Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, pihaknya sedang menyemak semula semua lesen kilang-kilang sisa plastik itu supaya selari dengan 18 syarat baharu pemberian lesen import (AP) seperti ditetapkan Kerajaan Pusat.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan kerajaan negeri juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap kilang-kilang memproses sisa plastik yang beroperasi secara haram di negeri ini.

“Kilang-kilang ini mungkin mempunyai lesen beroperasi tetapi mereka juga perlu mematuhi syarat-syarat sebagai contoh mempunyai sistem rawatan air, sistem akhir hayat, pelan bangunan dan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini berkenaan penemuan tapak pelupusan sisa sampah di Gurun, Kedah yang didakwa berkemungkinan dipindahkan

dari negeri ini.

Merujuk kepada laporan itu, Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu berkata, beliau tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai dakwaan tersebut, namun menjelaskan tidak pernah memberi tekanan kepada mana-mana kilang sisa berkenaan untuk berpindah dari negeri ini.

Bagaimanapun, ujar beliau, kerajaan negeri perlu mengetatkan penguatkuasaan terhadap kilang-kilang itu bagi menghalang penyeludupan sisa plastik tercemar ke negara ini.

“Kita sudah tegaskan jika mereka ingin terus beroperasi di negeri ini, maka mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

“Syarat-syarat itu terlalu ketat dan mungkin ada syarikat yang gagal mematuhinya jadi memilih untuk menutup operasi mereka di sini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam siasatan melibatkan sebanyak 265 kontena sisa sampah plastik yang ditemui tersadai di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) sejak awal tahun ini.

Katanya, usaha kini menjurus kepada persetujuan supaya kontena-kontena itu dihantar semula ke negara asal yang mana kerajaan terbuka kepada perbincangan bersama wakil-wakil negara yang dilaporkan sebagai pemilik kontena berkenaan.

“Saya telah berbincang dengan seorang wakil negara pemilik kontena itu dan mereka telah mengaku yang mana perkara ini perlu diselesaikan secara baik supaya tidak terus mencemarkan alam sekitar,” katanya.

-UTUSAN ONLINE