyata, namun pada masa sama tetap mengekalkan kualiti gambar terbaik walaupun bergambar swafoto dalam air.

Ciri-ciri termaju kamera hadapan dan belakangnya dapat memastikan penggunanya merakam imej yang tajam dengan bukaan F1.9 dan F1.7 jelas, terperinci dan terang.

Kedua-dua model berkenaan boleh didapati di pasaran masing-masing pada harga RM1,799 dan RM2,499 termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST).